TIDAK dapat dinafikan bahawa akal adalah anugerah Tuhan yang tertinggi kepada seorang insan. Malah lebih tinggi daripada nilai sebuah nyawa. Kalau diberi nyawa sekalipun tanpa dibekalkan akal, anda tak ubah seperti seekor haiwan.
Tujuan Tuhan menganugerahkan akal kepada manusia ialah untuk mengurus alam ini. Sebab itu akal mesti dijaga. Akal didatangkan oleh Tuhan dalam dua bentuk. Secara fizikal (yang dinamakan otak) dan secara rohani (yang dinamakan minda). Banyak unsur-unsur yang mempengaruhi pencapaian dan kecemerlangan akal antaranya; keturunan, kesihatan, pemakanan, suasana sekeliling dan orang yang paling hampir atau paling disayangi.
Minda yang hebat mampu melahirkan manusia yang super hebat. Manusia yang super hebat mampu membawa perubahan atas muka bumi bukan sahaja untuk dirinya, keluarga dan masyarakat malah untuk manusia sejagat.
Tetapi ramai manusia yang mensia-siakan hidup kerana tidak membangunkan akal dan minda. Inilah manusia yang biasa-biasa sahaja - merasa cukup dengan apa yang menimpa dirinya dan tidak punya kekuatan untuk berubah. Sedangkan Tony Buzan berkata dalam bukunya Make The Most of Your Mind, "Otak ibarat raksasa yang sedang tidur."
Buku Rahsia Minda Hebat tulisan dua orang perunding motivasi yang tak asing lagi di negara kita iaitu Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dan Muhammad Zakaria merubah segalanya. Mereka menggabungkan ilmu syariat dan psikologi dengan pengalaman dan pemerhatian untuk dicurahkan kepada pembaca. Apa kata mereka?
"Seperti anda, kami juga bukanlah asalnya orang yang semula jadi dianugerahkan bakat yang hebat oleh Tuhan. Tapi kami sendiri yang mengubahnya, berusaha dan bekerja keras. Ini bukan pula bermakna kami telah mencapai kecemerlangan yang sangat tinggi. Sebenarnya anda mempunyai kemampuan untuk mencapai kejayaan yang lebih baik daripada apa yang telah kami lalui. Anda yakin?"
Mereka mengakui bahawa ramai anak-anak didik mereka - yang boleh dipanggil adik atau anak telah laju ke hadapan mencipta kecemerlangan. Ada yang sudah menjadi ulama besar. Ada yang sudah menjadi jutawan. Ada yang telah meraih gelaran profesor dan tan sri. Bekalan mereka cuma satu - menggembeling anugerah akal dan minda yang diberi Tuhan kepada mereka. Betapa tidak, kekuatan akal diberitahu oleh Norman Cousins dalam bukunya Head First: The Biology of Hope, "Sistem cakerawala dengan jutaan galaksinya pun tidak mampu menandingi kecanggihan otak manusia yang menakjubkan. Otak manusia adalah cermin ketidakterhinggaan - tidak ada batas, ruang lingkup, atau kapasiti bagi otak untuk tumbuh secara kreatif."
Bagaimana mengeksploitasi anugerah Tuhan?
lPertama: Mendengar dan memerhati. Seperti kata Brian Tracy, penulis buku Maximum Achievement, "Asalnya, sumber tunggal yang terbesar berada di antara dua telinga anda (maksudnya otak). Kini, kekayaan berada dalam kekuatan otak bukan otot." Betul, ramai orang bekerja keras (membina otot) tetapi tidak cemerlang. Tetapi kalau anda work hard and work smart - itulah yang sebaik-baik pendekatan.
lKedua: Yakin. Seperti kata Napoleon Hill dalam bukunya, Think and Grow Rich, "Apa saja yang dapat difahami dan diyakini oleh fikiran, dapat dicapai oleh fikiran."
lKetiga: Bekerja keras untuk merealisasikannya. Seorang ahli motivasi berkata: "Menggunakan otak seperti meneroka hutan belantara. Akhirnya anda akan bertemu jalan keluar. Kalau tidak anda harus membinanya sendiri."
Buku ini yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd. dengan warna penuh ini merupakan salah sebuah buku terbaru yang menyorot satu perspektif yang sangat penting tentang otak dan minda. Buku ini sangat menarik kerana isi kandungannya menyentuh hampir keseluruhan aspek minda termasuklah perihal otak secara saintifik, 'menyihatkan minda' menurut perspektif Islam, mencerdaskan minda melalui aktiviti fizikal, pemerhatian, pemakanan, psikologi dan motivasi dan kaedah mencerdaskan akal bayi.
Semua aspek ini dikupas dengan begitu mendalam dan disampaikan dalam konsep buku-majalah yang sangat menarik dan tidak membosankan. Gambarajah yang jelas di samping permainan warna yang baik menjadikan buku ini sesuai dibaca oleh semua peringkat umur. Malah, sesetengah fakta yang kompleks telah dipermudahkan dalam bentuk doa untuk diamalkan, carta, jadual, foto, nota ringkas, petikan dan kisah-kisah menarik yang berkaitan.
Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-62754070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my dan www.telagabiru-tbsb.blogspot.com.
Wednesday, 19 May 2010
Guna minda untuk jadi hebat berjaya hebat
Posted by amn077 at 20:46
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment