ALHAMDULILLAH, semalam mengikut kalendar Islam bertarikh 27 Rejab 1431 Hijrah, umat Islam menyambut Israk Mikraj, peristiwa cukup besar dalam diari umat Islam. Firman Allah SWT bermaksud: "Maha Suci Allah SWT yang sudah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin) yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah SWT jugalah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Israk: 1).
Ayat ini dinyatakan Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran: “Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang sudah dipilih Allah SWT yang Maha Halus dan Maha Mendalam ilmu-Nya.”
Perjalanan itu adalah tali menghubungkan akidah tauhid yang besar sejak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sehingga kepada Nabi Muhammad SAW, penamat anbia, juga menghubungkan antara tempat suci seluruh agama tauhid.
Perjalanan yang menarik ini seolah-olah bertujuan mengisytiharkan bahawa rasul terakhir inilah yang mewarisi kepercayaan suci di kalangan rasul sebelumnya dan agama yang dibawanya mencakupi segala kepercayaan suci itu dan berhubung rapat dengannya.
Ia perjalanan lebih daripada batasan zaman dan tempat, merangkumi waktu dan ufuk lebih luas daripada seluruh zaman dan tempat. Ia mengandungi konsep lebih besar daripada yang dapat dilihat pada pandangan pertama.
Al-Quran menyebut Masjid al-Haram dengan sifatnya yang bermaksud: “Yang Sudah Kami Berkati Sekelilingnya” – menggambarkan keberkatan yang mengelilingi dan melimpah ke atas masjid itu.
Semalam, baru saja kita menyambut peristiwa bersejarah Israk Mikraj seperti pendapat yang dipilih al-Allamah al-Mansurfuri. Walaupun ada pendapat mengatakan tarikhnya berlainan seperti dibahaskan ulama al-Hafiz Ibn Hajr dan Imam al-Suyuti.
Antara pendapat ahli sejarah berkenaan tarikh Israk Mikraj ialah tahun Baginda diangkat menjadi rasul seperti pendapat al-Tabari, lima tahun selepas menjadi rasul, pendapat Imam al-Nawawi) dan al-Qurtubi, 16 bulan sebelum Hijrah, dua bulan sebelum Hijrah dan setahun sebelum Hijrah.
Berkenaan peristiwa agung ini, ia termasuk antara mukjizat Nabi Muhammad SAW. Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’arawi dalam tafsirnya mengulas dengan mukadimah Subhana yang membawa maksud Maha Suci Allah SWT kerana membicarakan peristiwa amat besar dan pelik yang luar biasa. Justeru, perlu diimani kerana ia perbuatan dan kehendak Allah SWT. Ini juga menunjukkan peristiwa Israk akan mendedahkan pelbagai perkara pelik yang menggambarkan sifat kudrat Allah SWT.
Dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya, Ibn al-Qaryah wal Kuttab mengenai zaman remajanya apabila beliau mendengar Almarhum al-Syahid Hasan al-Banna memberi ucapan sempena malam Israk Mikraj. Beliau mengaitkan dengan sikap dan kedurjanaan Yahudi. Hal ini jelas menunjukkan betapa isu ini sebegitu parah yang sepatutnya diberi perhatian umat Islam.
Untuk mendapatkan semangat Israk dengan Nabi SAW berkunjung ke Masjid al-Aqsa pada malam itu, penulis paparkan kisah penaklukan Baitulmaqdis oleh Salahuddin al-Ayyubi melalui buku Ulul Albab: Konsep dan Pengertian Menurut Syara. Ia antara lain menyebut – Penaklukan Baitulmaqdis:
“Kejayaan di Hittin itu adalah pendahuluan bagi penaklukan Baitulmaqdis yang diidami Salahuddin al-Ayyubi. Kehendak menawan Baitulmaqdis begitu membara dalam dada Salahuddin,” kata Ibn Shaddad.
Pada Jumaat, 27 Rejab 583 Hijrah, bertepatan hari Israk dan Mikraj, pada saat itu Sultan Salahuddin al-Ayyubi memasuki kota Baitulmaqdis. Ibn Shaddad menulis: “Itulah kejayaan segala kejayaan. Satu perhimpunan besar terdiri daripada pembesar, peniaga, ulama dan orang ramai berhimpun pada saat yang gembira itu.
Beberapa orang datang dari daerah pantai tatkala mendengar kemenangan sultan dan begitu juga seorang ulama besar dari Mesir dan Syria untuk mengucapkan tahniah. Teriakan ‘Allahu Akbar’ dan kalimah ‘La Ilahaillallah’ bergema di angkasa.
Sesudah 90 tahun, sembahyang Jumaat sekali lagi diadakan di Baitulmaqdis. Salib yang berkerlipan di atas kubah Masjid al-Aqsa diruntuhkan.
Sesungguhnya suasana ketika itu sukar dibayangkan, tetapi rahmat dan pertolongan Allah SWT dapat disaksikan di setiap tempat pada hari berkenaan. Mimbar mahal dibina di bawah arahan Nuruddin al-Zangi, 20 tahun lalu sudah dibawa dari Halab dan didirikan di dalam Masjid al-Aqsa.”
Sebagai penutup, penulis menukilkan pengamatan yang dibuat Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri melalui bukunya, al-Rahiq al-Makhtum: “Dalam surah al-Israk, pembaca akan melihat Allah SWT menyebutkan kisah itu dalam satu ayat saja. Selepas itu Allah SWT menyebut keburukan dan dosa orang Yahudi. Kemudian Allah SWT mengingatkan mereka bahawa al-Quran ini benar-benar menunjukkan ke arah jalan lurus.”
Mungkin pembaca menyangka dua ayat ini tiada sangkut paut. Sesungguhnya Allah SWT mengemukakan pendekatan ini untuk memberi kefahaman bahawa peristiwa Israk berlaku dengan dibawa Nabi SAW ke Baitulmaqdis kerana orang Yahudi akan disingkirkan daripada menjadi pemimpin umat manusia disebabkan mereka melakukan pelbagai dosa.
Allah SWT akan memindahkan kepemimpinan ini kepada Rasul-Nya dan menyatukan untuknya dua pusat dakwah Nabi Ibrahim kerana sudah tiba masa kepemimpinan kerohanian bertukar daripada umat yang sejarahnya dipenuhi pengkhianatan dan dosa kepada umat yang melahirkan kebaikan dengan rasulnya sentiasa mendapat wahyu al-Quran yang menunjukkannya ke jalan yang lurus.
Semoga Allah menjadikan kita bersatu bagi mengambil semangat Salahuddin membantu saudara di Gaza dan seterusnya membebaskan bumi Palestin daripada belenggu dan cengkaman Zionis laknatullah. Amin.
Oleh Zulkifli Mohamad al-Bakri
Saturday, 8 January 2011
Semangat Israk Mikraj bebas Baitulmaqdis
Posted by amn077 at 22:07
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment