BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, 19 May 2010

Berdoa elak dihina di akhirat

SYED Qutub berkata: Ayat-ayat atau bukti-bukti Ilahiah yang terdapat di alam buana ini tidak terserlah hakikatnya yang banyak memberi ilham itu melainkan kepada hati-hati yang sentiasa mengingati dan beribadat kepada Allah SWT.
Mereka yang sentiasa mengingati dan menyebut Allah SWT dalam segala keadaan sama ada berdiri, duduk atau berbaring di samping memikirkan kejadian langit dan bumi serta pertukaran malam dan siang.

Maka kepada hati merekalah terserlah hakikat-hakikat agung yang terkandung dalam kejadian langit dan bumi dan pertukaran malam dan siang.
Ayat ke-192
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sebenarnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya, dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolong pun.

Fiqh dan iktibar ayat
i. Ibn Kathir berkata: "Allah SWT tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, tetapi dengan penuh kebenaran".

ii. Ibn Abbas berkata: "Orang Musyrikin tidak dapat menegah daripada azab Allah SWT"
.
iii. Al-Zajjaj berkata: "Orang yang dihina dan dikeji tidak mampu untuk berhujah dan ia adalah orang yang dimasukkan ke dalam neraka".

iv. Al-Maraghi berkata: "Orang zalim ialah tidak menuruti jalan yang lurus. Oleh itu, orang yang dimasukkan ke dalam neraka dikatakan zalim untuk menyatakan bahawa punca dan sebabnya kerana sikap derhaka dan kezaliman mereka".

Ayat ke-193
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru (Rasul) yang menyeru kepada iman, katanya: "Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu", maka kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti.

Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: "Penyeru yang menyeru kepada keimanan iaitu Rasulullah SAW". Baginda menyeru supaya manusia menyembah kepada Tuhan yang satu iaitu Allah Rabb al-Alamin.
Maksud orang yang menyeru dalam ayat ini kepada dua pendapat:
Pertama: Nabi SAW. inilah pendapat Ibn Ababs, Ibn Juraij, Ibn Zaid dan Muqatil.
Kedua: Iaitu al-Quran. Inilah pendapat Muhammad bin Ka'ab al-Qurazi dan dipilih oleh Ibn Jarir al-Tabari.

ii. Al-Maraghi berkata: "Penyeru yang dimaksudkan di sini ialah Rasulullah SAW". Baginda dinamakan penyeru bagi menyatakan betapa tingginya nilai seruan ini.
Ini berlaku setelah mereka mengenal Allah SWT dengan sebenar-benarnya, sama ada dengan cara mengingati atau berfikir.

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Imam al-Ghazali ketika menjelaskan sifat Allah al-Muqsith memberi pengertian dengan mengutip riwayat Abu Ya'la, al-Hakim, dan disebut juga oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.
Ayat ke-194
Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami pahala yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasul-Mu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji.

Iktibar dan fiqh ayat:
i. Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah SWT menyudahi ayat dengan kenyataan sesungguhnya Kamu tidak memungkiri janji untuk menguatkan harapan mereka dan mendapat keampunan dosa-dosa mereka".
ii. Al-Maraghi berkata: "Wahai Tuhan kami! Berikan pembalasan yang sebaik-baiknya kepada kami sebagaimana yang telah engkau janjikan kepada kami".
Contohnya, kemenangan di dunia dan kesenangan di akhirat sebagai balasan kepada kami kerana membenarkan para utusan-Mu dan mengikut seruan mereka.
iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Dapat difahami dalam erti harfiahnya dan ini mengisyaratkan sopan-santun kepada Allah SWT sehingga tidak menampakkan diri sebagai seorang yang berhak memperoleh apa yang dijanjikan-Nya itu".

Ayat ke-195
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): "Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain, maka orang-orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya), dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya, dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang Sabil), sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)".

Sebab nuzul ayat
Mengikut riwayat Ummu Salamah, beliau bertanya: "Hai Rasulullah, saya tidak mendengar berkenaan sebutan wanita tentang hijrah dengan sesuatupun"? Lantas turunnya ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn al-Jauzi berkata, maksud sebahagian kamu daripada sebahagian ada tiga pendapat:
Pertama: Dalam agama, pertolongan dan kepimpinan.
Kedua: Kesemua kamu dihukum sama sahaja dari segi pahala kerana lelaki daripada wanita dan wanita daripada lelaki.
Ketiga: Semua kamu berasal daripada Adam dan Hawa.

ii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT menganugerahkan pahala ini sebagai balasan kerana amalan yang dikerjakan selama mana amalan tersebut dapat mempengaruhi jiwanya.
Sekiranya amalan yang dilakukan membersihkan jiwanya, maka mereka akan memperoleh kenikmatan di akhirat, begitu juga sebaliknya".

iii. Al-Sonhaji berkata: "Doa mereka dikabulkan Tuhan. Amalan mereka tidak disia-siakan sama ada lelaki mahupun perempuan sekiranya sama-sama di dalam ketaatan".
Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mentaati Allah SWT, berdoa kepada-Nya dan diselamatkan daripada bala bencana. Amin.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI (Siri Ke-74)

0 comments: