Makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang beri impak rasa syukur kepada rezeki
DALAM kehangatan delegasi Persidangan Keselamatan Makanan anjuran Pertubuhan Makanan dan Kesihatan Sedunia (FAO), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bersidang di Rome, Itali, pelbagai perkara dibincangkan. Antara permasalahan kronik ialah ketidakcukupan makanan yang melanda masyarakat dunia yang menyumbang kepada angka kebuluran sebagai penyebab kematian bagi berjuta-juta nyawa saban tahun.
Ironinya, di Malaysia banyak masalah kesihatan dicetuskan berpunca daripada tabiat makan. Pengambilan makanan berlebihan, kurang bersih, tidak seimbang dari sudut gizi dan kelas makanan antara penyebab berlaku penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan obesiti.
Pepatah yang mengungkapkan 'kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa' sebenarnya mempunyai maksud tersirat. Di sebalik tersurat yang mengajar manusia berhati-hati dengan kata yang dilontarkan kerana mungkin mendatangkan masalah dalam konteks fizikal yang mengakibatkan badan binasa, mulut juga perlu dilihat sebagai pintu masuk kepada makanan yang bakal menjadi darah daging kita yang ada kalanya merosakkan badan.
Masyarakat mengetahui penting dan akrabnya hubungan menjaga pemakanan dalam menjaga kesihatan seseorang. Dalam hal ini, Islam sebagai agama yang syumul dan sarat ajaran yang penuh dengan hikmah dan rahsia menggariskan panduan dalam kita menjayakan program makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan.
Firman Allah bermaksud: "Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." (Surah Al-A'raf: 31) dan "Sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan dan syaitan itu kufur dengan Tuhannya." (Surah Al-Israk: 27)
Islam mengajar kita berpada-pada apabila menghadap dan mengambil makanan. Betapa banyak penyakit kronik seperti diabetes mellitus (kencing manis) dan hipertensi (darah tinggi) berpunca daripada pemilihan dan jumlah makanan tidak betul.
Jika menggunakan panduan yang dianjurkan Islam, bukan saja kita akan berupaya menguruskan budaya pemakanan yang lebih berhemah bahkan unsur pembaziran juga dapat dielakkan.
Ia juga akan mengurangkan potensi mendapat kegemukan yang menjadi faktor risiko kepada pelbagai masalah lain seperti pernafasan ketika tidur, penyakit berkaitan jantung dan salur darah tersumbat, masalah sendi yang terpaksa menanggung beban berat badan yang berlebihan dan sebagainya.
Dari segi pemilihan jenis makanan pula, Islam mengajar kita panduan yang secara umumnya perlu mempunyai dua ciri utama iaitu halal dan baik. Ia termasuk makanan yang terjamin kebersihannya, kaedah sembelihan, cara penyediaannya yang jika kita tidak mengambil perhatian daripadanya boleh mengundang penyakit bawaan kuman seperti hepatitis A, gastroenteritis, taun dan kepialu.
Aspek memilih premis makanan yang bersih dan terjamin mutu halal dan kita harus melihatnya secara serius dan belajar apa yang tersirat di sebaliknya.
"Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik (halalan toyyiba) daripada apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu." (Surah al-Baqarah: 168)
"Hai orang beriman, makan antara rezeki yang baik-baik yang kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar kepada-Nya kamu menyembah." (Surah al-Baqarah: 172)
Apabila aspek pemilihan sumber, jenis, kumpulan makanan dibuat, maka kita juga perlu meneliti bilakah masanya yang sesuai perlu kita makan dan berhenti makan.
Rasulullah memberikan panduan mengenai cara makan ideal supaya kita lebih mensyukuri nikmat makanan yang dikurniakan dan pada masa yang sama tidak memudaratkan kesihatan.
Makan ketika lapar lebih memberi kita impak rasa bersyukur dengan kurniaan rezekinya dan menginsafi serta mewujudkan rasa ingin membantu kepada mereka yang saban hari berada dalam keadaan lapar.
"Kami adalah kaum yang tidak akan makan kecuali apabila lapar dan apabila kami makan tidak sampai terlalu kenyang." (Hadis Abu Daud)
Selain aspek lahiriah, amalan pemakanan yang tidak mementingkan pematuhan panduan Islam menyebabkan kesan sampingan yang lain termasuk kerosakan mutu rohani dan spiritual. Apa yang jelas daripada hadis Baginda ialah doa seseorang tubuhnya terbina daripada makanan yang bersumberkan suatu yang haram, tetapi tetap juga disuap ke mulutnya akan tertolak.
"Seorang lelaki bermusafir sehingga rambutnya menjadi kusut dan mukanya dipenuhi debu. Dia menadah tangannya dan berdoa kepada Allah sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuap dengan sesuatu yang haram, bagaimana akan diperkenankan permohonannya?" (Hadis Muslim, Ahmad dan Tirmizi)
Sikap sambil lewa terhadap apa yang disuap ke mulut kita bukan saja menyebabkan tertolaknya doa bahkan tubuh kita juga merana pada hari akhirat nanti.
Walaupun ada yang memegang prinsip 'membujur lalu melintang patah', 'rezeki jangan ditolak' namun kita harus memikirkan dua kali adakah rezeki yang lalu atau terhidang di depan mata benar-benar rezeki kita atau hak orang lain yang berjaya kita manipulasikan.
Dalam hal ini, Rasulullah memberi amaran bahayanya makan makanan haram baik dari segi lahiriah haram atau batiniah seperti sumber haram. Sabda Rasulullah: "Setiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka api neraka lebih layak dengannya." (Hadis At-Thabarani)
Jelaslah kepada kita perlu meneliti setiap apa yang ingin disuapkan ke mulut kita atau tanggungan yang berada di bawah kita. Amat besar kerugian dan penyesalan jika aspek yang diajar Islam ini kita ambil remeh.
Sesungguhnya kecantikan ajaran itu terserlah pada hikmah yang terkandung di dalamnya, dan akan zahir keunggulannya apabila umatnya mengamalkannya.
Penulis ialah Pensyarah Perubatan ORL, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan
Oleh Dr Irfan Mohamad
Sunday, 29 November 2009
Pemakanan seimbang, sihat ikut sunnah Rasulullah
Posted by amn077 at 12:41
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment