SYED Qutub berkata: "Surah yang pendek ini membentangkan hakikat-hakikat akidah Islam dan asas kefahaman keimanan. Ia mengemukakan persoalan-persoalan yang mata besar yang memancarkan disekelilingnya sinaran cahaya yang kuat dan jauh pandangannya.
"Ia memancarkan di belakang konsep-konsep dan hakikat-hakikat secara langsung yang diungkapkan oleh nas ini sehingga hampir-hampir setiap ayat dan kadang-kadang setiap kalimatnya membuka pintu yang menampakkan sebuah alam hakikat yang luas dan sayup saujana memandang.
"Yang menjadi pokok perbicaraan secara langsung surah ini ialah peristiwa-peristiwa pembesar-pembesar yang menggali parit.
"Di zaman sebelum Islam ada sekumpulan orang-orang mukmin, yang menurut satu pendapat, mereka adalah penganut-penganut Kristian yang berpegang dengan akidah tauhid.
"Mereka diseksa oleh musuh-musuh mereka yang kejam dan zalim. Mereka dipaksa meninggalkan akidah tauhid dan agama yang dipegang mereka, tetapi mereka enggan dan tetap mempertahankan akidah mereka.
"Lalu pembesar-pembesar yang zalim itu menggali sebuah parit yang besar dan menyalakan api di dalamnya. Kemudian mereka campakkan kumpulan orang beriman itu ke dalam parit ini menyebabkan mereka mati terbakar. "Pembunuhan itu dilakukan di hadapan khalayak ramai yang dikerah dan dikumpulkan oleh para pembesar yang berkuasa untuk menyaksikan kematian orang mukmin yang terbunuh dengan cara amat dahsyat dan kejam itu.
"Pembesar-pembesar itu begitu terhibur dengan pemandangan pembakaran itu, iaitu pembakaran manusia-manusia mukmin".
Firman Allah SWT:" Demi langit Yang mempunyai tempat-tempat peredaran bintang-bintang."
Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan bintang-bintang ini kerana penciptaan-Nya yang hebat. Hikmahnya yang besar dan kegunaannya bagi kehidupan manusia.
Ini menunjukkan bahawa benda-benda tersebut mempunyai pencipta Yang Maha Bijak dan Maha Mengatur. Allah SWT mendorong kita memperolehi bukti keagungan kekuasaan-Nya dan kebesaran Hikmah-Nya.
Firman Allah SWT: "dan hari (pembalasan) Yang dijanjikan; dan makhluk-makhluk Yang hadir menyaksikan hari itu, serta segala keadaan Yang disaksikan".
Ibn Kathir berkata: "Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai hal tersebut. Dan kebanyakan berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan asy-Syahid (yang menyaksikan) adalah hari Jumaat, sedangkan al-Masyhud (yang disaksikan) adalah hari Arafah.
Firman Allah SWT: "Celakalah kaum yang menggali parit, (Parit) api Yang penuh Dengan bahan bakaran, (Mereka dilaknat) ketika mereka duduk di kelilingnya, sambil mereka melihat apa yang mereka lakukan kepada orang yang beriman."
Sheikh al-Maraghi berkata: "Kejadian ini telah berlaku di Yaman hingga ke Najran. Kisah seorang pemeluk agama Nabi Isa a.s berdakwah kepada kaumnya yang masih beragama Yahudi. Dia memberitahu bahawa Allah SWT telah mengutuskan Nabi Isa dengan syariat baru, bagi menggantikan syariat mereka.
"Sebahagian kaum ini beriman. Kejadian ini sampai kepada Raja Dhu Nuwas, seorang yang beragama Yahudi. Dia segera datang dengan pasukan tenteranya dari Kota Himyar. Ketika orang itu ditangkap, mereka disuruh memilih antara tetap menganut agama Yahudi atau dibakar.
"Mereka dibuatkan pari, lalu dipenuhi bahan bakar dan dinyalakan. Kemudian seorang daripada orang yang beriman itu dibawa ke parit lalu disuruh membuat pilihan. Orang yang gentar melihat api dan takut akan seksa, kembali menganut agama Yahudi. Akan tetapi orang yang tetap teguh dengan Nabi Isa a.s dan menganggap ringan seksaan dunia kerana keyakinan mereka kepada pahala yang telah Allah SWT janjikan, mereka sanggup dilemparkan ke dalam api sampai binasa.
Syed Qutub berkata: "Ayat ini menggambarkan sikap mereka dan pemandangan ketika mereka menyalakan api dan mencampakkan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan ke dalam api itu, sedangkan mereka duduk di tempat itu menyaksikan peristiwa penyeksaan yang kejam itu dari dekat.
"Mereka melihat peringkat-peringkat perkembangan penyeksaan itu, dan melihat bagaimana api itu menjilat badan-badan mangsanya. Mereka menonton dengan penuh kelazatan dan kegila-gilaan, seolah-oleh mereka mahu menerapkan pemandangan yang kejam itu di dalam hati mereka".
Firman Allah SWT: "dan mereka tidak marah dan menyeksakan orang-orang Yang beriman itu melainkan kerana orang-orang itu beriman kepada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Terpuji!"
Ini kerana keimanan mereka yakni orang kafir amat benci kepada mereka yang beriman dalam kisah Ashab al-Ukhdud ini.
Firman Allah SWT: "Tuhan Yang Menguasai Segala alam langit dan bumi. dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu. Ini menunjukkan betapa kuasanya Allah dan mampu melakukan apa sahaja. Ingatlah apa yang mereka kerjakan pasti menerima akibatnya."
Penutup
Tamatlah riwayat peristiwa parit api itu dalam beberapa ayat yang pendek yang membuatkan kita penuh dengan perasaan benci dan jijik terhadap keganasan perbuatan itu, dan terhadap kekejaman orang yang tergamak melakukannya. Di samping merangsang hati kita merenung dan meneliti apa yang ada di sebalik peristiwa itu, dan memikirkan betapa beratnya peristiwa itu dalam peristiwa itu dalam pertimbangan Allah, dan betapa hebatnya kemarahan dan kemurkaan-Nya.
Namun, perkara ini tidak tamat setakat ini sahaja, malah di belakangnya terdapat ekoran yang lebih jauh dalam perkiraan Allah.
Demikian tamatlah kisah peristiwa pembunuhan kejam yang dilakukan membuatkan hati kita dipenuhi perasaan kagum terhadap kehebatan iman yang mengalahkan penindasan dan penyeksaan terhadap kekuatan akidah yang mengatasi nyawa dan terhadap kebebasan jiwa dari segala belenggu keinginan jasmani dan dari daya tarikan hidup di bumi.
Orang mukmin yang terbunuh itu memang dapat menyelamatkan nyawa mereka apabila mereka memilih kekalahan dari keimanan, tetapi andainya mereka berbuat begitu, betapa besar kerugian diri mereka di dunia sebelum akhirat!
Betapa besar kerugian seluruh dunia! Betapa besarnya kerugian mereka kerana membunuh konsep yang agung itu dan konsep kekerdilan hidup tanpa akidah dan konsep kejelikan hidup tanpa kebebasan dan konsep kerendahan dan kemunduran hidup apabila para pemerintah yang zalim menguasai jiwa manusia setelah mereka menguasai tubuh badan mereka.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm
Sunday, 30 January 2011
Orang beriman tidak gentar seksaan dunia
Posted by amn077 at 21:59
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment