BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 14 December 2009

Kenapa ada remaja tidak percaya Tuhan?

KEADAAN zaman yang kini semakin gawat dan keliru ternyata telah memberi kesan yang amat serius kepada akidah anak-anak remaja kita. Kalau dahulu kita dikejutkan dengan gejala menghina agama dan al-Quran oleh pengikut-pengikut black metal, kini muncul pula gejala baru, iaitu ateis (tidak percaya pada kewujudan Tuhan).
Pengerusi Sahabat Insan dan Iman Malaysia (SIDIM), Hanafi Malek ketika mendedahkan perkara itu berkata, masalah ini perlu dipandang serius kerana jumlah remaja Islam yang mula tidak percaya atau sangsi dengan kewujudan Allah, kini semakin membimbangkan.

Sejak terlibat membantu remaja-remaja bermasalah kira-kira 10 tahun lalu, beliau sudah menemui lebih daripada 100 orang remaja yang terlibat dengan fahaman tersebut.
Katanya, sepanjang empat tahun SIDIM ditubuhkan, beliau telah berjumpa dengan lebih kurang 60 remaja yang berfahaman demikian.
"Bukan itu saja, mereka turut mempermain dan meremeh-remehkan kewujudan serta kekuasaan Tuhan.

"Itu ketika bersama SIDIM, tetapi kalau dicampur dengan pengalaman saya sebelum itu ketika masih bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, jumlahnya lebih daripada seratus orang," tegas Hanafi.
Beliau memberitahu, kebanyakan remaja ini berasal daripada keluarga kaya, berjaya dan tinggal di bandar. Sebahagian lagi daripada keluarga yang terlalu miskin.
Dari segi umur pula, ujar Hanafi, kebanyakan mereka berusia sekitar 14 hingga 25 tahun, iaitu golongan yang masih tercari-cari identiti hidup.
Berdasarkan pengalamannya itu, Hanafi menjelaskan, terdapat beberapa faktor mengapa remaja terbabit memilih untuk menjadi seorang ateis.

Antaranya, latar belakang keluarga yang porak-peranda seperti ibu bapa bercerai, keluarga yang kaya tetapi mengabaikan anak-anak, pengaruh rakan, mengagungkan cara hidup barat, kurang didikan agama dan sejarah silam.
"Remaja-remaja ini kebanyakannya tertekan dengan masalah hidup. Antara yang saya temui ialah mangsa cabul oleh ahli keluarga sendiri," kata beliau.
Akibat tertekan dengan masalah itu, remaja ini mula tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Kata remaja ini, kalau Tuhan wujud, kenapa Tuhan membenarkan dirinya dicabul dan ahli keluarganya tadi tidak ditangkap dan dihukum?
"Ada juga mat rempit yang berkata, kalau Tuhan wujud, kenapa dia tidak ditangkap? Kenapa dia menang perlumbaan? Kenapa kawannya mati pada malam Jumaat?
"Malah ada yang mengatakan, kalau Allah Maha Berkuasa kenapa ada orang susah. Kenapa Allah tidak beri semua manusia kaya?" kata Hanafi.

Bagaimanapun, jelasnya, paling membimbangkan ialah anak muda yang asalnya berpendidikan agama serta penuntut Institusi Pengajian Tinggi.
"Saya pernah menemui seorang remaja berpendidikan agama yang mengalami kejutan budaya dan kemudian terlibat dengan gejala maksiat. Remaja ini berkata, kalau Tuhan ada dan Maha Pengampun, kenapa Dia menciptakan syaitan dan neraka?
"Bila berlaku peperangan di Palestin dan Iraq, ramai orang Islam terbunuh. Selepas peristiwa itu, pelajar ini kata, kalau Allah berkuasa pasti diselamatkan umat Islam dan dihapuskan kaum kafir.
"Sejak itu, pelajar ini terus menafikan kewujudan Tuhan dan menjadi ateis," kata Hanafi.

Anak muda penuntut IPT pula terikut-ikut dengan fahaman itu selepas membuat pemerhatian ilmu secara logik akal dan tidak diseiringkan dengan pendekatan Islamiah.
Justeru untuk berhujah dengan remaja dan anak muda ini, logik akal amat diperlukan kerana mereka sememangnya telah menolak al-Quran.
"Saya bagi contoh ceritakan kepada mereka tentang tiupan bayu laut. Pastinya hembusan bayu itu akan membuatkan seseorang itu terasa dingin, sejuk dan nyaman, sedangkan angin itu kita tidak nampak.

"Begitu juga dengan Tuhan. Manusia tidak nampak tapi tahu akan kewujudan-Nya kerana percaya setiap benda di dunia ini pasti ada penciptanya.
"Secara keseluruhannya, bagi saya, punca utama gejala ini ialah iman tidak kental dan tidak mengamalkan Islam yang sebenarnya," tegas Hanafi.
Lantaran itu, Hanafi meminta pihak keluarga, kerajaan dan NGO bersama-sama menggembleng tenaga menangani gejala ini sebelum ia menjadi bertambah parah.
Di atas adalah petikan daripada siasatan eksklusif majalah Al Islam, keluaran Disember 2009, mengenai gejala ateis.

Selain artikel tadi, majalah tersebut turut menyiarkan rencana-rencana lain sebagai iringan, antaranya mengenai pengakuan remaja-remaja ateis, latar belakang fahaman itu dan bagaimana untuk berhujah dengan mereka.
Rencana lain yang menarik dan perlu dibaca antaranya, kisah pahlawan Aceh yang diseksa sehingga buta, imam yang dibenci makmum, masalah tatu di badan dan isu Wahabi.

0 comments: