BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday 30 January 2011

Mus'ab tinggalkan kemewahan

MUS'AB bin Umair ialah seorang pemuda yang segak dan tampan. Beliau adalah anak seorang bangsawan yang kaya raya dan keturunannya dianggap mulia oleh penduduk Mekah. Sebab itu Mus'ab menjadi bualan dan igauan wanita-wanita di Mekah.
Orang Quraisy juga menghormati keturunan keluarga Mus'ab. Sebelum Mus'ab memeluk Islam, beliau hidup dalam kemewahan. Pakaiannya mahal-mahal belaka. Beliau amat disayangi oleh kedua ibu bapanya.

Nabi Muhammad dan sahabat-sahabat lain juga mengenali Mus'ab. Malah Nabi sendiri berkata: "Tidak ada orang yang tinggal di Mekah ini hidupnya mewah seperti Mus'ab."
Namun kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh Mus'ab hanya sementara. Mus'ab mendapat petunjuk daripada Allah. Beliau mula meminati ajaran Islam dan berjumpa dengan Nabi Muhammad.

Beliau mendengar segala ajaran dan kata-kata Allah yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Kemudian beliau tertarik memeluk agama Islam. Mus'ab masuk Islam tanpa pengetahuan ibu dan bapanya. Beliau memeluk agama Islam pada usia kira-kira 24 tahun.
Mus'ab cuba merahsiakan keislamannya daripada pengetahuan ibu bapanya. Beliau mula bergiat aktif dalam mempelajari ajaran Islam dan mula mengikuti Nabi Muhammad ke rumah Arqam bin Abi Arqam dan berkumpul mempelajari ajaran Islam.

Namun, rahsia Mus'ab memeluk Islam terbongkar apabila ada seorang pemuda melihat Mus'ab bersembahyang cara Islam. Kemudian pemuda itu memberitahu ibu bapa Mus'ab mengenai keislamannya itu. Mendengar cerita mengenai Mus'ab, ibu dan bapanya menjadi marah dan kesal kerana anaknya mudah terpengaruh dengan ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad.

Bermula hari itu, Mus'ab dilarang sama sekali berjumpa Nabi SAW. Malah ibu bapanya mengurung Mus'ab di dalam rumah.
Ibu Mus'ab berkata kepadanya dalam keadaan marah: "Saya tidak terpengaruh dengan agama yang kamu anuti. Saya menjadi tidak siuman sekiranya saya masuk agama kamu."
Mus'ab hanya berdiam diri mendengar penjelasan ibunya. Kemudian ibunya berkata lagi: "Mulai pada hari ini, saya tidak makan sehingga mati jika kamu tidak kembali semula kepada agama asal".

Selepas ibunya berkata begitu, Mus'ab menjawab: "Wahai ibu yang saya sayangi, walaupun ibu bernyawa seribu dan setiap nyawa ibu mati satu persatu, saya tetap menjadi orang Islam sehingga akhir hayat saya." Ibunya terkejut dengan jawapan anaknya itu. Ibunya sedih dan kesal dengan tindakan anaknya itu.
Hari demi hari Mus'ab terkurung di dalam rumahnya. Pada suatu hari, beliau mendapat peluang melepaskan dirinya.

Mus'ab terus berjumpa Nabi Muhammad. Pada masa itu para pengikut Nabi SAW mahu berpindah ke Habsyah. Mus'ab mengikuti rombongan itu berpindah ke Habsyah. Tidak lama di Habsyah, Mus'ab kembali ke Mekah dan berjumpa Nabi Muhammad.
Beliau mula belajar semula ajaran yang disampaikan oleh Nabi Muhammad. Pada masa itu, orang Islam yang belajar ajaran Islam dengan Nabi Muhammad diseksa oleh orang Quraisy. Tetapi Mus'ab tidak diseksa kerana orang Quraisy menghormati keturunannya.
Selepas memeluk Islam, kehidupan Mus'ab bertukar daripada kaya kepada miskin. Beliau sanggup berbuat demikian kerana patuh dan taat kepada perintah Allah dan Nabi Muhammad.

Tidak ada lagi pakaian mahal dan makanan enak baginya setiap hari. Malah Mus'ab sanggup berlapar bagi mempelajari ajaran Islam.
Pada suatu hari, datang utusan dari Madinah berjumpa dengan Nabi Muhammad. Perutusan itu memberitahu bahawa keadaan di Madinah kucar-kacir kerana berlaku permusuhan di antara suka Aus dan suku Khazraj.

Malah orang Yahudi juga semakin zalim.
Mereka berharap Rasulullah dapat datang ke Madinah bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mereka juga berharap Nabi SAW dapat menyampaikan ajaran Islam kepada penduduk Madinah. Akhirnya baginda menghantar Mus'ab sebagai tenaga pengajar ke Madinah.

Di Madinah, Mus'ab di sambut baik oleh orang Islam Madinah. Beliau tinggal bersama-sama As'ad bin Zurarah. Mus'ab menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada penduduk Madinah.

Kegiatan Mus'ab akhirnya diketahui oleh para pemimpin Madinah iaitu Saad bin Muaz dan Usaid bin Hudairiah. Mereka tidak suka Mus'ab menyebarkan agama Islam di Madinah. Namun Mus'ab seorang yang bijak dan akhirnya kedua-dua pemimpin itu memeluk Islam. Ini diikuti oleh puaknya yang lain sehingga kesemua puaknya dari Bani Asyhal turut memeluk agama Islam.

Hasil usaha Mus'ab menyampaikan agama Islam di Madinah, Islam terus berkembang sehingga perpindahan Nabi Muhammad ke Madinah. Mus'ab meninggal dunia dalam perang Uhud ketika menentang orang Quraisy pada 3 Hijrah bersamaan 625 Masihi.

0 comments: