BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday 19 May 2010

SINERGI: MEMBANGUN MODAL INSAN

Penulis tidak akan sekali-kali memisahkan kepentingan teori dari kepentingan amal. Beramal tanpa teori dan buku, akan terdedah kepada kesilapan yang dungu dari pembetulan. Teori dan buku tanpa amal akan terdedah kepada kedunguan kerana asyik dengan perbuatan nak membetulkan.
Penulis terbaca satu artikel karangan Edward d. Bono di sebuah laman website. Manusia kadang-kadang berpuas hati dengan hanya mengetahui tajuk (hal pokok) sahaja, tanpa mengalami sendiri suasananya. Sebagai contoh hujan, bila ditanya mengapa basah? Maka dijawab seorang lagi kerana hujan. Jarang manusia yang suka bertanya bagaimanakah terjadinya hujan itu kepada orang yang basah?
Boleh ke penulis jadikannya sebagai analogi? Ada segelintir yang begitu seronok dengan nama-nama ilmu tetapi gagal dari segi aplikasinya.

Untuk tidak mengulangi kesilapan terdahulu, pembacaan dan penelitian perlu diadakan sebelum perlaksanaannya. Justeru itu, perancangan ini berjalan dengan lancar. Ia ibarat muhasabah kepada diri, orang mukmin sukar jatuh kali kedua ke dalam lubang yang sama. Teori dan praktikalnya amat penting. Seimbangkan kedua-duanya, insha-Allah ada sesuatu yang baik daripadnya.

AKHLAK LUHUR MEMBENTUK MODAL INSAN
Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah ruah, bahkan memberi kemudharatan. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi. Memang ia sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah Taala semai di hati si ibu dan si ayah, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak.

Jika dilihat senario kehidupan masyarakat kita hari ini, agak menyedihkan. Keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan. Anak-anak muda sekarang sudah luntur adab sopannya, di mana pada masa dahulu kita merupakan bangsa yang memiliki kesopanan yang tinggi. Hinggakan jika nak bergaduh pun ada pokok pangkalnya. Kepada siapa hendak dipersalahkan.

Samseng jalan raya melampau-lampau. Jika pergi ke sesetengah kaunter pertanyaan, layan macam tak layan jika silap hari bulan kena marah percuma. Jika menaiki bas atau komuter, dah tidak tahu memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Di sekolah, murid-murid bercakap dengan guru tiada berlapik, main hentam keromo. Tidak kurang juga dengan para guru yang mengajar terjerit-jerit macam tarzan.
Ramai yang bercakap tentang Islam, dan berimej Islam tetapi tidak sama dengan akhlak yang dituntut di dalam Islam. Berkopiah sana sini, bertudung labuh tapi masih memfitnah, memaki hamun, mengumpat, mengeji, menghina, cakap besar, bangga diri, sombong dan macam-macam lagi. Tak semua penulis maksudkan, namun ada segelintir dari kalangan mereka belajar akhlak, tetapi diri tidak berakhlak.

Isu akhlak sering diperkatakan namun jarang dihayati, masyarakat kita kekadang kerap menuding jari apabila isu akhlak Melayu Muslim diperkatakan. Kritikan dan pelbagai tohmahan sering diberikan, tanpa orang yang menuding jari itu cuba untuk membantu, at least menyatakan kaedah atau jalan penyelesaian.
Orang kita kerap mengambil langkah berdakwah dengan hati, pendekatan selemah-lemah Iman.

Kebanyakan orang-orang kita hari ini, meletakkan nilai dan ruang moral masyarakat kita semakin meruncing. Kita suka mengkritik apa yang kita tak suka dan memuji serta menyanjung apa yang kita lihat suka dan baik. Kita gagal mengkaji dan memperbaiki nilai yang tidak baik ini, kerana orang Melayu suka mengikut dengan budaya lain, selain menghayati nilai yang ditinggalkan para anbia' dan ulama' kita terdahulu, atas alasan itu semua ketinggalan zaman.

Islam, adat dan budaya meninggalkan kita dengan seribu satu kebaikan. Kaya kita sebenarnya kerana status sebagai melayu Muslim. Tapi kita miskinkan diri dengan sikap kita yang masih lagi kebudak-budakan.

Menghargai kemodenan Barat mencemuh nilai budaya bangsa sendiri, perlu juga diperhatikan. Bukan tidak boleh tapi biarlah ada pengubahsuaian dalam adat-adat ketimuran kita. Jika tidak, hasilnya Melayu Muslim hilang identity, sehinggakan bangsa dan agama lain menindas kita sebagai bangsa dan agama yang rendah martabat dan nilainya.

Dalam ibadah kita, sebenarnya terkandung banyak nilai-nilai akhlak yang ditanam secara halus seperti ibadah solat. Kalau kita perhatikan, di sana kita diajar setiap hari lima waktu supaya belajar menepati masa, berterima kasih, tawadhu', tidak kotor, tenang dan tidak gelabah, fokus, dan menolong orang lain (doa). Maksud penulis, sebenarnya jika ibadah yang kita lakukan bukan sekadar ritual, tapi kita memahami setiap gerak-geri kita, maka akan terlatihlah akhlak dalam ibadah, bukan sahaja menunggu ibadah solat, namun pelbagai lagi dari ibadah biasa-biasa yang boleh menjadi luar biasa.

Justeru itu, orang-orang yang soleh sangat tenang dan akhlaknya dipuji. Perbezaan penulis nampak, kita dengan orang Barat ialah mereka dilatih melalui budaya tetapi kita dilatih melalui ibadah. Mana yang lebih baik?
Ibadah itu proses, tetapi output padanya (akhlak mulia) yang tidak nampak. Segala nilai akhlak yang dinyatakan di atas hanya sekadar menunaikan rukun solat sahaja, tetapi malangnya di luar solat tabiat kita serta-merta berubah. Jadi, itulah yang memerlukan latihan. Di antara fahaman dan amalan juga terdapat perbezaan yang ketara. Kalau bukan untuk lulus peperiksaan, segala hafalan mengenai sifat mahmudah akan dilupakan dan gagal konsisten dalam amalan akhlak yang mulia.

MEMBENTUK AKHLAK MULIA
Kalut melihat majoriti masyarakat kita yang tandus akhlak. Penulis pernah berhadapan dengan satu situasi, menumpang kereta rakan yang umurnya dua tahun lebih muda. Sewaktu turun dari kereta, penulis telah ucapkan terima kasih. Jawapan yang penulis terima,
"Hai, dah terlebih sivik ke? Dah sampai turun aje la"
Hal ini simple tetapi terkesan di hati. Bayangkan pula hal-hal yang lebih besar dan lebih rumit. Majoriti masyarakat hari ini akhlaknya tidak selari dengan ilmu yang mereka ada. Kadang-kadang berakhlak di hadapan orang yang tidak berakhlak, ada waktunya memberi tekanan kuat kepada penulis.

Kesian pula lihat adik-adik kita yang sertai akademi fantasia. Niat mereka bagus sebab nak bantu keluarga, belajar muzik. Namun, lebih kesian sebenarnya generasi muda ramai yang tidak memahami Islam dan jauh dari sakhsiah Islamiah, serta menghalalkan pergaulan secara bebas. Itulah kecelaruan yang berlaku masa kini.
Begitu juga dengan artikel Sisters In Islam (SIS) yang mengutamakan pakaian takwa di dalam hati lebih utama dari memakai tudung yang menutup aurat. Patutlah kenapa Rasulullah S.A.W ada menyatakan bahawa orang yang paling dekat dengan baginda di akhirat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Sikap sesetengah masyarakat Barat boleh ditauladani, mematuhi segala etika dan undang-undang diwartakan demi kemaslahatan. Penerimaan mereka cukup baik, tiada masalah walaupun rasa cerewet pada permulaan, namun hasilnya mereka bisa menikmati kesenangan dan kesejahteraan.

Mematuhi undang-undang jalan raya menjadi keutamaan, pemandu atau pengguna jalan raya akan menjaga keselamatan masing-masing, hatta mereka ini akan memberi laluan kepada penjalan kaki untuk menggunakan hak jalan raya. Maka kalau mereka memandu, pasti berhenti di lintasan zebra. Pejalan kaki adalah raja, nak melintas cuma pastikan kenderaan tidak terlalu laju sahaja, selepas itu lintas dan pastinya kenderaan pelbagai jenis berhenti untuk memberi laluan, tiada pekikan suara hon.
Di Malaysia agaknya, menunggu ke malam baru jalan lengang. Maka dibina jejantas berjuta-juta harganya untuk memudahkan golongan ini, kerana apa? Bimbang jika dibiarkan melintas jalan, akan ada berlakunya kemalangan sebab kenderaan semuanya laju-laju.

Sekadar perbandingan akhlak dan disiplin masyarakat yang jelas terasa. Kita sering mengelak mengajarkan akhlak kerana malu kita sendiri yang membuat silap. Akhirnya semua diserahkan pada common sense masing-masing. Soal akhlak dan disiplin bukan dipelajari dalam buku sahaja, ianya mesti dipratikkan dan bisa terkesan daripada orang disekeliling.

Teringat masa sekolah rendah dulu-dulu, cikgu kata tak boleh buang sampah merata-rata. Nanti menyusahkan orang lain. Simpan sampah tu dalam kocek, jangan buang selagi tidak jumpa tong sampah. Alhamdulillah, bermula dari situ, kami cuba amalkan apa yang cikgu pesan. Tapi terkejut dan sedih juga, bila lihat di luar sekolah, ramai sahaja yang tidak dengar pesan cikgu rupanya. Lagi sedih, bila yang tidak dengar cakap cikgu tu, terdiri daripada ibu dan ayah budak.
Bab akhlak disentuh dalam ilmu tasawwuf. Kerana itu, Imam el Ghazali bersusah payah mengarang kitab-kitab yang berkaitan dalaman manusia (hati) agar umat manusia kembali kepada ad Din yang sebenar. Tapi sayang, kitab Imam el Ghazali tidak dijadikan sebagai silibus di sekolah-sekolah dan universiti. Paling kurang pakai untuk diri sendiri. Kitab yang mudah dihadam seperti komek, cepat pula dibaca.

MENDIDIK ANAK BERAKHLAK
Bagi yang sudah bergelar seorang ibu dan mempunyai anak yang ramai dan bekerjaya. Cabaran untuk memastikan akhlak diri terpelihara dan anak-anak mencontohinya terasa begitu hebat dan perlu menyahut cabaran psikologi ini, dengan media yang berleluasa tanpa ada tonjolan nilai-nilai akhlak terpuji.

Mengadakan usrah keluarga dan pembacaan sirah Rasul, para sahabat dan para ulama' silam. Kekadang menjadikan anak-anak ini terkejut dan tidak tahu macam manalah in real world untuk diamalkan, sebab dah susah nak jumpa amalan akhlak mulia ni. Kalau ikutkan, patutnya ada revamp dalam pengurusan Kementerian Penerangan pada media di tanah air, skrip drama, siaran radio dan televisyen mahupun iklan. Malah tuturbahasa dan gelak ketawa pengacara perlu ada tapisan oleh badan tertentu sebelum disiarkan, sebab dari semua inilah generasi kita menirunya.

Kiasan Pokok berbuah memang kena pada menerangkan ketiga-tiga (Iman, amal, dan ihsan) rukun yang membentuk Islam. Memang hasil yang diperlukan ialah buah yang lebat dan berkualiti tinggi.

Tidak ada makna kita menanam pokok sekiranya ia tidak mengeluarkan hasil, kalau buah yang diharapkan maka buahlah yang sepatutnya menjaga hasil dan kalau daun yang diharapkan (seperti sayur) maka kita mengharapkan sayur yang menghijau yang dapat membantu dalam menjaga kesihatan manusia. Tetapi ada juga pokok yang kita tidak harapkan buahnya atau daunnya, tetapi batang kayunya untuk bermacam-macam kegunaan pun boleh juga. Perlu pada usaha yang menyeluruh.
Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berpesan:
"Kami tidak beri ikan untuk kamu makan, tapi kami beri kamu kail untuk kamu cari ikan"

www.iluvislam.com

0 comments: