ALAM barzakh adalah satu alam lain yang pasti akan ditempuh dan dihuni manusia selepas kehidupan dunia ini. Manusia tetap berada di alam barzakh sehinggalah kedatangan hari kiamat sebagai tanda berakhirnya dunia.
Mukmin yang baik dan beramal soleh akan berada di alam barzakh dalam keadaan aman sentosa kerana memperoleh nikmat kubur hasil amalan kebaikan mereka semasa di dunia seperti solat, puasa, zakat, haji dan sedekah.
Rasulullah SAW bersabda: “Yang akan mengikuti mayat (semasa dihantar ke tanah perkuburan) tiga perkara (iaitu): kaum keluarganya, hartanya dan amalannya. Dua perkara akan pulang (kembali ke rumah) iaitu keluarga dan harta. Satu (saja) yang tinggal (yang ikut bersamanya ke alam barzakh) iaitu amalannya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)
Merenung sabda Baginda SAW itu menjadikan kita insaf bahawa nikmat kehidupan ini terlalu mahal harganya. Manusia hanya bernilai di sisi Allah jika keseluruhan kehidupannya diisi ibadah dan amal soleh kerana hanya amal soleh bekalan terbaik menghadap Allah nanti.
Setiap detik dan masa berlalu itu sebenarnya adalah umur kita. Bermakna dari hari ke hari, umur semakin berkurang dan ajal semakin mendekat, sedangkan kematian itu berlaku tepat pada masanya, tidak kira tua atau muda, tidak kira dalam keadaan sihat atau sakit.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila sudah sampai ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya (melambatkan) barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) memajukannya (mempercepatkannya).” (Surah al-A’raf, ayat 34)
Hakikatnya, kehidupan adalah kesempatan berbuat baik dan satu-satunya modal untuk mencapai kebahagiaan serta keselamatan sesudah mati. Jika nikmat kehidupan di dunia ini tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya, maka rugi nanti bilamana seseorang dipertanggungjawabkan dengan apa yang diperbuat di hadapan pengadilan Allah.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah tidak Kami panjangkan sudah umur kamu, dalam waktu di mana kamu boleh mengingat bagi mereka yang mahu ingat. Dan sudah datang kepadamu yang memberikan teguran dan perhatian.” (Surah Fatir, ayat 37)
Seseorang yang dikurniakan umur sehingga 60 tahun namun masih belum menyedari erti kehidupan, hatinya tidak tergerak melakukan ketaatan dan bertaubat kepada Allah, maka tipislah harapan untuk meraih santunan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah Allah menerima uzur terhadap seseorang yang sudah diberikan tempoh hidupnya sampai 60 tahun.”
Saidina Ali pernah mengungkapkan (bermaksud): “Dunia ialah pasar akhirat yang mana orang mukmin adalah saudagarnya, amal soleh keuntungannya, dosa kerugian, manakala panjang usia modalnya.”
Alam barzakh (kubur) adalah satu pengalaman atau persinggahan pertama yang akan dialami seseorang sesudah mati. Ibnu Majah meriwayatkan bahawa Saidina Uthman bin Affan apabila berada di kawasan perkuburan, beliau menangis tersedu-sedu sehingga basah seluruh janggutnya.
Seseorang bertanya kepada beliau: “Tuan ingat neraka, tuan tidak menangis. Tetapi tuan menangis kerana melihat kubur, mengapa demikian? Saidina Uthman menjawab: Saya menangis kerana takutkan peringatan daripada sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka jika seseorang itu terlepas daripada seksaannya, maka apa yang akan datang kemudian lebih mudah lagi, dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat).” (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Selagi umur kita masih ada dan Allah SWT memberi waktu hidup, bersegeralah rujuk kepada Allah SWT dan bertaubat jika terlanjur berbuat dosa, patuhi perintah, jauhi tegahan-Nya serta jadikan takwa sebaik-baik bekalan. Andainya maut datang secara mengejut, kita sudah mempunyai persiapan untuk pulang ke pangkuan Ilahi.
Rasulullah SAW bersabda: “(Allah) akan memberi kuasa untuk menyeksa orang kafir di dalam kuburnya kepada 99 ekor ular yang akan mematuknya hingga berdirinya kiamat. Jika seekor saja dari ular itu meniupkan bisanya ke bumi, nescaya tidak akan ada tumbuhan hijau yang tumbuh (di atas muka bumi).” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada puteranya: “Wahai anakku, bersegeralah kamu bertaubat, kerana maut itu datang secara tiba-tiba, dan apabila malaikat maut datang, dia tidak memberitahumu terlebih dulu.”
Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia, Serdang
Sunday, 14 June 2009
Mukmin sejati peroleh nikmat ‘kehidupan’ di alam kubur
Posted by amn077 at 13:23
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment