BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 14 June 2009

Bapa terbaik mendidik, bergaul mesra dengan anak

BAPA sebagai ketua dan pemimpin keluarga berdepan tanggungjawab berat memastikan kesejahteraan mereka di bawah kepemimpinannya. Bapa adalah nadi dan tonggak kepada kecemerlangan keluarga.

Bapa dibantu oleh ibu mencorak hala tuju rumah tangga dengan mengambil kira keperluan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan supaya kehidupan dapat dilayari dengan aman, bahagia serta penuh perasaan kasih sayang.

Menjadi bapa sempurna bukan mudah tetapi itu tidak menghalang seorang lelaki menimpa pengetahuan serta kemahiran terutama dalam membimbing isteri serta anak ke arah kehidupan mendapat keredaan Allah.

Bukan semua lelaki dilahirkan untuk menjadi bapa yang baik tetapi mereka mempunyai pilihan termasuk menjadikan kejayaan bapa mereka mendidiknya serta adik beradik lain sebagai contoh teladan selain Rasulullah SAW yang sepatutnya menjadi idola semua umat Islam.
Rasulullah SAW adalah contoh ikatan terbaik bagi bapa melaksanakan atau memainkan peranan memimpin keluarga. Baginda SAW secara langsung menyebut tatacara sebagai bapa dan suami terbaik dengan memberikan contoh.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik (pergaulannya) dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku.” - (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)

Rasulullah SAW bukan saja mementingkan didikan agama dan akhlak terhadap anak, juga kemesraan dalam pergaulan. Baginda SAW memberi layanan mesra dan perhatian kepada anak termasuklah yang sudah berkahwin.

Banyak bapa mengabaikan aspek kemesraan dalam pergaulan dengan anak lantaran sibuk dengan urusan pekerjaan dan aktiviti luar rumah. Adalah tidak adil bagi bapa beranggapan tugas rumah tangga termasuk mendidik anak, tanggungjawab ibu.
Tambahan, tuntutan hidup hari ini memaksa ibu turut bekerja bagi membantu suami menampung perbelanjaan keluarga terutama bagi yang mempunyai anak sedang belajar. Oleh itu tidak adil meletakkan tanggungjawab kepada satu pihak sebaliknya kedua ibu bapa perlu memenuhi amanah mereka.

Menjadi bapa terbaik tidak bermakna mereka perlu sentiasa berdamping dengan anak, cukup berada di samping apabila kehadiran mereka diperlukan. Ada masa anak mengharapkan kehadiran bapa sebagai penasihat atau penguat semangat.

Hati anak mudah terguris jika di saat mereka mengharapkan kehadiran bapa, perhatian diharapkan tidak diterima. Ada kala anak tidak memerlukan masa yang lama, sekadar ingin bertanya dan mendapatkan pandangan. Jika itu juga sukar dipenuhi, pastinya hati mereka akan rasa kecewa.

Waktu terbaik untuk menunjukkan sifat prihatin dan kasih sayang bapa terhadap anak adalah ketika makan bersama dan solat berjemaah. Kesibukan atau kehilangan bapa seharian melakukan tugas akan terganti apabila dapat makan bersama serta bersolat dengan anak.

Kebanyakan bapa yang baru menimang cahaya mata berasa tidak sabar untuk pulang ke rumah dan bermain dengan bayi pengikat kasih sayang keluarga. Menghairankan, perasaan itu seakan luntur apabila anak bertambah serta meningkat dewasa.

Sedangkan, sebuah keluarga adalah satu anugerah atau nikmat terbesar Allah kurniakan kepada manusia. Perasaan cinta dan kasih sayang yang disulami dengan rasa tanggungjawab serta keimanan menjadikan kehidupan berkeluarga sebagai asas kepada segala kehidupan lain.

Banyak bapa sekarang sibuk bekerja dan bersosial. Satu budaya yang tidak sihat apabila banyak bapa lebih suka menghabiskan masa di luar rumah bersama rakan sehingga larut malam. Amalan minum sambil berborak sehingga larut malam menjadi pemandangan biasa di kedai dan restoran.

Mereka lebih rela melayan pelawaan rakan untuk beraktiviti luar daripada melayan permintaan anak sendiri. Sebab itu kes bapa terlupa menunai janji untuk bersama-sama anak sentiasa berlaku. Anak dimarah jika terlalu mendesak supaya bapa lebih banyak masa bersama mereka.

Setiap janji wajib ditunaikan termasuk janji kepada anak. Mungkir janji dengan anak bukan saja mengecewakan mereka bahkan mendidik mereka melakukan amalan sama. Amat buruk kesannya jika anak terdidik dengan sikap negatif seperti tidak menunaikan janji dan tidak mengasihi ahli keluarga.

Interaksi secara fizikal banyak membantu membentuk hubungan emosi anak dengan bapa dan seluruh ahli keluarga. Anak akan berasa lebih dihargai dan disayangi. Hubungan itu secara langsung mewujudkan perasaan kasih anak kepada bapa yang mencetuskan keinsafan untuk mengutamakan keluarga dalam semua perkara.

Dalam banyak hal, anak ingin berkongsi pengalaman dengan bapanya terutama kalangan anak lelaki meningkat remaja. Bapa menjadi individu paling rapat dan menjadi contoh terbaik kepada anak lelaki. Mereka menyimpan impian untuk menjadi bapa seperti bapanya apabila bergelar bapa nanti.

Betapa bangganya bapa dapat mendidik anak mengikut langkahnya menjadi bapa yang baik dan sudah pastinya paling penting ialah dapat menunjukkan jalan agama yang baik.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang yang beriman, dan yang anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, Kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka, dan Kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya.” - (Surah at-Tur, ayat 21)


Oleh Lokman Ismail

0 comments: