Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menerangkan keadaan golongan penderhaka, orang yang mengurangkan sukatan dan timbangan serta kedudukan masing-masing di sisi Allah SWT pada hari kiamat.
Berikutnya Dia menjelaskan pula keadaan orang yang berbakti kepada Tuhan iaitu mereka yang beriman kepada Tuhan mereka, membenarkan apa yang dibawa oleh rasul yang diwahyukan oleh penciptanya, dan mengamalkan kebajikan sewaktu di dunia dahulu.
Allah SWT juga menerangkan bahawa Dia pasti akan menghisab amalan-amalan mereka dan memasukkannya dalam kitab yang disebut Illiyin yang disaksikan oleh para malaikat Muqarrabun.
Pada akhirnya Tuhan menghitung jenis balasan kebaktian dan kebaikan yang diperolehi oleh kaum Abrar. Dalam ayat di atas terdapat nasihat agar kita selalu mengerjakan ketaatan, menanam keazaman, berbuat kebajikan untuk menambah kebaikan, meninggalkan perkara-perkara yang syubhat dan mengikut jalan yang lurus.
Firman Allah SWT: Ingatlah wahai manusia! Sesungguhnya kitab suratan amal orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), adalah (didaftarkan) dalam Illiyiin. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia Illiyiin itu?
Kata kalla pada ayat tersebut difahami oleh al-Biqaie dalam maksud sekali-kali tidak lalu menghubungkannya dengan ayat sebelumnya.
Menurut penyampaian kepada para penderhaka bahawa inilah seksa yang dahulu kami ingkari menimbulkan kesan bahawa apa yang dialami itu merupakan seksa yang akan mereka tempuhi.
Syed Qutub berkata: Illiyin adalah satu perkara di luar ilmu pengetahuan dan kefahaman manusia. Kemudian al-Quran menjelaskan hakikat buku amalan golongan yang taat.
Firman Allah SWT: Ialah (tempat simpanan) kitab catatan yang jelas nyata. Yang disaksikan oleh sekumpulan malaikat, yang didampingkan Tuhan di sisinya.
Syed Qutub berkata: Maksud ungkapan yang ditulis rapi telah dijelaskan tetapi di sini ditambah pula dengan satu keterangan yang lain iaitu buku amalan golongan yang taat disaksi dan dilihat oleh para malaikat yang hampir kepada Allah SWT.
Penjelasan hakikat ini memberikan satu suasana mulia, suci dan luhur kepada buku amalan golongan yang taat.
Buku itu disaksikan oleh para malaikat dengan penuh nikmat kerana di dalamnya terdapat amalan-amalan dan sifat yang mulia.
Ini satu lagi suasana mulia yang disebut dengan tujuan memberi penghormatan yang tinggi kepada mereka.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbakti (dengan taat dan amal kebajikan), tetap berada di dalam syurga yang penuh nikmat. Mereka berehat di atas pelamin-pelamin (yang berhias), sambil melihat (segala keindahan dan kemuliaan yang disediakan untuk mereka di situ).
Ibn Kathir berkata: Pada hari kiamat kelak mereka berada dalam kenikmatan yang abadi dan syurga di dalamnya terdapat kurnia yang menyeluruh.
Al-Araiq berkata: Ia bererti tempat tidur. Di sebalik kelambu mereka memandang. Ada juga menyatakan: Mereka melihat kerajaan mereka dan segala sesuatu yang telah diberikan Allah kepada mereka iaitu kebaikan dan anugerah yang tidak pernah berkurang dan tidak akan habis.
Firman Allah SWT: Engkau dapat melihat pada muka mereka cahaya nikmat yang mereka perolehi. Mereka diberi minum dari satu minuman yang termeterai bekasnya.
Al-Maraghi berkata: Jika kamu melihat wajah mereka, kamu akan menemui mereka sebagai orang yang mendapat kenikmatan kerana di wajah mereka dapat dilihat tanda-tanda yang menggambarkan keadaan itu.
Contohnya: Ketawanya sehingga meresap ke jiwanya dan berwajah ceria.
Botolnya tertutup dengan kasturi, pengganti penutup yang diperbuat daripada tanah sebagai penghormatan dan penjagaan daripada berlakunya kerosakan yang biasa terjadi pada penutup buatan manusia terhadap sesuatu yang dihargai dan dijaga dengan baik.
Firman Allah SWT: Meterainya kasturi dan untuk (memperolehi nikmat kesenangan) itu hendaknya berlumba-lumba mereka yang ingin merebut kelebihan dan kesenangan.
Ibn Kathir berkata: Iaitu mereka diberi minum daripada khamr syurga. Al-Rahiq merupakan salah satu nama minuman khamr. Demikian yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Mujahid dan al-Hasan.
Ibn Mas'ud berkata: "Iaitu dicampuri dengan minyak kasturi". Sedangkan al-Aufi meriwayatkan daripada Ibn Abbas: Allah SWT telah membuat baik minuman khamr itu bagi mereka, ia merupakan sesuatu yang paling akhir dipersembahkan dan ditutup oleh minyak kasturi.
Hendaklah orang saling membanggakan diri, bermewah-mewahan dan memperbanyak serta berlumba-lumba meraih apa yang diperoleh yang terdahulu.
Firman Allah SWT: Dan campuran minuman itu adalah daripada tasnim iaitu mata air yang diminum daripadanya oleh orang-orang yang didampingkan (Tuhan di sisi-Nya).
Maksudnya campuran minuman al-Rahiq ini adalah yang disebut dengan tasnim iaitu salah satu minuman yang diberi nama tasnim. Ia merupakan minuman yang paling mulia lagi paling tinggi untuk penghuni syurga.
Minuman yang diminum oleh orang yang didekatkan kepada Allah SWT secara murni (tanpa campuran) dan diminum oleh ashabul yamin (orang-orang yang menerima catatan amal dengan tangan kanan) dengan dicampur minuman lain.
Demikianlah yang dikemukakan oleh Ibn Mas'ud, Ibn Abbas, Masruq, dan Qatadah dan lain-lain.
Syed Qutub berkata: Umur seseorang di dunia ini adalah terbatas, sedangkan umurnya di akhirat tidak diketahui batas kesudahannya melainkan Allah SWT.
Kenikmatan dunia juga terbatas sedangkan nikmat syurga tidak dapat dibataskan oleh kefahaman manusia. Taraf nikmat dunia telah diketahui semua orang, sedangkan taraf nikmat akhirat sahaja yang layak kekal abadi.
Alangkah jauhnya perbezaan di antara ruang hidup dunia dengan ruang hidup akhirat. Antara matlamat hidup dunia dengan akhirat perbezaannya tidak dapat dihitung dengan kira-kira untung rugi yang biasa dibuat oleh manusia.
Semoga kita beroleh kejayaan dalam meniti kehidupan seterusnya melayakkan kita menghuni syurga Allah SWT.
Tuesday 14 December 2010
Nikmat dunia terbatas
Posted by amn077 at 22:23
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment