BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday 24 September 2009

Peka rukun tawaf

Dalam bab Haji dan Umrah, istilah rukun merujuk kepada amalan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji dan umrah. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah menjadi tidak sah.
Tawaf adalah satu daripada kerja-kerja haji dan umrah yang wajib dilakukan sendiri oleh jemaah. Tidak sah mewakilkan orang lain tawaf bagi pihak dirinya. Jika uzur, jemaah boleh tawaf dengan menaiki kereta sorong.
Bakal haji hendaklah mengetahui dengan baik perkara-perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat tawaf dan sunat-sunatnya supaya mereka dapat melakukan tawaf dengan sempurna.

Jenis-jenis tawaf
Terdapat lapan jenis tawaf :
1. Tawaf Haji (Ifadah),
2. Tawaf Umrah,
3. Tawaf Qudum,
4. Tawaf Tahiyyatul Bait,
5. Tawaf Tahallul,
6. Tawaf Wada',
7. Tawaf Nazar,
8. Tawaf Sunat.

Syarat-syarat tawaf

1. Suci daripada hadas besar dan kecil.
Sebelum melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengambil wuduk dengan sempurna. Jika berlaku persentuhan kulit ketika tawaf dengan lelaki/wanita ajnabi (asing), jemaah hendaklah berpegang dengan satu pendapat dalam Mazhab Syafie yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit dengan lelaki/wanita ajnabi melainkan jika ia berlaku dengan sengaja dan timbulnya syahwat.
Bagi pasangan suami isteri yang tawaf bersama sambil berpegangan tangan dengan berlapik adalah sah tawaf mereka. Jika timbulnya syahwat, tawaf tersebut masih lagi sah melainkan apabila keluar air mazi kerana ia membatalkan wuduk.
Bagi wanita yang berada dalam keadaan haid, dia hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Apabila haidnya kering, hendaklah dia mandi wajib dan mengambil wuduk, maka bolehlah dia melakukan tawaf.
Bagi jemaah yang selalu berhadas atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa menitis atau istihadah, sebelum melakukan tawaf hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera melakukan tawaf.
Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk menutup aurat dan perjalanan ke masjid. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya. Cara berniat ketika mengambil wuduk bagi kes sebegini adalah seperti berikut: "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan tawaf".

2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.
Jemaah hendaklah memastikan, pakaian dan badannya suci daripada najis. Jika jemaah terpijak tahi burung yang terdapat di kawasan tawaf, maka ia dimaafkan dengan syarat tahi burung itu kering dan ia berlaku tanpa disengajakan.

3. Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.
Semasa tawaf, aurat hendaklah sentiasa ditutup. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya antara pusat dan lutut. Bagi wanita pula seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan.
Jika aurat terbuka semasa tawaf, jemaah hendaklah menutup dengan segera. Tawaf tidak batal kerana ia tidak disengajakan dan segera ditutup.
Bagi wanita yang tawaf dengan menaiki kereta sorong, hendaklah berhati-hati supaya kainnya tidak terselak sehingga menampakkan betis.

4. Tawaf hendaklah dimulakan dan disudahi pada sudut Hajarul Aswad.
Jemaah hendaklah memulakan tawaf pada sudut Hajarul Aswad. Apabila jemaah menghampiri untuk memasuki kawasan penjuru Hajarul Aswad, maka hendaklah berniat tawaf jika tawaf tersebut selain tawaf haji (ifadah), umrah dan qudum. Bagi tiga jenis tawaf ini, hukum berniat sebelum memulakan tawaf adalah sunat.

5. Sewaktu berjalan melakukan tawaf, bangunan kaabah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
Jika jemaah ditolak akibat kesesakan ketika tawaf sehingga bahunya terpesong sedikit daripada bangunan kaabah, maka hendaklah segera membetulkan segera bahunya itu menghala ke arah bangunan kaabah.
Bagi jemaah uzur yang tawaf di tingkat atas Masjidil Haram dengan berkereta sorong secara berupah, waris jemaah dinasihatkan hadir sama bagi memastikan syarat mengirikan kaabah dilaksanakan dengan sempurna oleh orang yang mengambil upah menyorong itu.

6. Berjalan itu dengan tujuan tawaf.
Sepanjang berjalan melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengekalkan niat perjalanannya itu adalah semata-mata kerana tawaf. Terdapat kes jemaah yang terpisah daripada kumpulannya atau pasangannya, lalu dia berjalan selepas itu bertujuan semata-mata untuk mencari kumpulannya atau pasangannya, maka batallah untuk pusingan itu sahaja.
Jika niat tawafnya masih ada tetapi dalam masa yang sama dia tawaf sambil mencari rakan-rakan sekumpulannya atau pasangannya, maka pusingan tawaf tersebut tidak batal.

7. Cukup tujuh keliling dengan yakin.
Jika jemaah ragu-ragu ketika tawaf pada menentukan bilangan pusingan tawaf, maka hendaklah mengambil jumlah yang terkecil. Contohnya, jika jemaah ragu-ragu antara 6 atau 7 pusingan, maka dikira masih 6 pusingan.
Jikalau tawaf dilakukan secara berkumpulan, jemaah hendaklah memakai keyakinan pada diri sendiri dalam menentukan jumlah pusingan tawaf, walaupun bercanggah dengan pendapat rakan sekumpulan. Jika ragu-ragu berlaku selepas selesai tawaf, maka ia tidak memberi mudarat.

8. Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan di luar daripada bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan.
Semasa tawaf, jemaah tidak boleh menyentuh bangunan kaabah, kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan. Begitu juga memasuki ke dalam Hijir Ismail ketika tawaf.
Bagi jemaah yang tersentuh perkara-perkara tersebut hendaklah mengulangi pusingan tawaf yang terbatal itu sahaja. Tetapi tidak mengapa tawaf melalui ruangan antara Maqam Ibrahim dan bangunan kaabah

Sunat-sunat tawaf
Terdapat sembilan perkara sunat dalam tawaf. Sebahagiannya diperinci kali ini dan bakinya pada keluaran akan datang.

1. Tawaf dengan berjalan kaki tanpa memakai alas kaki serta memendekkan langkah. Bagi jemaah yang sihat, harus tawaf dengan berkereta sorong tetapi makruh hukumnya.

2. Beridtiba', iaitu memakai kain ihram dalam keadaan menutup bahu kiri dan membuka bahu sebelah kanan bagi lelaki sepanjang tujuh tawaf.
Beridtiba' ini sunat dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu') dan dia ketika itu dalam keadaan memakai pakaian ihram.

3. Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan 1, 2 dan 3. Pada pusingan ke 4 hingga 7, jemaah lelaki hendaklah berjalan macam biasa.
Berlari-lari anak ini juga dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu').

4. Tawaf berhampiran dengan bangunan kaabah bagi lelaki, melainkan jika tidak dapat melakukan perbuatan berlari-lari anak. Dalam keadaan ini, hendaklah tawaf berjauhan sedikit daripada bangunan kaabah.
Bagi wanita, adalah afdal tawaf berjauhan daripada bangunan kaabah.

5. Melakukan istilam (sentuh) hajarul aswad kemudian mengucupnya, meletakkan dahi atasnya dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu berbuat demikian terutamanya ketika kesesakan pada tempat tawaf, jemaah hanya disunatkan mengisyaratkan dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut Bismillah Allahu Akbar kemudian mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara.
Begitu juga sunat istilam rukun Yamani dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu, disunatkan isyarat dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut Bismillah Allahu Akbar dan mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara.
Namun begitu, pada kedua-dua tempat ini, jemaah hanya dinasihatkan melakukan isyarat sahaja dan mengucup tapak tangannya itu. Jika jemaah tetap mahu mengucup hajarul aswad, dinasihatkan melakukannya di luar masa tawaf.
Ini kerana cara yang betul untuk mengucup Hajarul Aswad dan istilam Rukun Yamani semasa tawaf tidak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim haji. Jikalau Hajarul Aswad dilumur dengan minyak wangi, maka haram mengucupnya dan menyentuhnya bagi jemaah yang berada di dalam ihram.

0 comments: