Sewaktu kecil dulu, orang tua-tua selalu cakap : kalau tak khatam al-quran 30 juzuk, nanti tak boleh berkhatan.
Rasanya, itulah petua orang-orang dahulu yang diguna pakai untuk mentarbiyah anak-anak supaya membaca al-quran dan mengkhatamnya. Apa lagi, sebab takut tak dikhatankan, masing-masing berlumba-lumba untuk menghabiskannya.
Walaupun seolah terpaksa, namun kadang-kadang perlu juga dibuat begitu. Itupun masih ada yang malas. Iya! Budaya membaca al-quran. Nampak remeh, namun ramai yang mengabaikannya.
Pengalaman di bumi Mesir
Pengalaman berada di bumi mesir, banyak yang boleh dijadikan pengajaran dan juga panduan. Contohnya, pada suatu hari sewaktu di dalam bas yang begitu sesak dengan penumpang, saya terlihat seorang mak cik sedang membaca al-quran dalam keadaan berdiri.
Terdetik di hati saya ”huh! bagusnya makcik tu”.
Pada petangnya, dalam perjalanan pulang ke rumah, di dalam keretapi, saya melihat seorang pak cik sedang membaca al-quran dengan gaya bersahaja juga dalam keadaan berdiri. Tindak balas yang sama juga saya berikan kepadanya atas kesungguhan beliau membaca al-quran tanpa menghiraukan orang ramai disekelilingnya.
Beberapa minggu yang lalu, di atas jejambat, saya terlihat seorang polis yang sedang bertugas di pos kawalannya, masih sempat lagi membaca al-quran. Kalau mereka ini sedang membaca majalah atau komik, sedah tentu terdetik di hati kita: eh! dah takde tempat lain agaknya nak baca semua tu.
Di Mesir juga, saya sempat memerhati polis-polis yang mengawal keselamatan samaada di jalan raya atau tempat-tempat tertentu, kebanyakannya mereka menjaga solat mereka. Dari satu sudut kadang-kadang kita dapat lihat seperti mereka ini seolah telah melanggar etika kerja mereka sebagai seorang polis, namun atas sebab tanggungjawab sebagai seorang Muslim, mereka tidak mengaibaikan kefardhuan solat itu.
Apa tidaknya, senjata-senjata yang mereka pegang, ditinggalkan begitu sahaja di sebelah dinding masjid untuk seketika.
Kalau di Malaysia mungkin ianya telah menyalahi etika atau undang-undang dalam akta keselamatan. Namun begitu, bagi masyarakat Mesir, sudah menjadi kebiasaan, bagi orang seperti saya yang melihat mereka cara hidup mereka, amatlah kagum walaupun dari satu aspek yang lain saya tidak berapa setuju.
Orang kata buang yang keruh, ambillah yang jernih. Cara hidup beginilah yang sepatutnya kita contohi tidak kira di mana posisi kita berada baik sebagai rakyat biasa sehinggalah kepada pemimpin negara.
Kita patut bertanya kepada diri kita sendiri, mengapa terlampau banyak sangat gejala-gejala sosial, jenayah dan bermacam-macam lagi perkara-perkara mungkar telah berlaku di negara kita. Jika difikirkan, bukankah negara kita adalah sebuah negara Islam?
Dan apa yang kita dapat lihat juga, bagaimana institusi polis di Malaysia sering dikaitkan dengan gejala rasuah, kezaliman dan sebagainya. Bukankah ianya telah menjatuhkan intergriti polis sebagai satu badan yang betanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara?
Dalam hal ini, mungkin skopnya lebih umum dengan tajuk yang saya ketengahkan. Namun tiadalah bezanya kerana ianya saling kait mengait diantara satu sama lain. Persoalannya di sini, benarkah polis-polis di Malaysia kurang menerapkan cara hidup Islam di dalam tugas mereka?
Saya serahkan kepada semua untuk menilainya. Kerana apa yang saya dapat lihat di Mesir, polis-polisnya jauh berbeza, dan dari satu sudut mungkin boleh dikatakan polis Malaysia adalah lebih baik. Namun, dari satu sudut melalui perspektif saya khususnya dalam bab cara hidup Islam, saya dapat lihat kebanyakan polis-polis di Mesir lebih baik dan patut di puji.
Yang pasti, sebenarnya kita semua perlu kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar. Dan salah satu darinya ialah budaya membaca al-quran.
Di manakah Al-Quran dalam kehidupan kita seharian?
Berbalik kepada fokus yang hendak saya sampaikan tadi iaitu membaca al-quran dan kebetulan pula semalam, saya sempat menghadiri satu sesi tazkirah dan memang kebetulan juga tajuk tazkirah yang disampaikan oleh seorang ustaz itu berkisarkan kehidupan manusia dengan al-quran.
Kupasan tajuk yang ringan namun menginsafkan. "Bersama-sama dengan al-quran", antara ungkapan yang diucapkan olehnya (pentazkirah). Bila dikoreksi kembali, sejauh manakah kebersamaan hidup kita ini dengan al-quran.
Skop membaca ini masih kecil jika dibandingkan dengan mengamalkannya. Secara logiknya, kalau membaca pun kita tidak dapat buat, apatah lagi untuk mengamalkannya?
Saya sering memuhasabah, dan apa yang saya dapat lihat ialah hari ini dalam tidak sedar kita sering silap dalam meletakkan prioriti sesuatu perkara. Kalau ditanya, boleh atau tidak kita membaca majalah, sudah tentu jawapannya boleh. Bagaimana pula dengan membaca al-quran? apatah lagi!
Tetapi, kita lebih berminat untuk membaca majalah. Hari ini, kita seharusnya koreksi kembali, bahawa salah satu punca kemaksiatan dan kemungkaran bermaharajalela di muka bumi adalah disebabkan tiadanya jiwa atau roh islam itu sendiri.
Jiwa kita kosong bahkan ianya diisi dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Contohnya, membaca majalah-majalah hiburan, menghabiskan masa ke program-program maksiat seperti konsert-kensert artis yang terang-terang telah melanggar batas-batas syara’, realiti yang tidak dapat disangkal lagi.
Perkara ini jelas menginsafkan saya. Apa tidaknya, kalau kita sanggup berkorban masa untuk perkara-perkara yang sia-sia atau lebih teruk lagi kepada perkara-perkara maksiat yang sudah tentu mendapat kemurkaan Allah s.w.t mengapa tidak kita berkorban saja masa kita untuk membaca al-quran. Ianya adalah satu sumber untuk kita mendapatkan kekuatan dari aspek kerohanian. Iya! kekuatan rohani.
Mungkin kemampuan kita tak dapat menandingi orang-orang terdahulu seperti imam As-Syafei yang mampu mengkhatamkan al-quran sebanyak dua kali sehari. Lebih mengkagumkan ialah beliau menghabiskannya di dalam solat pada bulan puasa. Subhanallah!
Hari ini kita nak baca satu ayat pun kadang-kadang susah bahkan tidak terdetik lansung dalam hati ini ada niat untuk membacanya, Nauzubillah min zalik. Kalau kita menunaikan tanggungjawab kefardhuan solat lima waktu masih lagi bernasib baik, tapi bagaimana kalau solat fardhu pun kita tidak tunaikannya. Satu ayat bahkan satu huruf pun kita tidak menyebutnya.
Inilah salah satu amalan atau cara hidup muslim yang sebenar disamping menunaikan tanggungjawab yang lain. Mungkinlah jika hendak dibandingkan dengan aktiviti-aktiviti yang lain, tak dapat untuk dibandingkan sekiranya kita mengharapkan habuan material semata-mata.
Maka, di sinilah tahap keimanan dan kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah diuji. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak pernah mungkir janji. Bila disebut soal ganjaran atau kelebihan maka orang yang selayaknya untuk menerima ganjaran itu sudah tentu orang yang berbuat kebaikan.
Dan kelebihan orang yang bersama-sama dengan al-quran telah disebutkan oleh Rasulullah s.a.w bahawa baginda menyeru kepada kita semua supaya membaca al-quran kerana dengannya ia akan memberikan syafaat kepada kita di hari akhirat nanti.
Selain itu, Rasulullah s.a.w juga memberitahu bahwa sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-quran akan diganjari dengan satu kebaikan dan setiap kebaikan itu diganda dengan sepuluh kebaikan. Begitulah kasihnya Allah swt terhadap hambanya.
Namun, oleh sebab hati kita sudah diikat dengan habuan dunia, maka kita lupa bahkan seolah tidak mempercayai janji-janji Allah itu, hasilnya, hidup kita jauh dengan al-quran.
Persoalannya : adakah ianya ada dalam pemikiran kita tika ini? Astaghfirullah!!! Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi maha penyayang.
Sebenarnya tiada alasan untuk kita umat Islam lari daripada menunaikan tanggungjawab kita terhadap al-quran, kalau membaca itu sudah kita anggap berat apatah lagi untuk mengamalkannya. Alasan tidak pandai membaca bagi saya sudah tidak relevan lagi pada hari ini. Kalau nak seribu daya, kalau taknak beribu alasannya.
Inilah masalah yang sering kita hadapi bahkan ianya sudah menjadi satu penyakit yang sinonim dikalangan umat Islam. Mahu tapi ego, atau mahu tapi malu? Kalau marah orang memanggil kita bodoh, tapi mengapa kita tidak marah bodohnya diri kita kerana tidak mahu menjadi pandai? Fikirkan sejenak.
Tanggungjawab kita pada Al-Quran
Seterusnya, dalam sesi tazkirah tersebut, ada juga menyebut tentang kewajipan yang patut kita tunaikan dalam hidup bersama al-quran iaitu menjadikan bacaan al-quran itu sebagai wirid harian kita. Sekurang-kurangnya ada ayat al-quran yang kita baca setiap hari. Ini lebih baik jika dibandingkan tidak ada lansung ataupun daripada lidah kita dibasahkan dengan lirik-lirik lagu yang tidak bermanfaat.
Jika mampu sekurang-kurangnya dalam masa tiga puluh hari itu kita dapat mengkhatamkan al-quran sebanyak sekali khatam. Jika kita mampu lebih dari itu lagi sekurang-kurangnya, setiap tiga hari kita khatam seperti mana yang diceritakan agaimana Rasulullah s.a.w menjawab pertanyaan Ibnu Umar tentang tempoh mengkhatamkan membaca al-quran.
Kemudian dijelaskan pula bahawa kewajiban yang perlu kita tunaikan ialah mempelajari bacaan al-quran dengan betul. Inilah tanggungjawab kita dalam memperbaiki dan mempercantikkan bacaan kita.
Walaubagaimanapun, kita tidak diberatkan sehingga sesuatu perkara itu menjadi penghalang untuk kita membacanya.
Contohnya bagi orang yang lidahnya susah untuk menyebut atau membaca al-quran makanya Rasulullah s.a.w ada menyebutkan perihal orang yang sebegini dan baginda menyeru supaya untuk diteruskan membaca al-quran kerana bagi mereka ada ganjarannya juga.
Seterusnya, kita juga hendaklah terkesan dengan bacaan kita atau dengan kata yang lain ialah memerhati dan menyelami maksud-maksud setiap ayat yang kita baca. Kita boleh jadikan kisah bagaimana Saidina Umar sebagai contoh ikutan di mana beliau pernah tidak sedarkan diri selama sebulan kerana membaca syat yang berkaitan dengan azab Allah s.wt.
Hari ini, kita nak menangis pun belum tentu. Dan tanggungjawab kita yang seterusnya ialah kita hendaklah menjaga hafalan serta mengulang ayat-ayat al-quran yang telah dan pernah kita hafal.
Untuk akhirnya yang paling penting sekali ialah mengamalkan isi-isinya. Ketahuilah sesungguhnya al-quran itu boleh menjadi hujah bagi kita, tidak kurang juga al-quran juga boleh menjadi musuh kita di akhirat nanti. Nauzubillah min zalik.
Oleh sebab itulah, al-quran itu bukan sahaja untuk di baca semata-mata. Akan tetapi ianya perlu disertai dengan penghayatan serta perlaksanaan dan inilah yang menjadi kewajiban bagi kita semua.
Begitulah sedikit panduan serta peringatan yang boleh dikongsi bersama supaya kita ini tidak tergolong dikalangan orang-orang akan menyesal suatu hari nanti.
Remeh yang menginsafkan.
Begitulah realiti yang kita sedang lalui pada hari ini. Dalam tak sedar kita telah mengabaikan tanggungjawab yang asas sebagai umat Islam. Budaya hidup bersama al-quran. Mudah-mudahan kita membudayakan hidup kita dengannya, bukan kita membudayakan al-quran dengan hidup dan kehendak kita.
Islam itu yang seharusnya memerintah, bukan kita yang memerintah Islam sepertimana yang kita dapat lihat pada hari ini.
Wallahu ta’ala a’lam.
http://muhammadkamal.wordpress.com
Sunday, 15 November 2009
Budayakan Hidup Bersama Al-Quran
Posted by amn077 at 21:51
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment