BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, 3 April 2010

DIA Lebih Mengerti

Syukur Alhamdulillah akhirnya diberi kekuatan untuk aku berkongsi cerita dalam ruangan ini.
Aku bukan seorang yang mudah berkongsi masalah, justeru pada ku alam maya adalah cara yang baik untuk meluahkan apa yang terpendam semoga dapat dijadikan panduan dalam mencari cinta-NYA.
Segalanya bermula sewaktu aku dipilih menjadi ketua kolej kediaman.Jawatan, adalah antara perkara yang aku tak suka. Pada aku jawatan adalah amanah yang perlu dijaga dengan baik, dan ianya menuntut pengorbanan masa yang bukan sedikit. Aku merasakan ianya terlalu berat untuk ku.

Sedih sebab perletakan jawatan ku ditolak mentah-mentah, apatah lagi bila pemilihan dibuat berdasarkan undian rakan-rakan. Undian yang aku perolehi jauh lebih tinggi berbanding dengan rakan yang menawarkan diri untuk jawatan tersebut.
Aku menghabiskan masa selama seminggu, membuat rayuan agar perletakan jawatan ku diterima dan aku digantikan dengan rakan yang telah menawarkan diri. Namun segala-galanyan sia-sia. Akhirnya aku dengan berat hati terpaksa menerima jawatan berkenaan.

Aku sentiasa mengingatkan dan memujuk diri agar menjalankan segala tugas dengan penuh tanggungjawab kerana itu adalah amanah dan kepercayaan rakan-rakan, pensyarah dan warga kolej ku.
Perkara yang sama turut terjadi kepada pihak bro, yang mana beliau juga dipilih dan terpaksa merelakan diri untuk memegang jawatan berkenaan.
Disebabkan jawatan, kami banyak bekerjasama. Dan itulah permulaan segalanya, kerana sebelumnya aku memang tidak mengenali beliau. Disebabkan kami selalu bertemu dan berbincang keakraban mula terjalin, aku sedar akan risiko yang mungkin terjadi.
Aku berusaha untuk mengawal hati dan perasaan, kerana matlamat ku nak dapatkan degree dan berbakti untuk agama dan bangsa.
Tidak akan terjalin sebarang hubungan perasaan sebelum terlafaznya akad juga menjadi pegangan ku.

Aku dikelilingi dengan rakan-rakan yang majority bercouple, keadaan ini menjadikan aku lebih berhati-hati.
Sedih dan malu apabila melihat saudara seagama berpimpin tangan tanpa sebarang ikatan yang sah.
Apa yang aku mampu buat hanyalah berdoa moga diberikan hidayah buat mereka, lemahnya iman.

Kadangkala aku berusaha mencegah dengan lidah, namun jawapan-jawapan yang sering aku terima menjadikan aku lebih senang mencegah dengan hati.
Keakraban aku dan bro menjadi perbualan, namun aku lebih senang untuk tidak ambil kisah, mulut manusia semua nak dicerita. Pada aku yang penting aku terus menjaga batasan dalam pergaulan, Alhamdulillah bro juga faham apa yang terjadi.
Sepanjang kami bekerjasama segalanya berjalan dengan baik. Setelah tamat tempoh jawatan, aku berasa sungguh gembira setinggi-tinggi kesyukuran aku panjatkan buat yang Esa.

Namun apa yang aku harapkan, jauh menyimpang, aku diberi jawatan lain. Apa yang berlaku sewaktu aku di tahun satu kembali berulang.
Bro turut memegang jawatan dan kami terus bekerjasama. Sepanjang tempoh pengajian kami memegang pelbagai jawatan yang banyak menuntut untuk kami bekerjasama. Tanpa sedar perasaan yang cuba aku jauhi datang juga menyinggah hati.
Sungguh aku sedikit tertekan kerana aku tahu andai aku melayani perasaan tersebut ianya akan membawa aku menghampiri zina dan menghancurkan pegangan ku untuk tidak terlibat dengan sebarang hubungan sebelum akad.

Doa ku andai dia adalah yang terbaik buat ku, untuk agama ku dan seluruh kehidupan ku, mohon ku dipermudahkan oleh-NYA yang ku yakini Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hamba-NYA.
Segalanya aku pendamkan sendiri, aku turut menyedari perubahan bro. Namun pada ku apa yang terbaik adalah mengawal keadaan untuk tidak membenarkan sebarang pintu yang mungkin mendorong kami menjalin sebarang hubungan.
Bro pernah bagi hint padaku, tapi aku tidak pernah memberi jawapan. Aku tahu andai aku beri jawapan bermakna aku membuka jalan.
Walhal keadaan tidak memungkinkan kami menjalin hubungan yang lebih daripada seorang sahabat secara sah.
Padanya aku maklumkan tentang pandangan dan pegangan ku tentang hubungan antara muslimin dan muslimah.
Aku mahu salam perhubungan dari bro yang membina hubungan dengan matlamat untuk mengejar cinta-NYA.

Bro tidak bersetuju bila aku memaklumkan, sebelum akad keluarga aku adalah keutamaan. Dan andai aku punya pilihan sekiranya keluarga ku menentang aku akan menuruti kehendak keluarga ku.
Bro seorang yang popular di kalangan sis, dan aku menyedari ada pihak yang kurang senang dengan keakraban kami.

Aku hanya memakai tudung segi dan tidak terlibat dengan usrah kampus. Dan perkara tersebut seringkali ditegur oleh bro, bro selalu memaklumkan yang dia mahukan seorang sis yang bertudung labuh dan aktif dengan aktiviti kerohanian.
Sementara aku lebih senang terlibat dengan insan-insan yang berusaha menegakkan syiar-NYA di luar kampus.
Segalanya padaku cukupla hanya aku, Allah dan rakan-rakan seperjuangan yang tahu. Sehinggalah pada suatu malam aku menghadiri liqa’, dan liqa’ pada malam tersebut berakhir agak lewat berbanding malam-malam sebelumnya.
Aku berjalan sendiri pulang ke kolej kediaman, aku tahu risikonya. Namun aku tidak punya pilihan, aku sedar ada mata yang memandang namun aku lebih senang untuk tidak mengetahui siapa mereka. Aku sedar aku perlu bersedia untuk menerima sebarang sindiran.

Aku redha andai keseorangan ku pada malam itu disalah tafsir.
Sudah menjadi lumrah di kolej kediaman ku, apabila ada sis yang lewat pulang ke kolej pasti ada mulut yang akan berbicara membuat andaian.
Kerana keindahan malam seringkali dicemari oleh pasangan yang berkasih-kasihan, dan itu adalah punca utama yang menyebabkan seorang sis selalunya balik lewat ke kolej.
Keesokannya, sewaktu terserempak dengan bro di kafe dengan sinisnya bro menyapaku, “sibuknya semalam dah la lewat balik, sorang-sorang pulak tu”, aku hanya mampu tersenyum.
Tidak mungkin bagi ku memaklumkan apa sebenarnya yang berlaku, lantaran penglibatan dan aktivitiku tidak pernah diketahuinya.
Sewaktu semester akhir, aku dapat tahu bro dah jatuh hati dengan seorang sis yang agak popular dalam aktiviti kerohanian kampus dan yang pasti sis berkenaan bertudung labuh.

Segalanya berubah, apabila ada mesyuarat dan aktiviti kolej bro seringkali sibuk melayan handphone. Tidak seperti sebelumnya, bro yang baru jatuh hati ini padaku cukup berubah.
Segala tanggungjawabnya tidak lagi dilaksanakan dengan jayanya seperti sebelumnya, aku cuba berlapis dalam memberi teguran itupun atas desakan rakan-rakan yang sudah bengang dengan sikap bro yang tidak lagi melaksanakan tugasnya dengan baik. Rakan-rakan bro pernah menegurnya namun tidak berhasil.
Aku berusaha mengumpul kekuatan dan cuba mengingatkan bro tentang tanggungjawabnya dan hukum couple, namun teguran ku disalah tafsir. Sudanya, hubungan kami agak tegang.
Aku hanya mampu berdoa, andai sebelumnya bro lantang menegur pasangan-pasangan yang jalan berduaan, tetapi kini bro lah yang melakukannya. Aku hanya mampu berdoa, agar dititipkan kesedaran dalam hati mereka.

Tingkah bro menyebabkan ramai rakan yang memulangkan ‘paku buah keras, kepadanya’, malah ada yang memberi mereka julukan ‘belangkas islamik’.
Setelah tamat pengajian, semua membawa haluan masing-masing.
Suatu hari sewaktu memeriksa emel, tiba-tiba bro muncul meminta aku menambahnya dalam list YM ku.
Sejak itu, kami sering bersembang tentang rakan-rakan dan kerjaya. Namun ku kira bro agak mudah bercerita tentang apa yang dilaluinya. Kadangkala aku agak terganggu dengan cerita-ceritanya.

Justeru aku memilih untuk menambah batasan yang sedia ada antara aku dan dia.
Kerana ku kira itulah yang terbaik………untuknya aku sentiasa doakan yang terbaik, moga dipermudahkan segala urusannya…..
cerita kita adalah kenangan dan panduan, untuk aku meneruskan perjuangan di bumi Allah ini….
terima kasih atas segala memori lalu, Alhamdulillah hati ku kini semakin yakin bahawa hubungan selepas akad adalah yang terbaik……

www.iluvislam.com

0 comments: