Soalan
Assalamu'alaikum.
Benarkah wang simpanan yang disimpan didalam institusi Islam (contoh Tabung Haji) tidak perlu dikeluarkan zakat kerana telah diuruskan oleh institusi tersebut? Harap dapat penjelasan dari ustaz.
Jawapan
Wa'alaikumussalamm
Ya, benar, demikian yang disebut di awal-awal ketika penyimpanan dibuat.
Penyimpan memberi izin kepada Tabung Haji (TH) untuk menguruskan zakat simpanannya, justeru tiada zakat lagi perlu dikeluarkan oleh penyimpan.
Hal ini dijawab di dalam web tabung haji dengan jelas dengan ayat berikut :-
Pada masa seseorang menjadi pendeposit TH, pendeposit telah pun memberi kebenaran kepada TH untuk wang simpanannya dikelolakan dan diurus, mengikut undang-undang dan peraturannya. Apabila seseorang pendeposit telah mengisi Borang Butir-butir Peribadi dan Borang Pemegang Amanah, ia merupakan akad izin di antara pendeposit dan TH di mana pendeposit bersetuju menyimpan wangnya di TH dan memberi izin kepada TH untuk menggunakan wang simpananya itu untuk tujuan perniagaan dengan mengharapkan menerima keuntungan.
Berasaskan kepada penerangan di atas, TH membayar zakat perniagaan bagi pihak pendeposit dan dengan demikian pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat simpanan ke atas wang simpanannya di TH selaras dengan fatwa yang dikeluarkan pada 29 Februari 1980 berkenaan ( Rujuk http://www.tabunghaji.gov.my/th/TH/THSoalJawabTabungan.htm )
MASALAH MUNGKIN BERBANGKIT
Namun demikian, sedikit masalah Shariah boleh timbul di sini adalah (hal ini juga pernah diberitahu kepada saya oleh Dato' Dr Haron Din pada tahun 2006), berdalilkan kepada hujjah di atas iaitu mandat telah diberi kepada pihak TH, pihak pengurusan TH mengisytiharkan bahawa pihak penyimpan tidak lagi perlu membayar zakat simpanannya. Namun masalahnya adalah aqad perwakilan (wakalah) adalah bersifat ghayru lazim ( iaitu boleh ditamatkan hanya dengan kehendak sebelah pihak tanpa persetujuan pihak yang satu lagi), [1]
Justeru sekiranya pihak penyimpan tiba-tiba menarik semula mandat yang pada asalnya diberikan di awal kontrak tadi, lalu ingin membayar sendiri zakat wang simpanannya dan bukan zakat perniagaan. Dari sudut hukum Islam, penyimpan berhak membuat keputusan sedemikian. Manakala pihak Tabung Haji tidak lagi mengeluarkan zakat perniagaan bagi pihak penyimpan kerana mandatnya telah ditarik semula. Pihak tbaung haji masih boleh menggunakan wang penyimpan untuk tujuan pelaburan namun, bahagian zakat bagi penyimpan yang ingin mengeluarkan sendiri TIDAK lagi boleh dipaksa.
Jika ia terus tidak diendahkan, ia sememangnya akan menimbulkan masalah dari sudut hukum Shariah kerana ia akan menyebabkan pembayaran zakat tadi jatuh dalam ‘Tasarruf Fudhuli' iaitu satu tindakan yang dibuat oleh seseorang yang lain tanpa mendapat mandat atau wakilan dari yang meminta. Tatkala itu zakatnya dikeluarkan adalah mawquf atau tidak sah selagi tidak dipersetujui oleh penyimpan, malah jika si penyimpan tidak memberikan persetujuannya, pihak Tabung Haji perlulah membayar semula jumlah yang dikeluarkan. [2]
Perlu diingat bahawa zakat adalah hak peribadi yang mesti ditunaikan oleh individu terbabit, justeru itu, sekiranya pihak individu itu tidak lagi ingin mewakilkan pihak Tabung Haji untuk mengeluarkan zakat bagi pihaknya atau membatalkan mandat wakil (wakalah) kepada TH yang pernah diberi di awal kontrak simpanan dibuat. Pihak Tabung Haji seseungguhnya tidak boleh memaksa, apatah lagi mengeluarkan zakat bagi pihak individu penyimpanan tanpa izinnya.
Pada waktu dan keadaan tertentu, para penyimpan berhak untuk menyalurkannya kepada penerima yang diyakini dan dirasakan lebih dikenali dan lebih utama untuk diberikan. Seperti disalurkan kepada adik beradiknya yang miskin dan memerlukan.
Hasil dari ini, saya menyeru agar pihak Tabung Haji meninjau kembali aspek ini agar ia dapat diperbetul dan diperkemaskan. Namun demikian, sekiranya hal ini telah diselesaikan oleh pihak Tabung Haji, saya ucapkan tahniah dan meminta maaf kerana saya tidak mempunyai maklumat terbaru berkenaan sebarang polisi baru tabung haji berkaitan hal zakat wang simpanan penyimpanan ini. Namun saya yakin, tiada sebarang keputusan baru.
Sekian.
www.iLuvislam.com
Tuesday, 9 June 2009
Isu Zakat Wang Simpanan Tabung Haji
Posted by amn077 at 23:35
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment