BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday 14 December 2010

PENGEMBARAAN YANG HAKIKI

Alhamdulillah, bersyukurlah kita kepada Allah SWT kerana dengan izinNya kita dapat berada di alam dunia yang fana ini. Kita telah dihidupkan dan kita juga akan dimatikan dengan izinNya. Kita sebagai manusia telah dipinjamkan olehNya jasad dan nyawa untuk beberapa ketika yang telah diperuntukkan oleh Allah Azza wa Jalla, Tuhan Sekalian Alam. Kita sendiri tidak mengetahui akan hal itu dan Allah SWT adalah sebaik-baik pengatur.

Kehidupan kita ini seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW adalah seperti sebuah pengembara yang sedang berjalan jauh sambil bertongkat dalam menuju perjalanan ke suatu destinasi abadi yang jauh dan memerlukan banyak bekalan. Untuk mendapatkan bekalan itu pula memerlukan kesabaran dan ketabahan yang sangat tinggi. Dalam perjalanan ini kita mengisi kehidupan dengan dua keadaan iaitu perasaan atau suasana, juga saat-saat gembira dan saat-saat kesedihan. Kedua-dua perasaan ini pernah dialami oleh para Nabi dan Rasul Allah, apatah lagi kita sebagai hamba yang kerdil lagi hina ini.

Saya ambil contoh yang terdekat yang menjadi idola semua umat Islam, iaitu insan yang sangat saya pandang tinggi dan saya sanjungi, Rasulullah SAW. Hidup Baginda penuh dengan saat yang menggembirakan, tidak kurang juga saat-saat menyakitkan yang sesekali mengundang air mata Rasulullah SAW yang menandakan Baginda juga adalah seorang manusia biasa. Kegembiraan Baginda adalah apabila kita sebagai umat Islam menjalani hidup sesuai dengan jalan yang ditinggalkannya dan kesedihan Baginda pula adalah apabila menyaksikan umatnya tersasar jauh daripada jalan yang Baginda tinggalkan dan umatnya mengikuti jejak langkah syaitan laknatullah.

Hidup ini Keseronokan dan Kebahagiaan Sementara…

Tentunya dalam perjalanan seorang hamba yang ingin menuju ke sebuah destinasi cinta, banyak halangan dan gangguan yang boleh menjejaskan matlamatnya dan sesekali terasa ingin berputus asa untuk ke destinasi yang pasti itu. Bagi seorang pengembara yang bijak dan pandai, semestinya dirinya tidak akan terpengaruh dengan keseronokan dan kenikmatan di dunia yang sementara kerana dirinya tahu bahawa dia adalah penghuni alam yang kekal abadi ; syurga Allah. Bagi seorang pengembara yang senang dan seronok menikmati keseronokan di dunia tanpa memikirkan dunianya yang kekal abadi, dirinya akan mementingkan hawa nafsu semata seolah-olah inilah dunia yang kekal selamanya sehingga dirinya terlupa matlamat atau cita-cita sebenar untuk menuju ke arah akhirat yang abadi. Mereka terpedaya dengan dunia yang sementara ini. Dengan tidak mengendahkan suara iman mereka, mereka terus-menerus meletakkan halawatul dunia dihati mereka dan menyangka bahawa itulah matlamat sebenar mereka, na’uzubillah...

Saya teringat kata-kata salah seorang ustaz saya; Ustaz Mizi. Beliau berkata, kita juga boleh diibaratkan sebagai seorang pemandu atau penumpang atau pengembara yang berada di atas sebuah nakhoda yang besar, yang sedang menuju destinasi selama berhari-hari, malah bertahun-tahun lamanya.

Sebagai seorang pengembara, kita seharusnya bijak melayarkan bahtera ke arah yang tepat mengikut kompas yang telah diberikan dan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW kepada kita iaitu Al-Quran dan As-Sunnah. Dan untuk sampai ke destinasi cinta atau destinasi yang abadi itu, pungut dan kumpullah bekalan ketika berada di dunia sebanyak yang mungkin. Letakkanlah segala keseronokan dan kenikmatan serta kekayaan di dunia ini di tangan kita dan anggaplah semua itu hanya bebanan yang boleh menjejaskan perjalanan menuju ke destinasi cinta abadi.

Oleh itu, sebagai seorang pengembara, kita seharusnya pandai memilih dan dapat mengenal pasti yang mana satu bekalan dan mana satu bebanan. Bekalan ialah sesuatu amalan yang memudahkan perjalanan sepanjang kita menuju negeri akhirat, manakala bebanan adalah sesuatu yang merumitkan dan melambatkan perjalanan kita ke negeri akhirat.

Ingatlah, dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di negeri akhirat kelak. Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati pada esok hari. [Al-hadis]

Kesimpulannya, persiapkan dan mantapkan diri kita. Sebagai seorang pengembara yang kita sendiri masih belum tahu bila akan sampainya ke destinasi yang dituju, perlunya kita mencari bekalan sebanyak mungkin. Dan berhati-hati dengan setiap ujian kesedihan dan kenikmatan yang Allah SWT berikan kepada kita. Wajibnya kita menjaga hubungan dengan Allah SWT kerana kita semua yang ada di muka bumi ini adalah hanya pinjaman untuk menguji kekentalan iman kita sebagai hambaNya. Begitu juga dengan hubungan kita sesama manusia, saling berpegangan tanganlah kita semua agar tiada yang terjatuh dari kapal dunia ini tanpa ada seorang pun yang berusaha untuk menyelamatkannya.

Sebaik-baik bekalan adalah iman dan takwa...
Masih ingatkah kita pada kisah Rasulullah SAW semasa peristiwa Isra' dan Mikraj? Dalam perjalanan Baginda, Allah SWT telah menunjukkan satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Baru sahaja beberapa saat ditanam, terus berbuah dan dituai dan begitulah seterusnya. Inilah ibaratnya keadaan orang yang sentiasa membuat kebajikan dan tidak putus-putus menerima ganjaran pahala yang banyak di sisi Allah SWT. Ganjaran ini kelak akan dinikmatinya di akhirat sana, insyaAllah.

Semoga kita semua menjadi seorang pengembara yang bijak dan sentiasa meletakkan kenikmatan di dunia ini di telapak tangan dan bukannya dihati. Yang sentiasa mendoakan pengembara yang lain dan mengingati setiap pengembara didalam doanya.Semoga kita menjadi pengembara yang sentiasa menjadikan redha Allah SWT adalah tujuan utama.
Semoga Allah merahmati, insyaAllah…



www.iluvislam.com

0 comments: