Bila berkata tentang bahagia, sudah pasti setiap insan menyukai dan mengimpikannya. Kebahagiaan adalah merupakan sebuah perasaan yang sangat sukar diungkapkan. Dan ia bersifat sangat subjektif.
Berdasarkan definisi di dalam Kamus Dewan, edisi ketiga, bahagia membawa maksud: “suasana senang dan aman, aman damai, serta gembira”.
Bahagia sebenarnya lebih bersifat subjektif, sebuah perasaan yang lahir dari dalam lubuk hati, membawa sebuah pengertian yang sangat bermakna. Bahagia dicapai apabila seseorang itu merasa sebuah kepuasan, gembira, kecukupan, serta penuh kesyukuran dan keredhaan.
Kebahagian adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki oleh mereka yang kaya raya dan berharta. Kerana boleh sahaja, orang yang kaya raya tidak bahagia kerana runsing dengan keselamatan hartanya yang bertimbun.
Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang sehari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahu pun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.
Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman yang mewah dan indah. Kerana boleh sahaja, rumah besar itu hanya mejadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung yang terkurung di dalam sangkar emas.
Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan (suami/isteri) yang tampan atau cantik rupawan. Kerana ketampanan dan kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.
Di antara faktor-faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup sekaligus faktor menuju bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang, serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah hanya dengan ini sahaja?
Maka dengan itu, sebuah kebahagian belum tentu dapat dicapai hanya dengan beberbekalkan harta yang melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman yang mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Jadi, bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman dan kejaran seluruh manusia yang hidup itu?
Jika kita kembali kepada agama, sebenarnya kebahagiaan itu hanya dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip-prinsip agama bagi setiap urusan yang mereka lakukan untuk perjalanan hidup mereka. Apabila mereka meletakkan prinsip-prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka telah meletakkan Allah Subhanahu wa Ta’ala sebagai keutamaan mereka. Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Allah berikan kepada mereka dan dengannya mereka bersikap qana’ah atau sentiasa merasa cukup serta berpuas hati (redha).
Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, 13: 28)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):
“Sesiapa di antara kamu yang merasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari tersebut, seakan-akan dia telah diberi semua kenikmatan dunia.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi. Hadis ini hasan menurut penilaian al-Albani di dalam Silsilah Hadis ash-Shahihah)
Rasulullah juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta yang menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati.
“Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana’ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa redha dan merasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan. Dan dia juga tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta. Seolah-olah dia sentiasa memiliki kecukupan.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda (maksudnya):
“Benar-benar beruntung orang yang telah memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana’ah di dalam menerima apa jua pemberian Allah terhadapnya.” (Hadis Riwayat Muslim)
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan dari mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa yang telah kita miliki. Dan bukannya dengan melihat kekayaan yang dimiliki oleh orang yang mewah berbanding diri kita.
“Lihatlah orang yang berada di bawahmu, dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah.” (Hadis Riwayat Muslim)
Pesanan Rasulullah ini sebenarnya bertujuan mengajak kita untuk sentiasa merasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang kita usahakan serta perolehi. Sekaligus menjauhkan kita dari merasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.
Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik adalah sangat merujuk kepada kehidupan berkeluarga iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak-anak dan keperluan berkaitan dengannya.
Kerana Allah subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita (isteri), anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah Ali Imran, 3: 14)
Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami di dalam setiap hal-ehwal urusan kehidupan mereka. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang telah digaris-pandukan oleh agama. Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka.
Rumahtangga yang bahagia yang dibina di atas landasan agama ia akan membawa pasangan suami isteri tersebut kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke syurga yang penuh kenikmatan. Ini dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga mereka sebagai medan meraih keredhaan dan mengejar cinta Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Dalam persoalan ini, si suami selaku ketua keluarga bertangungjawab mengemudi keluarga yang dibinanya bagi tujuan menuju kebahagiaan tersebut. Ini dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik, dan dia sentiasa berusaha memibimbing isteri-isteri dan anak-anaknya kepada perkara yang dicintai oleh Allah.
Dengan kefahaman agama yang teguh dan satu di antara ahli keluarga, kebahagian akan dapat diraih dengan baik disebabkan mereka memiliki satu kefahaman yang teguh secara bersama. Mereka menuju fokus yang satu, iaitu keredhaan Allah semata. Sekaligus, ia bakal melahirkan generasi yang cemerlang di atas ketaatan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala yang jauh dari perasaan dengki, hasad, tamak, dan benci. Sebaliknya, hidup mereka dipenuhi dengan tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran dan kemesraan yang berpanjangan.
Di antara faktor-faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah sebagaimana yang digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melalui hadisnya:
“Empat (4) perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, 1 – Isteri yang solehah, 2 – Rumah yang luas, 3 – Jiran tetangga yang soleh (baik), dan 4 – Kenderaan yang selesa.
Dan empat (4) perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah:
1 - Isteri yang buruk akhlaknya, 2 – Jiran tetangga yang jahat, 3 - Kenderaan yang buruk, dan 4 – rumah yang sempit (tidak selesa).” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban. Hadis daripada Sa‘ad bin Abi Waqas radiyallahu ‘anhu, dinilai sahih oleh Syu‘aib al-Arna’uth di dalam Sahih Ibn Hibban. Juga dinilai sahih oleh al-Albani di dalam Silsilah Hadits ash-Shahihah)
Dari hadis ini, yang dimaksudkan dengan isteri yang solehah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.
Rumah yang luas adalah rumah yang sentiasa terisi dengan sifat qana’ah, terisi dengan aktiviti yang dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria, dan kemudahan yang baik.
Kenderaan yang selesa adalah sebuah sarana yang sangat penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal-ehwal urusan serta tugas seharian.
Jiran tetangga yang baik adalah merujuk kepada soal pergaulan yang baik dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syari’at yang betul.
Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur-unsur yang mampu mendatangkan keburukkan sekaligus jauh dari nilai-nilai sebuah kebahagiaan.
Dan sebagai mengakhiri tulisan ini, penulis meletakkan fokus bahawa sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredhaan Allah Subhanahu wa Ta’ala, sekaligus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat.
Kerana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman (maksudnya):
“Orang-orang yang beriman dan beramal soleh, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik.” (Surah ar-Ra’d, 13: 29)
Nawawi B. Subandi,
12:35, 13 Jun 2009, Rawang Putra.
http://an-nawawi.blogspot.com
Sunday, 14 June 2009
Bercerita Tentang Bahagia
Posted by amn077 at 13:21
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment