DALAM tempoh dua minggu ini, sebelum ketibaan hari wukuf yang dijangka pada 26 November ini, jemaah haji dari seluruh pelosok dunia mula menuju ke tanah haram Mekah.
Dalam sedar atau tidak, para jemaah haji itu sebenarnya sedang menuju ke titik pertengahan dataran muka bumi ciptaan Allah SWT. Tidakkah terlintas di fikiran kita bahawa adanya keunikan pada lokasi Mekah tersebut?
Sebagai tempat tumpuan umat Islam, memang sangat strategik untuk Mekah berada di pusat dataran muka bumi.
Allah SWT berfirman: "Dan serulah umat manusia untuk menunaikan ibadat haji; nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhan-mu dengan berjalan kaki dan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh." (Surah al-Hajj ayat 27 ).
Inilah ketentuan Allah. Tuhan telah menurunkan al-Quran yang terkandung di dalamnya syariat ibadat haji yang ditentukan lokasinya di tanah suci Mekah.
Seorang ilmuwan Mesir, Dr. Husin Kamaluddin di dalam kajian ilmiahnya membuktikan bahawa Mekah berada di tengah-tengah daratan muka bumi. Dengan melukis sebuah bulatan yang mana Mekah berada di titik pertengahannya, bulatan tersebut akan menyentuh setiap hujung daratan bumi.
Keadaan itu juga ditegaskan juga oleh seorang ahli geologi dan pengkaji ilmu kemukjizatan al-Quran tersohor, Prof. Dr. Zaghlul al-Najjar. Menurut Zaghlul, Mekah berada tepat di tengah-tengah daratan muka bumi. Bahkan beliau berpendapat, dalam proses kejadian bumi yang pada asalnya adalah lautan, daratan bumi timbul secara berperingkat-peringkat. Daratan yang mula-mula muncul adalah Mekah al-Mukarramah.
Allah SWT berfirman: "Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam." (Surah Ali Imran ayat 96).
Dalam seminar antarabangsa bertajuk "Mekah: Pusat Bumi - Antara Teori dan Praktikal" di Doha, Qatar pada 19 April 2008 lalu, beberapa resolusi telah diputuskan.
Antaranya:
Pertama, Mekah al-Mukarramah adalah pusat bumi. Kedua, Mekah adalah pusat tarikan magnetik bagi bumi. Ketiga, waktu jam Mekah hendaklah dijadikan ukuran waktu dunia, bukannya waktu Greenwich seperti yang diguna pakai sekarang.
Inilah antara keunikan dan kemukjizatan syariat yang dinyatakan oleh al-Quran yang kini terus dibuktikan kebenarannya.
Ternyata bukti-bukti seperti ini menjadi wasilah dakwah yang sangat berkesan khususnya kepada mereka yang cintakan ilmu pengetahuan. Justeru tidak mustahil ramai para ilmuwan yang menerima hidayah Allah SWT melalui bukti-bukti seperti ini.
Allah SWT juga menjelaskan bahawa bukti-bukti ini akan diperlihatkan seperti mana firman Allah SWT: "Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di afaq (langit dan bumi) dan pada diri kamu sendiri sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Kamilah Tuhan yang sebenarnya; tidakkah cukup (bukti) lagi bahawa Tuhanmu menjadi saksi kepada setiap sesuatu?" (Surah Al-Fussilat ayat 53).
Ketika Islam dan umatnya mengepalai tamadun manusia beberapa abad lalu, barangkali kajian-kajian seperti ini tidak menjadi keutamaan kepada para ilmuwan Islam.
Ini kerana dari sudut dakwah, Islam tidak menerima cabaran dari aspek ini. Berbeza pada hari ini di mana musuh Islam telah menguasai ketamadunan, sains, teknologi dan sebagainya.
Sementara umat Islam agak ketinggalan dalam aspek-aspek tersebut. Ini menjadikan aspek ini satu bidang dakwah yang penting untuk menjelaskan kepada bukan Islam akan keunikan dan ketinggian al-Quran yang kadang-kala mendahului penemuan-penemuan mereka dalam pelbagai disiplin ilmu.
PENULIS ialah pendakwah bebas
Oleh DR. MOHD FAHMI ABDUL KHIR
Sunday, 15 November 2009
Mekah pusat bumi, tumpuan ibadat
Posted by amn077 at 21:42
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment