Baru-baru ini kita digemparkan dengan isu judi. Samada aktiviti ini dipantau atau diurus oleh mereka yang ingin melakukan perjudian, ia adalah satu perkara yang membimbangkan umat Islam kerana jelas dinyatakan dalam Al-quran, surah Al-Maidah ayat 90, yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
Setiap kemungkaran, bukan sahaja judi, tetapi juga ketagihan arak, ketagihan seks, bersubahat melakukan kezaliman, penipuan, jenayah rasuah, salah guna kuasa dan seumpamanya juga adalah sebahagian dari dosa besar yang seharusnya menjadi musuh utama umat Islam dan negara. Pada prinsipnya mereka yang terlibat dengan maksiat dan perbuatan dosa besar boleh dikatakan telah hilang kewarasan akal kerana dengan sengaja merosakan nama baik sendiri, merosakkan kepercayaan orang lain terhadap diri dan mengganggu keamanan masyarakat, dan yang lebih penting ialah perbuatan-perbuatan ini sebenarnya semakin menjauhkan diri seseorang dari Allah s.w.t.
Kadangkala dengan hanya satu perbuatan maksiat sahaja boleh menghancurkan nilai kehidupan dan menyebabkan kerugian sepanjang hayat baik di dunia mahupun akhirat, apatah lagi jika beberapa kemungkaran dilakukan sekaligus. Oleh itu, usaha membanteras, memerangi dan nahi mungkar tidak boleh dibuat terhadap kes-kes atau kemungkaran tertentu sahaja, sebaliknya ia perlu menyeluruh tanpa ada yang terkecuali jika kita benar-benar ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk menjaga amanah dan kepimpinan yang kita perolehi. Begitu juga tindakan membanteras itu tidak sepatutnya hanya dikenakan terhadap orang tertentu oleh agensi tertentu sahaja, tetapi perlu dibuat secara menyeluruh tanpa mengira siapa dan apa statusnya oleh semua orang Islam di seluruh negara selari dengan kehendak syariat Allah s.w.t
Selari dengan islam sebagai agama persekutuan dan agama rasmi negara, kebimbangan kita terhadap peningkatan maksiat terutamanya judi di negara ini sepatutnya dirasai oleh setiap anggota masyarakat dan individu. Ia adalah virus terhadap kesihatan negara, jika diandaikan negara ini sebagai satu jasad atau tubuh badan. Semakin banyak kemungkaran atau maksiat, semakin banyak penyakit yang dihidapi oleh negara. Alangkah malangnya jika ada antara penyakit itu yang sengaja kita cari lalu menyebabkan penyakit sedia ada bertambah kronik. Atas kesedaran inilah, saya menyeru kepada seluruh umat Islam, seluruh ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat di Malaysia agar kita gempur dengan seluruh kemampuan yang ada untuk memerangi pertaruhan judi yang dihalalkan kerana telah dilesenkan dalam pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan pada bulan Jun ini.
Kita tidak mahu pembanterasan itu hanya dilakukan oleh golongan yang inginkan glamor, publisiti atau lakonan semata-mata, kerana amat jelas pada masa yang sama golongan itu jugalah yang menganjurkan kemungkaran dan melakukan kemaksiatan, cuma dalam bentuk yang lain. Kita tidak mahu golongan atau individu yang sebegini, sebaliknya kita mahukan tuan-tuan yang benar-benar mempunyai kesedaran supaya bertanggungjawab menjaga dan melarang ahli keluarga dan siapa sahaja yang di bawah tanggungan agar membenci dan menjauhi semua maksiat dan kemungkaran samada yang dibenarkan dengan cara dilesenkan ataupun tidak.
Firman Allah dalam surah At-tahrim ayat 6 yang bermaksud:
Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka.
Kita amat sedih kerana terdapat ramai umat Islam yang mengakui dirinya Islam, melafazkan di bibirnya bahawa Islam adalah agama yang baik, solat itu baik, menutup aurat itu adalah kewajipan, kalimah Allah adalah hak islam, Al-quran dusturuna, dan sebagainya lagi, sebaliknya dalam diam menaruh fahaman bahawa maksiat itu adalah urusan individu yang merupakan hak asasi manusia dan tiada kena mengena dengan sesiapa atau mana-mana undang-undang. Bukankah fahaman sebegini sudah ada pengikut dan penganutnya?
Seperti juga fahaman yang kadang-kadang kita temui yang mengatakan bahawa iman bukan terletak pada tudung atau pada akhlak, tetapi iman itu pada hati yang tidak dapat dinilai oleh sesiapa. Bukankah fahaman-fahaman ini menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar? Bukankah fahaman-fahaman jenis ini juga yang merasakan perlunya judi itu dinilai dan akhirnya diberikan lesen? Dan bukankah fahaman-fahaman sedemikian juga lah yang sering kali mempertikai pandangan-pandangan ulama yang ikhlas dalam memberikan pendapat?
Ingin saya ingatkan bahawa pencemaran fahaman yang sedemikian semakin merosakkan roh keislaman negara, dan hilangnya kefahaman sebenar tentang Islam, hakikatnya telah menghalang negara dalam usaha memerangi maksiat dan membenteras kemungkaran. Dalam erti kata lain menghalang negara untuk menjalani rawatan pemulihan penyakitnya.
Roh dan jiwa manusia yang tercemar boleh menyesatkan dan memalingkan hati manusia agar menjauhi Allah s.w.t. Apabila roh dan jiwa telah jauh dari Allah, perkara yang sangat berkait rapat dengannya ialah hati. Hati yang sudah tidak dapat memahami sensitiviti Ilahi, adalah hati yang tidak boleh diharap lagi untuk menyembuhkan penyakit maksiat negara.
Sabda Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh Nu’man bin Basyir yang bermaksud:
Sesungguhnya dalam jasad manusia ada segumpal darah, jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya, jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya, ingatlah! Itulah hati. (hadith muttafaqun ‘alaih)
Ekoran hati yang gagal berfungsi dengan betul mengikut kehendak Allah s.w.t akan wujudlah pula gejala bertuhankan nafsu serakah yang tidak dapat dikawal. Nafsu ini pula adalah nafsu yang liar dan merosakkan individu, masyarakat, negara dan dunia amnya jika tidak dibendung dengan segera dan serius.
Firman Allah dalam surah Saad, ayat 26 yang bermaksud:
Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar, dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yg sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari perhitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu.
Saya juga ingin mengingatkan kepada penegak-penegak maksiat, pengamal-pengamal dosa besar dan pelulus-pelulus lesen kemungkaran agar jangan berseronok dengan perbuatan keji itu, serta gembira melihat maksiat dan kemungkaran yang sentiasa berkembang. INGATLAH!! Setiap kesalahan itu nilainya adalah di sisi Allah s.w.t, bukannya di sisi manusia yang sentiasa menyokong perbuatan kita, dan setiap kesalahan itu pasti ada pembalasan yang setimpal dengannya sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Di samping itu, pelaku-pelaku ini juga akan menghadapi kesan buruk sewaktu menghadapi saat kematian atau sakaratulmaut. Demikianlah orang yang terlibat dengan dosa besar dan maksiat pasti akan menghadapi kesukaran dan keperitan yang bertindih-tindih ketika nazak.
Firman Allah dalam surah al-Qiyamah, ayat 29 yang bermaksud:
Dan bertindih betis (kanan) dengan betis (kiri) lantaran kesakitan menghadapi maut.
Orang orang yang disukarkan semasa nazak ialah orang yang mendustakan agama, tidak mengerjakan solat, sombong, jahat, serta bergelumang dengan dosa. Ketika menghadapi nazak atau sakaratulmaut itu, Allah s.w.t memperlihatkan kepada dirinya segala dosa yang dilakukan, seluruh penderitaan zahir dan batin mangsa-mangsa perbuatannya dikumpulkan dan ditayangkan kepadanya ketika menghadapi saat kematian.
Saya ingin menyeru umat islam sekalian, ingatlah dan insaflah sementara masih sihat, masih berkuasa dan bertenaga, marilah satu ummah memerangi maksiat, mendekatkan diri kepada Allah dengan terus kekal bertaqwa kepada Allah. Untuk menghindarkan diri kita dari kesukaran menghadapi sakaratulmaut, nazak yang perit dan tidak dapat dibayangkan kesukaran di saat kematian, ayuhlah kita sekalian mempertebal keimanan kepada Allah s.w.t, memperbanyak amal kebajikan, menjalankan tugas dengan jujur, dan menjauhi segala perbuatan dosa dan maksiat.
Surah al-Jumu’ah ayat 8 yang bermaksud:
Katakanlah, sebenarnya maut yang kamu larikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)
Wahai orang orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan mengerjakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya, dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan ISLAM.
Marilah kita menghitung diri kita masing-masing sebelum kita dihitung di hadapan Allah pada hari yang tidak berguna harta benda, pangkat kekuasaan, anak pinak, kaum keluarga, dan sahabat handai. Hanya orang-orang yang datang menemui Allah dengan hati yang sejahtera sahaja akan mendapat pembelaan dari Allah s.w.t. pada hari perhitungan itu dan cuma pahala dan dosa yang menjadi timbangan, bukan lagi wang sebagai perantaraan. Jika kita berdosa kepada seseorang, maka pahala kita akan diambil dari kita dan diberikan kepada orang yang kita lakukan dosa itu, dan begitulah sebaliknya. Sesungguhnya ada di kalangan manusia yang akan meminta untuk kembali ke dunia walau sesaat untuk berbakti kepada Allah pada waktu perhitungan itu, namun ketahuilah sesungguhnya itu adalah kerugian yang amat besar.
www.iluvislam.com
Sunday, 30 January 2011
Ayuh Pulihkan Penyakit Negara
Posted by amn077 at 21:48
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment