SIFAT siddiq (benar) adalah inti sari kebaikan yang dimiliki sahabat paling disayangi Rasulullah SAW iaitu, Abu Bakar yang digelar as-Siddiq. Dari Abdullah bin Masud RA, dari Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya siddiq itu membawa pada kebaikan, dan kebaikan akan menunjukkan pada syurga. Seseorang berperi laku siddiq, hingga ia dikatakan sebagai seorang yang siddiq. Pendustaan akan membawa kepada keburukan, dan keburukan akan menghantarkan pada neraka. Seseorang berperi laku dusta, hingga ia dikatakan sebagai pendusta." � (Hadis Bukhari).
Abu Bakar as-Siddiq mempunyai keistimewaan berbanding dengan para sahabat yang lain. Imam al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu'abul Iman, dari Umar bin al-Khattab: "Jika ditimbang keimanan Abu Bakar dengan keimanan seluruh umat maka akan lebih berat keimanan Abu Bakar."
Rasulullah SAW sendiri pernah memuji keislaman Abu Bakar, seperti dinyatakan oleh Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wal al-Nihayah: "Tidak aku mengajak seorang masuk Islam, tanpa ada hambatan, keraguan, tanpa mengemukakan pandangan dan alasan, hanyalah Abu Bakar. Ketika aku menyampaikan ajakan dia langsung menerimanya tanpa ragu-ragu sedikitpun. Puncaknya adalah pada peristiwa Israk dan Mikraj, dan semua manusia mendustai Rasulullah SAW, namun Abu Bakar yang membenarkan kejadian itu."
Oleh kerana itu Abu Bakar mendapat gelaran as-Siddiq, pemberian Allah melalui lisan Rasulullah SAW, seperti dikatakan Ali bin Abi Talib. Ini menunjukkan bahawa siddiq adalah sifat yang mempunyai nilai tertinggi di sisi Allah SWT.
Firman Allah: "Sesungguhnya lelaki dan perempuan yang Muslim, lelaki dan perempuan yang mukmin, lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaatan, lelaki dan perempuan yang benar, lelaki dan perempuan yang sabar, lelaki dan perempuan yang bersedekah, lelaki dan perempuan yang berpuasa, lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah telah menyediakan untuk mereka ampunan dan ganjaran yang besar." � ( al-Ahzab : 35).
Selain mendapatkan ampunan dan ganjaran Allah, siddiqin juga mempunyai tempat tinggi di sisi Allah di akhirat. Mereka akan disatukan bersama nabi, orang syahid serta salihin. Firman Allah bermaksud: "Dan siapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka itu akan bersama-sama dengan orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu nabi, siddiqin, syuhada dan salihin, mereka itulah teman sebaik-baiknya." � (Al-Imran: 69).
Orang yang siddiq memiliki beberapa ciri, antaranya adalah:
• Teguh dan tegar terhadap apa yang diyakininya.
• Tidak ragu untuk berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa.
• Memiliki keimanan kepada Allah, Rasulullah SAW, berinfak (bersedekah), mendirikan solat, menunaikan zakat, menepati janji dan sabar.
• Mempunyai komitmen yang kuat terhadap Islam.
Cara meraih sifat siddiq ialah:
• Sentiasa memperbaharui keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Kerana asas sifat siddiq ini adalah kuatnya keyakinan kepada Allah.
• Melatih diri untuk bersikap jujur, ikhlas di mana pun berada dan pada bila-bila masa saja. Kerana kejujuran dan keikhlasan adalah karakter mendasar sifat siddiq.
• Melatih diri untuk sentiasa membenarkan sesuatu yang datang dari Allah (al-Quran dan Sunnah), kerana kebenaran mutlak hanya milik Allah. Sementara ijtihad manusia masih sangat memungkinkan ada kesalahan.
• Sentiasa melatih diri untuk komitmen dengan Islam dalam segala aspeknya, akidah, ibadat, akhlak dan syariah. Ciri siddiqin adalah memiliki komitmen tinggi terhadap Islam.
• Selalu menghayati ayat Allah, hadis Rasulullah SAW mengenai sifat siddiq, kerana menghayati ayat dan hadis sangat membekas dalam jiwa manusia.
• Sentiasa mengkaji sejarah kehidupan salafus salih, terutama sikap mereka yang menunjukkan kesiddiqannya.
• Memperbanyak zikir dan amalan sunnah kerana ia akan menjadikan hati tenang dan tenteram, mudah dihiasi sifat siddiq.
Sunday, 29 November 2009
Ganjaran insan tegak kebenaran dihimpun bersama Rasulullah
Posted by amn077 at 12:39
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment