IBADAT solat menghubungkan manusia dengan Tuhannya dan juga saudara seagama. - Gambar hiasan
Pengawalan aturan ditetapkan Allah patut dibuat menyeluruh bukan ikut bahagian tertentu
SECARA etimologi, syariah bererti aturan atau ketetapan yang Allah perintahkan kepada hamba-Nya. Secara terminologi pula, syariah bermaksud penerapan seluruh aspek kehidupan, sesuai ajaran Islam yang berkait dengan masalah ibadat umum dan khusus yang dinisbahkan kepada sumber hukum Islam.
Mahmud Syaltut mendefinisikan syariah sebagai aturan yang ditetapkan Allah, supaya manusia mengadaptasi aturan itu untuk mengatur hubungan dirinya dengan Tuhannya dan hubungan dirinya dengan saudaranya yang Muslim dan saudara kemanusiaannya (bukan Islam) serta hubungan dirinya dengan alam semesta dan kehidupan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Untuk tiap-tiap umat di antara kamu, Kami berikan aturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat saja, tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu." (Surah Al-Maidah, ayat 48)
Rasulullah pernah diriwayatkan sebagai bersabda yang bermaksud: "Umat aku selalu berada di atas syariah, selama di tengah-tengah mereka belum nampak tiga perkara iaitu selama ilmu belum dicabut daripada mereka, selama di tengah-tengah mereka belum banyak anak zina serta belum nampak di tengah-tengah mereka 'al shaqqaruun."
Sahabat pun bertanya: "Ya Rasulullah, apa 'al shaqqaruun' itu?" Rasulullah menjawab: "Manusia yang ada di akhir zaman yang mana ucapan antara mereka adalah saling melaknat antara satu sama lain."
Yusof al-Qaradhawi pula menegaskan ada enam ciri syariah Islam iaitu:
• Robbaniyah (ketuhanan) - oleh kerana ia bersifat 'ketuhanan' maka seseorang Muslim tidak mempunyai alasan untuk menolak syariah kerana seorang Muslim mesti meyakini hukum syariah yang paling adil dan sempurna.
• Insaniyah (kemanusiaan) - syariah mengangkat martabat manusia serta memeliharanya. Ia dicipta untuk manusia dan sesuai dengan kapasiti manusia itu sendiri tanpa mengira ras, warna kulit atau status.
• Syumuliah (komprehensif) - syariah Islam mengatur seluruh kehidupan manusia dan tidak secara terpilih dalam bidang tertentu saja.
• Akhlaqiah (peribadi mulia) - akhlak dan moral menjadi benteng kepada keindahan syariah Islam kerana tujuan Rasulullah SAW diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia;
• Waqiyyah (realistik) - syariah Islam adalah benar dan realistik, tidak ketinggalan zaman, memacu kejayaan dan praktikal; dan
• Tanasuq (keteraturan) - sifat saling lengkap melengkapi dalam syariah menjadikannya suatu sistem atau tanzim yang terbaik kerana ia tidak bertentangan antara satu sama lain.
Oleh demikian, syariah adalah satu cara hidup bagi umat Islam dan ia tidak hanya perlu diamalkan mengikut bahagian tertentu saja.
Menelusuri kepada sejarah pula, kita akan mendapati penjajahan terhadap masyarakat Islam memberi kesan besar dengan meminggirkan sistem kehakiman dan undang-undang syariah yang mana bidang kuasa syariah ini dihadkan kepada undang-undang diri dan beberapa aspek kecil saja.
Syariah tidak mempunyai peranan dalam kebanyakan aspek lain.
Pembebasan daripada penjajahan pula tidak secara automatik membebaskan umat Islam daripada belenggu penjajahan itu sendiri kerana benih-benih penjajahan sudah bersemadi dalam jiwa umat Islam sepanjang penjajahan.
Malah sudah tidak asing lagi dalam dunia Islam kita akan mendapati orang Islam sendiri menentang sebarang usaha mengarusperdanakan syariah. Walaupun sejak berpuluh tahun lalu memang wujud gerakan mengarusperdanakan syariah di tempat sepatutnya, usaha itu masih belum menampakkan kejayaannya lagi.
Hakikatnya, umat Islam lebih suka ditadbir di bawah undang-undang syariah berbanding undang-undang asing yang dikenakan terhadap mereka.
Syariah tidak wajar diharmonikan dengan undang-undang lain tetapi undang-undang lain itulah yang perlu diasimilasikan dengan syariah supaya tidak tergelincir daripada landasan syariah.
Tiada pilihan bagi umat Islam untuk memilih jalan selain daripada Islam kerana umat Islam tidak teruja dengan kehebatan kemampuan akal fikiran manusia. Ini disebabkan betapa hebat pun kemampuan akal fikiran manusia, ia masih lagi di bawah taklukan dan kawalan Yang Maha Esa.
Begitu juga kebejatan akhlak, sahsiah diri dan tatasusila dalam masyarakat adalah hasil pengasingan agama daripada kehidupan seharian. Jika benarlah nilai hidup Barat itu yang terbaik kenapa masyarakat Barat sendiri seolah-olah tercari-cari arah tujuan dan penanda aras bagi masyarakat mereka?
Walaupun begitu, bukanlah saya mengatakan semua yang datang dari Barat itu tidak baik. Memang tidak dinafikan ada kebaikan dalam sesuatu masyarakat itu tetapi kita perlu pandai mengutip yang baik, membezakan antara kaca dan permata supaya tidak menghakis jati diri umat Islam sendiri.
Dalam hal demikian, sebenarnya segenap usaha perlu digembleng untuk mengarusperdanakan syariah, bukan sekadar mengharmonikan syariah saja. Kita perlu menjadikan syariah sebagai teras kehidupan dan bukan sebagai alternatif kepada sistem yang ada di depan kita masa ini. Penulis adalah Peguam bela/Peguam cara dan Peguam syarie dan boleh dihubungi melalui email di zainul.rijal@abubakar.my
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
zainul.rijal@abubakar.my
Monday, 14 December 2009
Syariah wajar dijadikan teras kehidupan
Posted by amn077 at 11:02
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment