BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, 24 September 2009

“ARAFAH” CINTA KITA!

Jika benar menyambut hari Valentine ini tanda menghargai cinta, maka kitalah yang paling layak menyambutnya, kata saya, “bukan untuk menyerupai orang kafir tetapi Islam benar-benar menghargai cinta.”
Itulah kata-kata yang pernah saya lontarkan dalam satu forum dengan pelajar-pelajar UiTM satu ketika dulu. Saya mengatakan demikian kerana Islamlah agama yang paling ke hadapan dalam menjaga kesucian cinta.

Apa tidaknya cinta (antara lelaki dan wanita) lahirnya di tempat yang paling mulia. Cinta lahir di syurga! Ketika semua nikmat di syurga dapat dikecapi, nabi Adam masih terasa ada “kekosongan”. Allah Maha Mengetahui isi hati hamba-Nya, lalu diciptakannya seorang wanita – Hawa, bersama cinta. Lalu kekosongan itu pun terisi. Cinta adalah nikmat hati. Dan manusia yang pertama mengecap nikmat itu ialah seorang yang mulia – seorang nabi. Di mana? Di syurga!

Syurga itu apa? Syurga adalah tempat penuh nikmat yang tidak dapat dibayangkan oleh pancaindera manusia. Bayangkan yang indah, harum, sedap dan nyaman… syurga lebih indah daripada apa yang termampu kita bayangkan. Siapa yang layak menjadi penghuni syurga? Jawabnya, orang yang baik-baik di kalangan para Rasul, nabi, siddiqin, syuhada dan solihin (orang-orang soleh). Tegasnya, syurga adalah tempat tinggal dan kembali orang yang baik-baik.

Bagaimana mahu melayakkan diri untuk memasuki syurga? Jawabnya mudah, jadilah orang yang baik-baik. Bagaimana hendak jadi orang yang baik-baik? Tentulah sahaja dengan melakukan banyak kebaikan. Setiap kebaikan yang dibuat dengan ikhlas, akan dibalas dengan pahala. Pahala adalah mahar untuk memasuki syurga. Lalu apa kaitan semua ini dengan cinta?

Cinta dilahirkan di tempat yang baik (syurga), dianugerahkan oleh yang Maha baik (Allah), dinikmati kali pertama oleh orang yang baik (nabi Adam a.s) dan diwariskan untuk orang yang baik-baik (para solihin). Sekali lagi, cinta lahir di syurga dan akan berakhir (kembali) ke syurga.
Menyedari hakikat itu, marilah kita sucikan cinta seperti mula ia dianugerahkan Allah. Hanya dengan cinta yang terjaga kesuciannya sahaja manusia yang saling bercinta itu akan memasuki syurga. Jika cinta itu tercemar dan tercalar, maka mereka yang bertanggung jawab ke atasnya akan terkecuali daripada memasuki syurga. Bagaimana menjaga kesucian cinta?
1. Bercinta kerana Allah

Sedarlah sentiasa bahawa cinta itu adalah “hadiah” daripada Allah. Justeru, jangan sekali-kali kita terleka dengan hadiah sehingga melupakan Pemberi hadiah (Allah). Cinta sesama makhluk jangan sampai mengatasi cinta kepada Allah. Cinta bukan Tuhan. Ia hanya hadiah daripada Tuhan. Malangnya, dalam cerita-cerita cinta versi Barat dan Timur, kerap kali dipaparkan seolah-olah cinta itu “Tuhan”.
Lihat, bagaimana Bollywood “mengajar” generasi muda tentang penyimpangan cinta. Secara halus cinta seolah-olah “dinobatkan” sebagai Tuhan. Demi cinta yang suci (kononnya), agama, ibu-bapa, sanak-saudara rela ditinggalkan. Seolah-olah cinta itulah yang paling agung dan utama daripada segala. Hidup merana, menderita malah sanggup mati kerana cintakan kekasih dianggap sikap yang mulia dan suci. Padahal, cinta sesama manusia itu hanya “alat” bukan matlamat. Cinta sesama manusia hanyalah alat untuk mendapat cinta Allah (matlamat). Jadi, untuk menjaga kesucian cinta… jadikanlah cinta Allah sebagai dasar untuk mencintai manusia.
2. Menjaga peraturan cinta.

Kedua, cinta itu anugerah Tuhan yang diturunkan bersama peraturannya. Hargailah cinta dan hargai jugalah “peraturan cinta” yang dianugerahkan bersamanya. Apa akan jadi sekiranya kita membuang katalog yang dikepilkan bersama peralatan elektrik yang kita beli? Menempah nahas! Bagaimana kita hendak menggunakan peralatan itu tanpa panduan? Bagaimana kita hendak membaikinya jika berlaku kerosakan?
Maka begitulah dengan peraturan cinta. Jangan dipinggirkan peraturan itu tatkala bercinta. Jika tidak, cinta akan tercemar dan bertukar, dari nikmat yang paling indah menjadi racun pemusnah. Inilah akibatnya melupakan peraturan Tuhan dalam bercinta.

Lihat betapa ramai korban cinta yang gugur… Lihat betapa banyaknya cita-cita yang terkubur. Harapan berkecai, semangat terkulai. Lelaki jadi Qaisy yang hidup bagaikan bangkai bernyawa akibat cinta tidak kesampaian. Wanita jadi bagaikan Laila yang “menggila” apabila hidup merana. Juga jangan jadi Romeo dan Juliet yang mati membunuh diri atas “kebodohan” cinta. Atau Udara dan Dara yang bertindak melulu membunuh dan terbunuh demi cinta. Berbaloi kah?

Peraturan cinta itu apa? Ia adalah syariat – hukum halal (wajib), haram, sunat, makruh dan harus. Jangan dilanggar yang haram kerana cinta. Jangan diabaikan yang wajib kerana cinta. Manakala yang makruh dan sunat dipulangkan kepada kebijaksanaan dan kewarakan untuk membuat atau meninggalkannya. Percayalah, kemanisan dengan menempuh jalan yang haram, akan berakhir dengan kepahitan. Percayalah, kepahitan yang dirasai kerana menjaga yang wajib pasti membuahkan kemanisan yang berkekalan.
Kesucian cinta dalam rumah tangga

Telah dikatakan sebelumnya bahawa cinta itu adalah “warisan” Nabi Adam buat orang yang baik-baik di belakang hari. Jadi, untuk menikmati dan menjaga kesucian cinta jadilah orang yang baik-baik dengan selalu membuat kebaikan. Bagi suami isteri yang sudah diikat dengan tali perkahwinan, jadikanlah cinta dalam rumah tangga untuk melaksanakan kebaikan kepada anak-anak, tetangga dan masyarakat.
Raihlah sebanyak-banyaknya pahala sabar, reda, qanaah dan mujahadah semasa berperanan sebagai suami atau isteri. Tuailah sebanyak-banyak pahala dalam menguruskan rumah tangga. Untuk mengekalkan cinta sampai syurga cintailah yang Maha kekal (Allah). Ikut syariat-Nya dalam apa jua keputusan. Katakan pada diri selalu bahawa suami atau isteri bukan milik kita.

Pernah Sayidina Abu Bakar memerintahkan anak lelakinya menceraikan isteri yang baru dikahwininya apabila dilihatnya anak lelakinya itu semakin cuai solat berjemaah kerana asyik “berulit” dengan isteri. Tindakan itu bukan untuk memutuskan cinta keduanya tetapi demi mengikat cinta itu dengan tali Allah. Sayidina Abu Bakar menyedari cinta manusia yang membelakangkan cinta Allah tidak akan sampai ke syurga!
Contohilah Ummu Sulaim yang mengingatkan suaminya bahawa anak adalah “pinjaman” Allah dan bila anak itu kembali ke rahmatullah (mati) ertinya pinjaman itu dikembalikan semula kepada pemiliknya (Allah). Betapa pada malam sebelumnya Ummu Sulaim tega dan rela melayan suaminya tanpa tergugat oleh anaknya yang baru meninggal dunia.

Mungkin contoh itu terlalu sukar untuk diteladani, namun tempuhilah jalan-jalan cinta mereka walaupun kiranya kita tidak sampai setinggi dan sesuci itu. Cukuplah kiranya memaniskan wajah, menahan kata-kata yang buruk dan tindakan-tindakan yang negatif apabila rumah tangga digegarkan ujian. Anak sakit, dihadapi dengan sabar. Belanja keperluan rumah kurang, kita tidak berang.

Ingat selalu, untuk bercinta sampai ke syurga di akhirat jadilah rumah tangga kita “syurga” di dunia – Baiti Jannati. Muhasabah selalu bersama isteri atau suami apakah rumah tangga sekarang sudah layak digelar “syurga”? Jika belum, berusahalah. Bermujahadahlah. Berkorbanlah. Pandang muka isteri (atau suami), pandang seorang demi seorang anak-anak kita… Ucapkan pada diri, “tidak akan aku biarkan seorang pun daripada kamu terpisah di akhirat nanti. Kita semua akan berkumpul sekali lagi… abadi di syurga nanti. Insya-Allah. Amin.”

Bercintalah sampai syurga, jika benar-benar cintakan pasangan kita. Untuk itu bersedialah menempuh kesusahan. Nabi Adam dan Hawa mula bercinta di syurga, diuji dengan satu larangan, tersalah… dan “tercampak” ke dunia. Cinta terpisah sekian lama. Adam di satu penjuru. Hawa di penjuru yang lain. Bertaubat terus-terusan. Raja’na illallah (kembali kepada Allah). Dan akhirnya apabila cinta yang “tercemar” itu kembali bersinar, bertemulah semula cinta mereka di Arafah!
Cinta sampai syurga… jangan melupakan cinta Allah. Jangan dilanggar syariat-Nya. Jika sudah tercemar, gilap kembali agar bersinar. Insya-Allah, akan ada “Arafah” cinta kita. Akan ada syurga kita!

Tip bercinta sampai syurga.
• Dahulukan hak Allah daripada hak pasangan kita.
• Sentiasa bekerjasama untuk membuat kebaikan dalam rumah tangga dan masyarakat.
• Sama-sama saling ingat mengingatkan agar menjauhi kemungkaran.
• Rela berkorban kesenangan sesama pasangan demi bakti sesama manusia.
• Berdoa dan bersedekah sebagai wasilah mengekalkan cinta.

0 comments: