FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjinya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izin-Nya,
sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu, dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurnia-Nya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurnia-Nya kepada orang-orang yang beriman. (Ingatlah) ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapa pun, sedang Rasulullah (yang masih berjuang dengan gagahnya) memanggil kamu dari kumpulan yang tinggal di belakang kamu (untuk berjuang terus tetapi kamu tidak mematuhinya). Oleh sebab itu Allah membalas kamu (dengan peristiwa) yang mendukacitakan (kekalahan), dengan sebab perbuatan (kamu menderhaka) yang mendukacitakan (Rasulullah) itu, supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput dari kamu, dan tidak (pula bersedih) akan apa yang menimpa kamu.
Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: "Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dialah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkan-Nya)". Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu.
Mereka berkata (sesama sendiri): "Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?" Katakanlah (Wahai Muhammad): "Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing". Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada. Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu), dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar. (ali-'Imran: 152-155)
Al-Maraghi berkata: Allah SWT telah mengotakan janji-Nya kepadamu, iaitu janji yang disampaikan melalui rasul-Nya kemenangan menewaskan musuh ketika kamu dapat menumpaskan mereka melalui bantuan dan pertolongan Allah SWT. Rasulullah SAW sudah pasti menjanjikan kepada mereka pada saat itu (Perang Uhud), sekiranya mereka mematuhi perintahnya.
Hanya Allah SWT yang memiliki segala kurniaan dan bersifat pemurah terhadap mereka yang beriman kepada-Nya dan juga kepada rasul-Nya. Perbuatan mereka banyak yang diampuni meskipun wajar dikenakan pengajaran dan hukuman.
Ini kerana perbuatan mereka menimbulkan kerugian kepada jiwa orang lain dan meninggalkan kesan yang negatif akan tetapi Allah SWT telah membersihkan hati mereka, sehingga mereka menjadi orang yang ikhlas, taat, lagi pasrah dengan sepenuh hati.
Sebab Nuzul ayat ke-152
Al-Wahidi dari Muhammad bin Ka'ab, katanya: Ketika Rasulullah SAW kembali ke Madinah, setelah mengalami apa yang dialaminya dalam perang Uhud, berkatalah sahabat-sahabatnya sesama mereka: Dari mana kita terima malapetaka yang seperti ini padahal Allah ada menjanjikan kita kemenangan?
Kata-kata mereka tersebut telah mendapat jawapan dengan turunnya ayat ini yang maksudnya seperti berikut: "Allah telah menepati janji-Nya kepada kamu yang dijanjikan-Nya dengan perantaraan utusan-Nya Muhammad SAW janji untuk mengalahkan musuh, iaitu ketika kamu memerangi musuh habis-habisan dengan kemudahan dan pertolongan Allah serta keizinan-Nya dapat kamu kalahkan musuh sekiranya kemu mematuhi perintah Rasul atau utusan Allah tersebut".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Al-Suddi mengatakan dari Abdul Khair dari Ali bin Abdillah bin Mas'ud ia berkata: Aku tidak menyangka bila ada seseorang dari sahabat Rasulullah SAW yang menghendaki dunia. Sehingga turun kepada kami ayat yang menceritakan tentang perang Uhud.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Di antara kamu ada orang yang menghendaki dunia dan ada di antara kamu juga orang yang menghendaki akhirat.
ii. Hamka berkata: Yang dituju oleh ayat ini, ialah pasukan pemanah yang berada di lereng bukit, yang lemah hati sehingga timbul perbantahan antara yang hendak meninggalkan penjagaan kerana memburu rampasan dengan yang setia mengikut perintah Rasulullah SAW supaya tetap di tempat walau apa pun yang terjadi.
Maka ayat ini memberi peringatan kepada setiap pejuang menegakkan jalan Allah SW agar membetulkan niat sejak mula berjuang sehingga selesai perjuangannya.
iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini mengingatkan bahawa Allah SWT telah memenuhi janji-Nya kepada kamu seperti ketika berkecamuknya perang Badar, dan pada saat-saat awal perang Uhud.
Perlindungan itu dianugerahkan-Nya ketika kamu mengikuti tuntutan Allah SWT dan Rasul SAW. Perlindungan iu berterusan sehingga sampai pada saat kamu lemah, iaitu takut atau lemah dalam mengambil keputusan sehingga mendahulukan meraih kenikmatan duniawi/harta rampasan perang atas ketaatan kepada Rasul dan berselisih dalam urusan itu, masing-masing ingin mendahului yang lain untuk meraihnya, serta mempertahankan posisi kamu walau apa pun yang terjadi.
Namun demikian, perbaiki dan tingkatkan kualiti keimanan kamu dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah SWT telah memaafkan kesalahan kamu, dalam perang Uhud itu di atas kemurahan-Nya semata-mata, setelah Dia mengetahui penyesalan kamu. Dan Allah SWT mempunyai kurniaan yang banyak atas orang-orang mukmin.
iv. Al-Sonhaji berkata: Di antara pertengkaran itu kerana ada yang berkata: Tak payahlah kita bertahan di sini lagi, kerana musuh sudah dikalahkan. Dan setengahnya pula berkata: Janganlah kita melanggar perintah Rasulullah SAW atau menderhakai pemimpin pasukan kita.
Namun kebanyakan mereka melanggar perintah tersebut, maka ketika itu juga terhentilah pertolongan Allah dan terputuslah bantuan-Nya.
Ini kerana Allah menjamin akan menjanjikan pertolongan-Nya hanya dengan dua syarat sahaja. Pertama: takwa dan kedua: sabar di dalam ketaatan.
Dengan adanya kedua syarat inilah yang dapat mengekalkan adanya pertolongan Allah SWT
Iktibar dan fiqh ayat ke-153
i. Menurut Ibn Jarir, pendapat yang paling tepat kebenarannya adalah pendapat yang mengatakan bahawa maksud firman Allah SWT yang bermaksud: "Kerana itu Allah SWT menimpakan ke atasmu kesedihan atas kesedihan".
Maka Allah menimpakan terhadap kegembiraan kamu hai orang-orang yang beriman dengan diharamkannya ghanimah orang-orang musyrik kepada kamu dan diharamkannya kemenangan dan pertolongan terhadap mereka.
Dan musibah yang menimpa kamu, terbunuh dan lukanya pada hari itu terjadi setelah Allah memperlihatkan kepada kamu apa yang kamu sukai dengan sebab derhaka kamu akan perintah Rabb. Juga keingkaran kamu terhadap perintah Nabi kamu, juga kesedihan kerana prasangka kamu bahawa Nabi kamu telah dibunuh di samping desakan musuh terhadap kamu dan posisi mereka yang lebih tinggi terhadap kamu.
Ayat ini boleh difahamkan bahawa Allah SWT menimpakan kesedihan kepada kamu sebagai lanjutan daripada kesedihan yang sebelumnya, Rasulullah SAW hampir dibunuh akibat beberapa luka yang dialami.
Orang musyrik pula meraikan kemenangan sehingga kamu diserang perasaan gelisah serta saling menyalahkan antara satu sama lain. Situasi ini menyebabkan kamu terlepas harta rampasan yang menjadikan sifat tamak itu hilang sama sekali.
ii. Hamka berkata: Ayat ini merupakan peringatan kepada mereka yang lari tatkala melihat kaum musyrikin telah maju kembali; melihat 70 syuhada telah bergelimpangan, sehingga Nabi SAW sendiri dan beberapa orang yang setia mengawal Baginda, telah mereka tinggalkan. Sedangkan antara yang mengawal itu ada juga perempuan.
Ketika mereka lari, Nabi SAW menyeru kepada mereka: "Jangan lari wahai hamba Allah! Aku adalah Rasulullah. Siapa yang kembali, syurgalah untuk dia". Tetapi yang lari itu, terus lari juga tanpa menoleh ke kiri dan ke kanan dan mereka tidak mempedulikan lagi panggilan Nabi SAW.
Pada hujung ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT amat mengetahui apa jua pun yang kamu kerjakan, besar sekali kesannya kepada jiwa mukmin. Ayat ini akan menghilangkan kecurangan dan penipuan kepada diri sendiri sebagai gejala mental yang mulai lemah.
iii. Quraish Shihab berkata: Ayat ini menggambarkan sekelumit kesalahan yang mereka lakukan dimaafkan oleh Allah SWT. Mereka diperintahkan untuk mengingatkan perintah itu.
Ingatlah, ketika sebahagian besar kamu lari menyelamatkan diri menuju ke kota Madinah, ataupun lari meninggalkan medan pertempuran, dan ketika itu mereka lari tanpa menoleh seseorang pun akibat rasa takut dan keinginan menyelamatkan diri sedangkan Rasul pada ketika itu masih lagi bertahan di medan pertempuran.
iv. Al-Sonhaji berkata: Allah menyuruh mengingati kembali peristiwa yang berlaku dalam peperangan Uhud itu, iaitu pada ketika mereka melarikan diri ataupun naik ke atas gunung kerana dihambat musuh, dengan tidak menoleh lagi kepada sahabat, maka pada waktu itulah Rasulullah SAW memanggil mereka dari belakang dengan seruan: "Kemarilah wahai hamba Allah, saya Rasulullah, siapa yang balik ke mari akan memperolehi syurga"!
Itulah seruan supaya meneruskan perjuangan dan mematuhi kembali akan perintahnya.
Iktibar dan fiqh ayat ke-154:
i. Ibn Kathir berkata: Demikianlah golongan orang-orang munafik tersebut, ketika orang-orang musyrik keluar pada saat itu, mereka terlalu yakin bahawa saat itu merupakan kemenangan bagi mereka, sedangkan Islam beserta pemeluknya telah binasa.
Itulah keadaan orang-orang yang diresapi rasa ragu-ragu jika mereka menghadapi masalah dan mereka mempunyai sangkaan yang buruk.
ii. Dari al-Zubair r.a katanya: Saya melihat dari saya bersama-sama Rasulullah SAW pada waktu itu kami sedang mengalami ketakutan yang amat sangat. Tiba-tiba Allah SWT menurunkan perasaan mengantuk kepada kami.
Demi Allah benar-benar saya ada terdengar kata-kata Mu'attib bin Qusyair pada ketika itu saya sedang mengantuk seolah-olah bermimpi dia sedang berkata: Kalau urusan pertolongan dari Allah itu ada pada kita, masakan kita terbunuh di sini.
iii. Dari Abu Talhah diceritakan: "Kami diserang oleh perasaan mengantuk yang teramat sangat pada saat kami bersiap sedia dengan senjata (memakai pedang) sehingga ada antara kami pedangnya jatuh lalu diambilnya lagi, masih lagi terjatuh. Begitulah gambaran yang dapat dijelaskan dalam perkara ini".
iv. Al-Zubair berkata: "Aku sendiri pernah bersama Rasulullah menyaksikan keadaan kami sewaktu dilanda ketakutan yang amat sangat. Lalu Allah SWT menurunkan perasaan mengantuk kepada kami.
Demi Allah aku masih mendengar suara Mu'attib Ibn Qushair, padahal kami dalam keadaan mengantuk. Aku mendengar suaranya bagaikan dalam mimpi.
Ketika itu Mu'attib berkata: "Sekiranya kami tidak mengambil bahagian dalam perang ini, nescaya kami tidak akan berperang di sini".
v. Hamka berkata: Setelah puncak ketegangan itu terlepas, kaum muslimin telah dapat mengumpulkan kekuatan kembali, berkumpul sekeliling Rasulullah SAW sudah nyata bahawa Rasul SAW tidak tewas sebagaimana yang disiarkan oleh pihak Quraisy.
Segala rasa cemas pun hilanglah dan bersedia kembali menghadapi segala kemungkinan, sekalipun akan meneruskan perang, jika Quraisy menyerang, kerana bangga akan kemenangan mereka. Kerana hati telah bulat kembali, maka ada antara mereka yang mengantuk lalu tertidur. Mengantuk dan tertidur datang, tandanya hati telah tenteram.
vi. Quraish Shihab berkata: Salah satu bentuk sangkaan jahiliah yang boleh jadi terdetik di dalam benak mereka yang terlibat dalam perang Uhud adalah dugaan bahawa kemenangan akan diperolehi tanpa usaha, cukup dengan nama Islam yang mereka sandang dan agama yang benar, pasti menang walau tidak diperjuangkan. Atau bahawa kemenangan pasti diraih kerana seorang mnusia agung seperti Muhammad SAW berada bersama mereka.
Ini semua adalah jenis-jenis sangkaan jahiliah yang mengabaikan prinsip-prinsip sunnatullah, prinsip sebab dan akibat. Bahkan melupakan bahawa bantuan Allah SWT akan hadir jika upaya manusia telah tercurah, itupun dengan syarat ketabahan dan ketakwaan.
Iktibar dan fiqh ayat ke-155:
i. Al-Qurtubi berkata: Dikehendaki siapa yang berpaling di kalangan orang musyrikin pada hari peperangan Uhud.
ii. Al-Maraghi berkata: Ayat ini mengisyaratkan bahawa salah satu daripada peraturan yang menyentuh akhlak dan tingkah laku manusia. Malapetaka yang menimpa diri mereka khususnya dan masyarakat umumnya hanyalah sebahagian kesan tabii (yang berpunca daripada sebahagian mereka.
Ia juga bermaksud agar manusia menghilangkan perasaan putus asa dalam diri mereka serta memberikan harapan baik terhadap sangkaan mereka. Sesungguhnya Allah SWT akan mengampuni semua dosa sama ada kecil atau besar apabila mereka bertaubat dan memohon keampunan.
iii. Hamka berkata: Di dalam ayat ini disebutkan, bahawa pertempuran di Bukit Uhud itu disebut di dalam ayat 41 surah al-Anfal, pertempuran angkatan perang Islam dengan musyrikin di padang Badar, yang jua disebut pertempuran antara dua angkatan.
Angkatan yang pertama memperjuangkan hak dan kebenaran yang pimpin oleh Rasulullah SAW, manakala angkatan yang kedua mempertahankan yang batil yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Maka ayat ini memberi peringatan, jika ada dari kalangan tentera Islam yang berpaling daripada tugasnya, maka mereka telah diperosok ke dalam kekalahan kerana menurut hawa nafsu yang menginginkan harta rampasan perang.
iv. Al-Sonhaji berkata: Ayat ini ditujukan kepada pasukan kaum Muslimin dalam peperangan Uhud yang telah tewas di serang musuh, mereka lari lintang pukang meninggalkan Baginda SAW.
Pada saat itu Baginda hanya dipertahankan oleh sebilangan kecil daripada tentera-tentera Islam yang seramai 13 orang, lima daripadanya Muhajirin dan selebihnya daripada Ansar.
Mereka yang meninggalkan Nabi SAW itu telah digelarkan sebagai orang yang berpaling, kerana meninggalkan Nabi SAW dan pertahanan mereka disebabkan oleh pujukan syaitan yang menggelincirkan mereka untuk berbuat dosa dan menyalahi perintah Nabi SAW. Setengah dari mereka tidak berani menemui Nabi SAW kerana merasa dirinya telah bersalah.
Ada yang sampai tiga hari baru menemui Baginda dan ada pula hari itu juga telah datang menemui Baginda yang masih berada di Gunung Uhud seperti Saidina Umar al-Khattab r.a.
Sebenarnya, apa yang telah mereka lakukan pada hari itu sepatutnya mendapat hukuman di dunia dan di akhirat. Tetapi kemudiannya, Allah SWT telah mengampunkan dosa mereka sama ada yang besar mahupun yang kecil dan tidak menyegerakan seksaan-Nya ke atas orang-orang yang telah berdosa.
Semoga Allah SWT tetapkan hati kita dalam keimanan dan dijauhkan dari tipu daya syaitan. Amin.
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sunday, 13 December 2009
Allah tidak mungkir janji
Posted by amn077 at 18:10
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment