Dalam al-Quran, terdapat kumpulan surah yang disebut al-Musabbihat, yakni surah-surah yang dimulakan dengan menyucikan ALLAH, menggunakan kalimah 'yusabbihu lillah' atau 'sabbaha lillah', yang ertinya 'bertasbih kepada ALLAH'. Surah-surah tersebut ialah:
Semua yang berada di langit dan yang berada di bumi bertasbih kepada Allah (menyatakan kebesaran Allah). Dan Dialah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. (surah al-Hadid; 57:1)
Bertasbih kepada Allah apa-apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (surah al-Hasyr; 59:1)
Bertasbih kepada Allah apa saja yang ada di langit dan apa saja yang ada di bumi; dan Dia-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (surah as-Shaf; 61:1)
Senantiasa bertasbih kepada Allah apa-apa yang ada di langit dan apa-apa yang ada di bumi. Raja, Yang Maha Suci, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (surah al-Jumu'ah; 62:1)
Senantiasa bertasbih kepada Allah apa-apa yang di langit dan apa-apa yang di bumi; hanya Allah-lah yang mempunyai semua kerajaan dan semua puji-pujian; dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. (surah at-Taghabun; 64:1)
Alam turut bertasbih
Perhatikanlah! Dalam setiap ayat tersebut ALLAH menyebutkan bahawa setiap makhluk dalam alam ini sentiasa bertasbih kepada ALLAH dengan cara mereka sendiri, sedang manusia tidak mengerti. ALLAH berfirman;
Langit yang tujuh, bumi dan semua yang ada di dalamnya bertasbih kepada Allah. Dan tak ada suatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, tetapi kamu sekalian tidak mengerti tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyantun lagi Maha Pengampun. (surah al-Isra`; 17:44)
Subhanallah! Maha Suci ALLAH dari segala sifat kelemahan, DIA yang telah menjadikan setiap makhluk itu sentiasa bertasbih kepada-NYA;
Tidakkah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa-apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa-apa yang mereka kerjakan. (surah an-Nuur; 24:41)
Sesungguhnya Kami menundukkan gunung-gunung untuk bertasbih bersama dia (Daud) pada waktu petang dan pagi, dan (Kami tundukkan pula) burung-burung dalam keadaan terkumpul. Masing-masingnya amat taat kepada Allah. (surah Shaad; 38:18-19)
Dan guruh itu bertasbih dengan memuji Allah, (demikian pula) para malaikat kerana takut kepada-Nya, dan Allah melepaskan halilintar, lalu menimpakannya kepada siapa yang Dia kehendaki, dan mereka berbantah-bantahan tentang Allah, dan Dia-lah Tuhan Yang Maha keras seksa-Nya. (surah ar-Ra'du; 13:13)
Lihatlah! Alam yang terdiri dari pepohonan, burung, matahari, bulan, gunung-ganang malah guruh yang berdentum dan kilat yang menyambar juga sentiasa bertasbih menyucikan Tuhan mereka. DIA menyifatkan semua makhluk itu sebagai amat taat kepada-NYA. Sedangkan kebanyakan manusia masih leka dengan dunia dan tidak tunduk patuh kepada ALLAH.
Zikir dan ketenangan jiwa
Apakah kita pernah menyedari, saat kita mendengar bunyi pukulan ombak di pantai, bunyi kicauan unggas, air sungai yang mengalir, cengkerik yang bersiul, serta 1001 macam bunyi alam lainnya, jiwa kita yang sedang memikirkan pelbagai masalah, akan melupakan sejenak masalah-masalah tersebut lantas menjadi tenang. Malahan beberapa kajian telah dilakukan yang membuktikan bunyi-bunyian alam dapat menjadi terapi yang sangat baik bagi jiwa.
Puncanya? Kerana setiap bunyi tersebut sebenarnya adalah alunan tasbih dan zikir kepada ALLAH. Maha Benar ALLAH yang telah mengingatkan kita dengan sifat golongan Mukmin yang sentiasa membasahkan bibir mereka dengan tasbih dan zikir, lalu menjadikan hati mereka senantiasa tenang;
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, adalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat (Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, sedang mereka tidak menyombongkan diri. (surah as-Sajadah; 32:15)
(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan zikrullah (mengingat Allah) hati menjadi tenteram. (surah ar-Ra'du; 13:28)
Demikianlah ALLAH menjadikan setiap sesuatu itu tidak sia-sia. Dari kepelbagaian hidupan alam pun turut menyimpan pelbagai hikmah yang boleh diteladani. Sifat alam yang sentiasa bertasbih adalah bukti ketundukan mereka kepada Sang Pencipta. Lantas, manusia yang diciptakan sebagai sebaik-baik ciptaan dan dikurniakan dengan akal fikiran juga lebih patut untuk sentiasa tunduk patuh kepada ALLAH.
Saksikanlah kepatuhan total yang dicontohkan oleh langit dan bumi;
Kemudian Dia menuju langit dan (langit) itu masih berupa gas, lalu Dia berfirman kepadanya dan kepada bumi: "Datanglah kalian berdua menurut perintah-Ku dengan patuh atau terpaksa". Kedua-duanya menjawab: "Kami datang dengan patuh". (surah Fusshilat; 41:11)
Mentadabburi kalamullah di atas dan memerhatikan alam sekeliling menjadi pencetus kepada akal untuk berfikir. Demikianlah karakteristik generasi Ulul Albab yang disebut dalam al-Quran;
Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulul Albab (orang-orang yang berakal), (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Wahai Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka. (surah Ali 'Imran; 3:190-191)
Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan lain-lain dari Aisyah radhiallahu 'anha, saat turunnya ayat ini, baginda Nabi sallallahu 'alaihi wasallam menangis sehingga air mata baginda membasahi janggutnya yang mulia. Saat sujud, tangisan baginda sampai membasahkan tanah tempat sujud. Ketika Bilal bin Rabah masuk untuk memberitahukan baginda tentang masuknya waktu Subuh, Bilal melihat tangisan baginda lantas bertanya, "Wahai Rasulullah. Mengapakan engkau menangis? Padahal ALLAH telah memberikan ampunan-NYA kepadamu atas semua dosa yang telah lalu dan akan datang?"
Baginda menjawab, "Wahai Bilal! Bukankah aku ingin menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur? Mengapa aku menangis sedangkan pada malam ini telah diturunkan kepadaku firman-NYA, -baginda membaca dua ayat di atas; (3:190-191)- lalu baginda bersabda, "Celakalah bagi orang yang membaca ayat ini kemudian tidak merenungkan kandungannya!"
Ikhwah wal akhawat fillah sekalian,
Alam yang ALLAH ciptakan mengandungi pelbagai khazanah berharga yang belum diterokai. Setiap penciptaan yang dapat kita lihat bukanlah diciptakan sia-sia, atau hanya semata-mata untuk dikaji begitu sahaja, tetapi tujuan utamanya adalah agar kita sentiasa mengingati ALLAH, Sang Pencipta alam tersebut. Melihat kepada alam sepatutnya mengingatkan kita kepada sifat alam yang sentiasa bertasbih lantas memangkinkan jiwa kita untuk turut sama mengingati Penciptanya. Kesimpulannya berfikir tentang alam sebenarnya adalah salah satu sarana meningkatkan iman dan amal ibadah - bagi golongan Ulul Albab yang mampu berfikir.
Ya ALLAH, masukkanlah kami ke dalam golongan tersebut.
Comments
Monday, 7 September 2009
Alam yang Bertasbih
Posted by amn077 at 17:25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment