BERIMAN kepada hari kiamat adalah satu daripada rukun Iman yang wajib diperakukan kebenarannya, manakala mengingkarinya bererti seseorang itu terkeluar daripada Islam.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan bahawa sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang syak padanya, dan bahawa sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula) orang-orang yang berada dalam kubur.” (Surah al-Haj ayat 7).
Maha besar kebijaksanaan dan keesaan Allah yang merahsiakan tarikh sebenar berlakunya hari kiamat. Keadaan ini untuk memastikan manusia itu sentiasa bersedia untuk menghadapi saat getir itu.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja; dan ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” (Surah al-An’am, ayat 59).
Bagaimanapun, jika dilihat dalam beberapa hadis Rasulullah berkenaan hari kiamat, terdapat beberapa tanda yang dijelaskan Baginda.
Antaranya menerusi sabda Rasulullah: Dari Huzaifah al-Ghifari r.a berkata, sewaktu kami sedang berbincang, tiba-tiba datang Rasulullah kepada kami lalu bertanya: “Apakah yang kamu semua sedang bincangkan?”
Lalu kami menjawab: “Kami sedang berbincang mengenai hari kiamat.” Sabda Rasulullah: “Sesungguhnya kiamat itu tidak akan terjadi sebelum kamu melihat sepuluh tanda: Dukhan (kabut asap), Dajjal, Dhab al-Ardh (binatang melata yang boleh berbicara), matahari terbit dari barat, turunnya Isa, munculnya Ya’juj Ma’juj dan tiga gerhana, gerhana di timur, barat dan Semenanjung Arab dan terakhir api yang keluar dari Yaman yang akan menghantar manusia ke Mahsyar.” (Hadis Riwayat Muslim).
Hakikatnya hari kiamat itu pasti datang ‘menerjah’ manusia yang semakin asyik dengan keseronokan dunia yang penuh dengan helah dan tipu daya.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Aku diutus, sedangkan antara aku dan hari kiamat adalah seperti ini”, sambil Baginda menyandingkan antara jari telunjuk dan jari tengah.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sebagai umat Islam yang beriman kepada hari Kiamat, seharusnya kita sedar bahawa semua yang berkaitan dengan perkara ghaib adalah di luar kemampuan akal manusia untuk mentafsirkannya.
Setiap sesuatu yang tidak pernah langsung dinyatakan dalam al-Quran dan hadis haruslah ditolak sekeras-kerasnya supaya keimanan kita kekal utuh.
Allah jelas menerangkan perkara berkaitan hari kiamat menerusi firman-Nya dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?”, katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia.
“(Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut.” Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari Kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah al-A’raf, ayat 187).
Semestinya, sesuatu yang mustahil bagi manusia membuat kiraan untuk mengetahui tarikh sebenar bila berlakunya hari kiamat.
Tuesday 14 December 2010
Hari kiamat rahsia Allah
Posted by amn077 at 22:25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment