Jika kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah didalangi Mustafa Kemal, kejatuhan kerajaan Abbasiyyah pula didalangi oleh lelaki ini.
Siapakah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami? Beliau ialah menteri berbangsa Parsi yang berkhidmat untuk khalifah terakhir kerajaan Abbasiyyah, iaitu Khalifah Al-Musta’shim Billah. Beliau ditugaskan menguruskan perbendaharaan negara, umpamanya menguruskan baitulmal, zakat, dan menggaji tentera.
Suatu ketika, berlaku pembunuhan ketua tentera yang bernama Hurnain. Dalam memilih bakal pengganti ketua tentera tersebut, berlaku perbalahan antara menteri-menteri yang berbangsa Turki, Parsi dan Arab. Masing-masing berkeras mahu melantik pengganti dari kalangan kaum yang diwakili mereka. Bagi mengelakkan persengketaan daripada berlarutan, maka Khalifah telah melantik rakan kepada puteranya, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar sebagai ketua tentera yang baru.
Rukunuddin Ad-Daudar seorang Arab yang membenci golongan Syiah. Dalam empayar Abbasiyyah, golongan Syiah kebanyakannya berbangsa Parsi. Ketika berlaku rusuhan kaum antara Syiah dan Sunni di Kirkuk, dia telah mengarahkan tentera kerajaan membunuh golongan Syiah. Tentera beliau bukan sahaja membunuh orang-orang Syiah, bahkan merampas harta benda mereka serta melakukan perkosaan ke atas perempuan-perempuan mereka. Apabila berita pembunuhan beramai-ramai golongan Syiah sampai ke telinga Umayiduddin Muhammad Al-Aqami yang merupakan menteri berbangsa Parsi, beliau berasa amat marah lalu mengadukan perkara tersebut kepada khalifah. Namun khalifah menegaskan bahawa pembunuhan itu wajar dilakukan demi menjaga keamanan negara, tanpa menyedari bahawa pembunuhan itu turut melibatkan pembunuhan orang-orang yang tidak berdosa dan perkosaan ke atas kaum wanita.
Meskipun Umayiduddin memiliki bukti, namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan khalifah terlalu meyakini bahawa Rukunuddin menjalankan tugas tersebut semata-mata demi menyelamatkan negara daripada pemberontakan. Atas rasa tidak puas hati dan dikuasai oleh dendam yang membara, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami merancang mahu menjatuhkan khalifah. Beliau pada mulanya bercadang untuk membina pakatan dengan kerajaan Parsi, namun utusan yang dihantar olehnya telah ditahan oleh tentera Monggol dan suratnya kepada kerajaan Parsi telah dirampas oleh mereka. Demi mengelakkan surat tersebut diserahkan oleh orang Monggol kepada khalifah dan seterusnya menyebabkan rancangan belotnya terbongkar, maka dia beralih arah dan bercadang berpakat dengan tentera Monggol. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tentera Monggol sememangnya sedang menanti masa untuk menakluk kota Baghdad. Pada masa itu tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan sedang berkhemah dan melakukan latihan perang di pinggir kota Baghdad. Setelah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami berpakat dengan tentera Monggol, maka bermulalah episod pengkhianatannya terhadap Khalifah Al-Musta’shim.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah menipu Khalifah dengan mengatakan bahawa perbendaharaan negara tidak cukup untuk menampung gaji tentera dan menyarankan kepada baginda agar memberhentikan 90 000 tentera daripada 100 000 jumlah keseluruhannya. Alasannya lagi, tentera-tentera tersebut kebanyakkannya telah tua. Di sebalik saranan tersebut, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya memiliki muslihat tersendiri. Beliau sebenarnya mahu agar tentera-tentera berpengalaman (kebanyakannya dari golongan tua) dilenyapkan dari pasukan tentera, dan beliau juga sebenarnya mahu mengurangkan bilangan tentera. Ini kerana beliau telah bersepakat dengan tentera Monggol untuk melemahkan angkatan tentera Bani Abbasiyyah. Hasilnya, tentera Abbasiyyah yang berjumlah 100 000 pada asalnya hanya tinggal 10 000 orang sahaja, dan kebanyakan anggotanya terdiri daripada golongan muda yang kurang berpengalaman. Khalifah Al-Musta’shim begitu mudah menerima cadangan tersebut kerana Umayiduddin Muhammad Al-Aqami adalah menteri yang paling dipercayainya.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami juga telah melarang Khalifah dari menyiapkan pasukan tentera ketika Baghdad sedang dikepung tentera Monggol. Beliau mahu Khalifah menganjurkan perdamaian antara kerajaan Abbasiyyah dengan orang Monggol. Sedangkan mereka sendiri sudah sedia maklum, tentera Monggol bukanlah manusia yang boleh menerima perdamaian. Pada mereka (tentera Monggol), musuh hanya diberikan dua pilihan sahaja, menyerah atau berperang. Sekiranya musuh memilih untuk berdamai, bererti mereka menyerah diri kepadanya. Oleh itu, perdamaian dengan orang Monggol merupakan perkara yang amat mustahil untuk dilakukan. Namun, oleh kerana Khalifah begitu mempercayai kata-kata Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, maka beliau bercadang untuk berdamai. Di sini satu kesilapan yang amat besar telah dilakukan oleh Khalifah Al-Musta’shim Billah. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami telah mengaturkan satu pertemuan antara Hulagu Khan dengan Khalifah Abbasiyyah. Dalam pertemuan tersebut, lebih 700 pengiring Khalifah Al-Musta’shim Billah telah dibunuh oleh tentera Monggol. Orang Monggol sememangnya berniat untuk membunuh pengiring Khalifah yang terdiri daripada golongan agama awal-awal lagi, disebabkan itu mereka merancang mengasingkan khemah yang menempatkan Khalifah Al-Musta’shim dengan khemah yang menempatkan para pengiringnya. Setelah semua pengiring dibunuh, Hulagu Khan memberitahu perkara tersebut kepada Khalifah Al-Musta’shim dan memberikan alasan tenteranya membunuh mereka akibat perselisihan faham antara tenteranya dengan mereka. Sebelum Khalifah Al-Musta’shim dilepaskan pulang ke istana, beliau diberi amaran oleh Hulagu Khan agar tidak mengumpulkan bala tenteranya untuk berperang dengan mereka.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami, demi mengelakkan dirinya daripada dicurigai oleh Khalifah Al-Musta’shim, telah berpura-pura kononnya menyelamatkan nyawa khalifah ketika khalifah diugut hukum bunuh oleh Hulagu Khan yang juga berpura-pura ketika Khalifah Al-Musta’shim Billah berada di dalam khemah tersebut. Kesemua ini dirancang dengan rapi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami dan Hulagu Khan. Khalifah Al-Musta’shim Billah sering murung selepas kejadian itu. Rakyatnya yang kematian ahli keluarga telah datang ke istana. Mereka mahu Khalifah Al-Musta’shim Billah mengeluarkan perintah memerangi orang Monggol. Mereka mahu menuntut bela di atas kematian ahli keluarga mereka yang telah dibunuh dengan kejam oleh tentera Monggol. Namun Khalifah Al-Musta’shim Billah masih kebingungan dan beliau tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih sedih dan terkejut dengan kejadian itu. Tambahan pula, beliau telah diugut sendiri oleh Hulagu Khan agar mendiamkan diri. Dalam hati beliau, Hulagu Khan lebih ditakuti berbanding Allah S.W.T. (sebagaimana kata puteranya Abu Bakar). Ketua tentera Abbasiyyah yang baru beberapa bulan dilantik, iaitu Rukunuddin Ad-Daudar telah banyak kali menggesa Khalifah Al-Musta’shim Billah agar membenarkan beliau mengumpulkan bala tentera untuk memerangi orang Monggol, sejak dari mula beliau dilantik lagi.
Gambar hiasan
Namun gesaan itu tidak diendahkan Khalifah Al-Musta’shim Billah, malah dipandang remeh kerana dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Namun Rukunuddin Ad-Daudar tidak berdiam diri, lebih-lebih lagi selepas berlakunya peristiwa pembunuhan 700 orang pengiring khalifah itu. Beliau telah mengumpulkan rakyat jelata yang terdiri daripada anak-anak muda yang sanggup berjihad demi Islam. Beliau juga menyebarkan arahan berjihad ke setiap masjid di Baghdad. Akhirnya beliau berjaya mengumpulkan 20 000 tenteranya. Bilangan ini memang jauh lebih sedikit berbanding bilangan tentera Monggol (200 000), namun itu tidak mematahkan semangat mereka. Bilangan mereka yang sedikit itu bukanlah kerana rakyatnya tidak berani dan takut mati. Bahkan seruan jihad itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Perbuatan Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menyuruh khalifah memecat sebahagian besar tentera Abbasiyyah sebelum ini menyebabkan bilangan mereka menjadi amat sedikit, dan kebanyakan ahlinya adalah anak muda yang bersemangat tetapi kurang pengalaman. Tentera-tentera yang telah dipecat oleh Khalifah Al-Musta’shim yang terdiri daripada bangsa Parsi dan Turki pula enggan kembali memberikan khidmat mereka kerana berasa marah dengan Khalifah. Mereka mahu agar khalifah digulingkan. Mereka juga telah pulang ke tanah air masing-masing kerana tidak mahu menjadi mangsa serangan tentera Monggol.
Rukunuddin Ad-Daudar berjaya mendapatkan kebenaran khalifah untuk memerangi tentera Monggol. Itupun selepas Khalifah Al-Musta’shim Billah puas dipujuk oleh puteranya iaitu Abu Bakar. Khalifah sememangnya benar-benar tertekan selepas peristiwa pembunuhan pengiringnya itu, maka beliau pun bercadang menyerahkan isu tersebut kepada Rukunuddin dan bala tenteranya. Rukunuddin telah melancarkan serangan ke atas tentera Monggol. Serangan mereka tidak kurang hebatnya kerana tidak kurang tentera Monggol yang terkorban. Namun disebabkan tentera mereka turut sama terkorban dan bilangan mereka semakin berkurangan, Rukunuddin Ad-Daudar menamatkan serangan (mengambil teladan Khalid Al-Walid R.A. dalam peristiwa di Yarmuk) dan membawa mereka semua lari ke Mesir untuk bergabung dengan tentera Mamalik Mesir dan tentera Berke Khan (orang Monggol yang memeluk Islam).
Mereka kembali berperang dengan tentera Monggol di ‘Ain Jalut di Palestin kira-kira dua tahun kemudian dalam Pertempuran Ain Jalut. Tentera Monggol berasa amat gembira setelah berjaya mengalahkan tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Mereka bercadang untuk menakluk Baghdad secepat mungkin. Mereka berasa amat marah kerana ramai tenteranya gugur dibunuh tentera Rukunuddin Ad-Daudar. Sementara itu, rakyat Baghdad berada dalam keadaan bimbang kerana tentera Rukunuddin telah melarikan diri ke Mesir dan tidak ada sesiapa lagi yang mempertahankan kota Baghdad. Namun mereka telah berkumpul dan bercadang untuk berjihad menentang tentera Monggol sehingga ke titisan darah yang terakhir. Oleh itu, mereka telah menyuarakan hasrat mereka itu kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah. Mereka benar-benar mahu berjihad mempertahankan agama dan tanah air mereka.
Di waktu ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami selaku menteri kepercayaan Khalifah Al-Musta’shim Billah, mengeluarkan helahnya sekali lagi. Beliau menyarankan kepada Khalifah Al-Musta’shim Billah agar tidak membenarkan rakyatnya keluar berjihad. Beliau turut menawarkan dirinya untuk berunding dengan tentera Monggol kononnya agar mereka dapat menerima perdamaian. Khalifah Al-Musta’shim Billah sekali lagi berjaya dipengaruhi oleh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Maka Umayiduddin Muhammad Al-Aqami pun dengan gembiranya keluar bertemu dengan Hulagu Khan. Setelah pulang ke istana, beliau telah memaklumkan kepada Khalifah dengan bahawa Hulagu Khan setuju berdamai dan mahu agar Khalifah Al-Musta’shim Billah mengahwinkan puteranya Abu Bakar dengan puteri Hulagu Khan. Alangkah gembiranya Khalifah Al-Musta’shim Billah mendengarkan berita itu. Tambahan pula Umayiduddin Muhammad Al-Aqami menunjukkan cincin yang diberikan Hulagu Khan sebagai tanda perdamaian. Lalu baginda pun menyuruh rakyat dan pekerja-pekerja istana bergotong-royong menghias kota Baghdad demi menyambut Hulagu Khan dan rombongannya.
Di sebalik semua ini, Umayiduddin Muhammad Al-Aqami sebenarnya telah merancang sesuatu bersama Hulagu Khan. Dalam rancangan tersebut, Hulagu Khan mahu Umayiduddin Muhammad Al-Aqami memastikan bahawa rakyat Baghdad menyambut kedatangan tentera Monggol bukan dengan senjata, tetapi dengan bunga-bunga. Dia mahu menakluk kota Baghdad dengan mudah. Umayiduddin Muhammad Al-Aqami bersetuju dan menerima rancangan tersebut. Sambil melihat rakyat Baghdad sibuk menghias kota, beliau tersenyum sinis. Namun tiada sesiapapun yang dapat menafsirkan apa yang tersembunyi di sebalik senyuman itu.
Pada hari Rabu, 18 Januari 1258, tentera Monggol di bawah pimpinan Hulagu Khan menyerang kota Baghdad. Tentera Monggol datang dengan menunggang kuda mereka dengan laju seperti ombak besar yang datang mengganas. Mereka merempuh rakyat Baghdad yang sedang beratur di tepi jalan-jalan dan lorong-lorong di Baghdad dan membunuh mereka. Khalifah Al-Musta’shim Billah mula menyedari bahawa beliau telah ditipu oleh menterinya sendiri. Abu Bakar bersama seorang adiknya dan tiga orang pemuda lain yang merupakan putera kepada Syeikh Muhyiddin (ulama yang mengajar anak-anak khalifah) , berjihad bermati-matian menentang orang Monggol itu. Ramai orang Monggol yang gugur dipanah dan dipancung oleh mereka. Namun akhirnya mereka dibunuh oleh tentera Monggol tersebut selepas diugut meletakkan senjata. Orang Monggol turut membunuh isteri khalifah dan Syeikh Muhyiddin. Mereka turut membunuh semua pemuda lelaki, kaum ibu, orang tua dan kanak-kanak, dan menangkap anak-anak gadis, termasuk puteri-puteri Khalifah Al-Musta’shim Billah, untuk dihantar sebagai tawanan ke Monggol. Sementara anak kecil Khalifah Al-Musta’shim Billah dipelihara untuk dijadikan salah seorang tentera Monggol suatu hari nanti.
Pemandangan di sekitar kota Baghdad amat mengerikan dan menyayat hati. Kota tersebut dipenuhi dengan mayat-mayat bergelimpangan dan dicemari darah. Kaum lelaki, orang-orang tua dan bayi kesemuanya dibunuh. Kaum wanita diperkosa. Kitab-kitab ilmuwan Islam dibakar dan dicampakkan abunya ke dalam Sungai Tigris (Arab-Dajlah), sehingga air sungai tersebut bertukar hitam. Ada kitab yang disusun untuk dijadikan jambatan menyeberangi sungai tersebut, dan ada pula yang dijual kepada pedagang-pedagang Kristian Eropah, yang turut bersubahat dengan orang Monggol. Orang Eropah bertanggungjawab menghasut orang Monggol supaya membenci orang Islam. Oleh itu, penduduk Baghdad yang beragama Kristian dibiarkan hidup. Kebanyakan orang Islam yang masih selamat sedang bersembunyi di dalam bumbung rumah dan kawasan-kawasan tersembunyi yang lain.
Disebabkan adat orang Monggol yang melarang mereka menumpahkan darah raja, maka Khalifah Al-Musta’shim Billah dibunuh dengan cara dipijak dalam gulungan tikar oleh tentera Monggol. Berakhirlah sebuah kerajaan Islam yang telah bertahan selama lebih dari 500 tahun.
Umayiduddin Muhammad Al-Aqami keluar daripada tempat persembunyiannya. Beliau bertemu Hulagu Khan untuk menuntut janjinya kerana Hulagu Khan telah berjanji untuk melantik beliau sebagai khalifah setelah Khalifah Al-Musta’shim Billah digulingkan. Namun Hulagu Khan enggan menunaikan janjinya dan beliau bercadang untuk tidak membunuh Umayiduddin Muhammad Al-Aqami. Pulanglah Umayiduddin Muhammad Al-Aqami ke rumahnya dengan hampa. Setibanya di rumah, beliau terkejut kerana mendapati keluarganya dibunuh. Tidak syak lagi, keluarga beliau telah dibunuh oleh rakyat Baghdad yang menaruh dendam terhadapnya kerana mengkhianati khalifah. Namun beliau masih terselamat kerana dikawal oleh orang-orang Monggol yang diperintahkan oleh Hulagu Khan. Maka hiduplah beliau seorang diri tanpa keluarga dan pangkat kebesaran, dan terus menerus dibenci oleh rakyatnya sendiri.
Itulah akibat dari perbuatan khianat beliau terhadap negaranya sendiri dan kerana terlalu menurut nafsu dendam terhadap khalifahnya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil musuh-Ku dan musuh kamu menjadi teman rapat, dengan cara kamu sampaikan kepada mereka (berita-berita rahsia orang-orang mukmin) dengan sebab hubungan baik dan kasih mesra yang ada di antara kamu dengan mereka, sedang mereka telah kufur ingkar terhadap kebenaran (Islam) yang sampai kepada kamu; mereka pula telah mengeluarkan Rasulullah (s.a.w) dan juga mengeluarkan kamu (dari Tanah Suci Mekah) disebabkan kamu beriman kepada Allah Tuhan kamu. (Janganlah kamu berbuat demikian) jika betul kamu keluar untuk berjihad pada jalanKu dan untuk mencari keredaanKu. (Tidak ada sebarang faedahnya) kamu mengadakan hubungan kasih mesra dengan mereka secara rahsia, sedang Aku amat mengetahui akan apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan. Dan (ingatlah), sesiapa di antara kamu yang melakukan perkara yang demikian, maka sesungguhnya telah sesatlah dia dari jalan yang betul.”
(Al-Mumtahinah: 1)
“Wahai Nabi, berjihadlah melawan orang-orang kafir dan munafiq dan bersikap keraslah terhadap mereka.” (At-Taubah: 73)
Pengajaran daripada kisah ini:
a) Bersikap berkecuali dan adil dalam kepimpinan dengan tidak menyebelahi mana-mana pihak.
Salah satu punca kejatuhan Khalifah Al-Musta’shim Billah ialah kerana beliau mudah dipengaruhi orang bawahannya.
b) Menyelidik betul salah tindakan orang bawahan dan tidak membuat keputusan melulu dan bersikap terburu-buru yang akan menimbulkan dendam di kalangan mereka.
Sikap Khalifah Al-Musta’shim Billah yang percaya Rukunuddin Ad-Daudar menjalankan tugas mematahkan pemberontakan dengan baik tanpa menyiasatnya terlebih dahulu, menimbulkan kemarahan Umayiduddin Al-Aqami yang memegang bukti bahawa tentera Rukunuddin Ad-Daudar telah memperkosa penduduk Kirkuk. Umayiduddin Al-Aqami akhirnya menyimpan dendam terhadap khalifah.
c) Tidak mempercayai musuh-musuh Islam dan tidak bekerjasama langsung dengan mereka.
Perbuatan Umayiduddin mempercayai janji-janji manis Hulagu Khan akhirnya memakan diri sendiri. Akhirnya, Hulagu Khan tidak menunaikan janji tersebut dan Umayiduddin Al-Aqami berada dalam kerugian yang nyata.
d) Semangat jihad dan tidak berputus asa meskipun musuh lebih kuat, atau meskipun negara seperti telur berada di hujung tanduk.
Semangat ini ditunjukkan oleh anak-anak Syeikh Muhyiddin dan putera khalifah Abu Bakar ketika orang Monggol menceroboh istana khalifah.
e) Percaya kepada kebolehan diri dan tidak hanya percaya kepada khabar angin sahaja. Rukunuddin Ad-Daudar langsung tidak gentar meskipun tersebar kata-kata yang memberitahu bahawa orang Monggol tidak pernah dikalahkan.
f) Membuat perancangan terbaik dan realistik sebelum melakukan sesuatu.
Rukunuddin Ad-Daudar tidak merancang taktiknya dengan baik. Ini kerana selepas mereka melarikan diri ke Mesir, tidak ada langsung tentera pelapis yang mempertahankan Baghdad. Akibatnya, Baghdad diserang dengan mudah oleh tentera Monggol. Beliau sepatutnya membahagikan tenteranya kepada dua; satu untuk memerangi orang Monggol dan satu lagi untuk mempertahankan Baghdad.
Sunday, 27 December 2009
Umayiduddin Al-Aqami Dan Tersungkurnya Abbasiyyah
Posted by amn077 at 00:46
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment