IMAN boleh teruji apabila terjadinya konflik antara suami dan isteri. Dalam urusan rumah tangga, kehebatan seseorang sentiasa diuji apakah dia layak untuk menjadi raja atau permaisuri di singgahsana hati pasangan dan pada pandangan mata zuriat sebagai rakyat jelata, walaupun keduanya mungkin berilmu, kuat berpegang kepada agama, bijak dan cukup profesional dalam kerjaya.
Orang mukmin memandang ujian dengan pandangan positif, selagi mana ujian itu tidak menjejaskan agamanya, maka tidak ada perkara perlu dirisaukan kerana agama adalah kekuatan terakhir yang membentengi jiwa setiap mukmin.
Jika tercabut agama akibat ujian, maka gelaplah masa depan dunia dan akhirat. Gejala kemungkinan terfitnahnya iman kerana urusan rumah tangga pernah disentuh dalam hadis Rasulullah SAW seperti pernah terjadi ke atas rumah tangga puteri Rasulullah SAW, Fatimah dan Ali ketika Ali bercadang mahu memadukan Fatimah dengan anak perempuan Abu Jahal.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: Sesungguhnya Fatimah adalah sebahagian diriku, dan aku tidak suka jika ada sesuatu yang menyakitinya. Menurut suatu riwayat: Dan sesungguhnya aku khuatir jika agamanya terfitnah, aku tidak mengharamkan sesuatu yang halal, tetapi demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah dengan puteri musuh Allah sama sekali. Lalu Ali membatalkan lamarannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ramai suami dan isteri lupa bahawa mendirikan rumah tangga adalah suatu wasilah untuk menjaga agama mereka daripada terfitnah. Tetapi sebaliknya terjadi, ada disebabkan perkahwinan agama mereka menjadi rosak, iman semakin surut dan tidak tercapai ketenangan jiwa yang menjadi matlamat mendirikan rumah tangga.
Firman Allah bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda bagi kaum yang berfikir.” (Surah al-Rum, ayat 21)
Ketenangan dalam rumah tangga hanya dapat diwujudkan dengan merealisasikan prinsip keadilan, sentiasa meraikan cinta sebagai amal salih dan menyatukan matlamat kehidupan suami dan isteri. Agama juga tidak memaksa seseorang mempertahankan perkahwinan apabila tiada harapan lagi untuk membina ketiga prinsip itu dalam alam perhubungan suami isteri.
Hal itu pernah terjadi dalam rumah tangga anak angkat Baginda SAW, Zaid bin Harithah yang berkahwin dengan seorang wanita terkemuka daripada kalangan bangsa Quraisy, Zainab yang tidak mencintai Zaid atas sebab tertentu, tetapi Baginda SAW menasihati Zaid supaya menahan Zainab sebagai isteri sehingga turun teguran dari langit suruhan menceraikan Zainab, kemudian Allah menguji Rasulullah SAW dengan suruhan menjadikan Zainab sebagai Ummahatul Mukminin.
Allah berfirman bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika kamu berkata kepada orang yang Allah sudah melimpahkan nikmat kepadanya (Zaid bin Harithah) dan kamu (juga) berbuat baik kepadanya (beliau diangkat oleh Rasulullah sebagai anak): Tahanlah terus isterimu dan bertakwalah kepada Allah, sedang kamu menyembunyikan di dalam hatimu apa yang Allah akan menyatakannya, dan kamu takut kepada manusia, sedang Allah yang lebih berhak untuk kamu takuti. Maka tatkala Zaid mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan kamu dengan dia supaya tidak ada keberatan bagi orang mukmin untuk (mengahwini) isteri anak angkat mereka, apabila anak angkat itu sudah menyelesaikan keperluannya daripada isterinya dan adalah ketetapan Allah itu pasti terjadi.” (Surah Al-Ahzab, ayat 37)
Ayat ini secara langsung menegur sesiapa saja yang menyusahkan proses perceraian yang halal di sisi Allah kerana memaksa lelaki dan wanita untuk mempertahankan perkahwinan walaupun konflik terlalu kusut untuk dileraikan, perbuatan ini nyata menjejaskan iman, agama dan masa depan mereka.
Bahtera perkahwinan yang tidak menegakkan prinsip keadilan akan goyah, tetapi tidaklah boleh meletakkan neraca keadilan itu mengikut akal fikiran dan hawa nafsu manusia tanpa bimbingan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW.
Mengikut akal manusia, keadilan bererti sama rata dalam pembahagian hak dan tanggungjawab. Maknanya jika suami bekerja dan isteri juga bekerja, masing-masing mesti berkongsi memberi nafkah.
Tetapi wahyu menyatakan yang bertanggungjawab memberi nafkah hanya suami, lalu orang lelaki berasakan perkara ini tidak adil kepada lelaki, mereka mahu wanita juga mengeluarkan hartanya untuk nafkah keluarga. Akhirnya ada suami mengambil kesempatan menggunakan harta isteri untuk berkahwin baru.
Dalam hal kasih sayang dan khidmat layanan kepada pasangan, Islam sama sekali tidak pernah merestui pemerintahan kuku besi dalam rumah tangga. Isteri mengawal suami atau suami mengongkong isteri, kedua-duanya tidak sesuai dengan prinsip keadilan Islam.
Isteri wajib taat kepada suami dan suami pula wajib menyayangi isteri. Ramai suami yang mahu isteri memberi ketaatan seratus peratus, tetapi dia tidak mampu menyayangi isteri seratus peratus. Begitu pula ramai isteri yang mahu suami sayang tidak berbelah-bagi, tetapi mereka enggan taat kepada suami.
Akhirnya suami menjadi liar dan isteri pula bertambah degil. Sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak akan melahirkan cinta yang ikhlas. Mereka dituntut untuk pandai memberi dan reda menerima pasangan secara adil tanpa diskriminasi dan eksploitasi terhadap pasangan. Hal sebegini pernah dilalui Rasulullah SAW dan sahabat dalam kehidupan rumah tangga mereka.
Keadilan yang saksama dalam rumah tangga mengikut bimbingan wahyu dan sunnah Rasulullah SAW nyata memberi gambaran harmoni dalam kehidupan suami dan isteri. Ada beberapa prinsip keadilan dikutip daripada ayat Allah dan sunnah Nabi SAW.
Suami wajib berbuat baik kepada isteri seperti suruhan Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah dengan mereka secara makruf. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” (Surah Al-Nisa, ayat 19)
Nabi SAW juga mengingatkan suami dalam hal ini seperti sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya, dan aku adalah sebaik-baik lelaki kepada isteriku.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Rasulullah SAW menyuruh suami melayan isteri dengan baik dan penuh kasih sayang sehingga ke tahap menyuapkan makanan ke mulut isteri. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Dan sesungguhnya jika engkau memberi nafkah, maka itu adalah sedekah, hinggakan setiap suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu adalah sedekah.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Rasulullah SAW pernah menyediakan kain yang empuk sebagai tepat duduk isterinya di atas unta dan meletakkan lutut Baginda untuk isterinya, Safiyyah ketika mahu naik ke atas unta. (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)
Isteri Rasulullah SAW, Aisyah menceritakan keadaan Rasulullah SAW di rumah, beliau berkata: “Rasulullah SAW membantu pekerjaan keluarganya di rumah.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)
Aisyah juga berkata: “Rasulullah SAW mencium seorang isterinya kemudian pergi bersembahyang ke masjid.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)
Bukan hanya suami yang dituntut melayan dan menumpahkan kasih sayang kepada isteri bahkan isteri pun wajib memberi layanan yang sama kepada suami seperti dilakukan isteri Rasulullah SAW dan sahabatnya.
Menyikat rambut suami seperti dinyatakan Aisyah menjadi kebiasaan isteri Nabi. Katanya: “Nabi SAW menghulurkan kepalanya dari masjid ketika Baginda sedang beriktikaf lalu saya mencucinya. Dalam satu riwayat lain, lalu saya menyikat rambutnya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Kisah sahabat wanita, Ummu Sulaim yang amat cintakan suaminya dan melayannya sebaik mungkin walaupun ketika itu bayi lelaki mereka baru meninggal dunia. Dia tidak mahu suaminya terkejut dengan berita kesedihan itu, dia merahsiakan dulu, dia melakukan sesuatu sehingga suaminya tidur dalam keadaan puas dan tenang.
Dia menutupi berita kematian anak mereka dengan sebaik mungkin dan berkata dengan penuh kelembutan kepada suaminya keesokan harinya: “Apa pandanganmu jika suatu hari seseorang menitipkan hartanya kepada orang lain dan selepas berlalu masa pemilik harta itu mahu mengambil kembali harta dititipkannya kepada sahabatnya? Suaminya pun menjawab tanpa mengesyaki sesuatu: “Dia berhak mengambil miliknya.” Lalu Ummu Sulaim menasihati suaminya: “Bersabarlah suamiku, sesungguhnya Allah sudah mengambil anak lelaki kita.”
Isteri dituntut untuk memberi keikhlasan ketika berkhidmat kepada suami. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Adalah kebahagiaan ialah memiliki isteri yang solehah, jika engkau memandangnya ia menyenangkanmu. Jika engkau meninggalkannya dia menjaga diri dan hartamu. Dan kecelakaanlah mempunyai isteri jika engkau pandang mengecewakanmu, kata-katanya menyakitimu dan jika engkau pergi dia tidak menjaga diri dan hartamu.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban, dinilai sahih oleh al-Albani)
Setiap kali konflik rumah tangga terjadi, kebiasaannya semua pihak mencari siapa bersalah, menyerang pasangannya dengan untaian keaiban didedahkan. Tetapi hakikatnya, siapa yang melempar batu dalam rumah tangganya, maka kepala dia sendiri akan berdarah.
Suami yang menghina isteri sebenarnya menghina dirinya sendiri, isteri mengaibkan suami dengan sengaja, maka aibnya sendiri akan menjadi tontonan orang ramai. Inilah perbuatan syaitan jantan dan betina kerana punca keretakan adalah tidak pandai membahagi keadilan kepada jiwa masing-masing.
Dr Juanda Jaya
Tuesday, 9 June 2009
Prinsip keadilan penentu kebahagiaan rumah tangga
Posted by amn077 at 23:30
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment