DAN janganlah kamu terharap-harap (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (an-Nisa': 32)
Huraian
Allah menjadikan setiap makhluk dengan pelbagai keistimewaan. Perbezaan lelaki dan wanita dalam pelbagai perkara seperti dalam struktur badan, kecenderungan, tingkah laku, kekuatan fizikal dan sebagainya. Mereka mempunyai keistimewaan yang tidak ada pada lawan jenisnya tetapi dalam masa sama, kekurangan yang ada antara satu sama lain bukanlah merupakan kekangan untuk maju dalam sesuatu bidang.
Contohnya dalam pengurusan hidup berkeluarga, Allah SWT menjadikan wanita dengan sifat kasih sayang dan lemah lembut yang merupakan antara sifat keibuan yang akan mendidik anak-anak dengan penuh hikmah dan dapat melapangkan hati suami dalam rumah tangga. Begitu juga dengan perwatakan seorang lelaki, mereka diciptakan dengan penuh tanggungjawab terhadap keluarga dan kelebihan yang ada pada mereka menjadikan mereka kuat dan berupaya menanggung kesusahan, kesulitan dan sebagainya.
Menyedari kelebihan dan kekurangan yang ada pada diri masing-masing, kita hendaklah bangkit dan berusaha untuk memajukan diri daripada kepompong kemalasan. Jalan mudah "untuk berjaya tanpa usaha" hendaklah dijauhkan kerana ia bercanggah dengan sunnah Allah. Kejayaan tidak akan datang bergolek, ia memerlukan usaha dan pengorbanan, itulah peraturan hidup yang sebenar.
Dunia hari ini, persaingan antara umat bukanlah dari sudut jumlah penduduk dan keluasan muka bumi tetapi dari sudut penguasaan ilmu. Dengan pelbagai disiplin ilmu manusia akan maju dalam pelbagai bidang dan tidak berada ditakuk lama.
Kesimpulan
Umat Islam dituntut untuk berusaha dalam apa jua keadaan. Kekurangan diri bukanlah faktor penghalang untuk berjaya. Usaha yang bersungguh-sungguh, diringi dengan doa dan harap kepada Allah akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang.
Tuesday, 1 September 2009
Janji Allah kepada umat yang berusaha
Posted by amn077 at 23:05
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment