بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Segala puji bagi ALLAH tuhan sekelian alam, selawat dan salam ke atas Nabi kita Muhammad SAW
dan ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda kesemuanya.
Artikel kali ini hanyalah sekadar peringatan mengenai puasa untuk kita bersedia menyambut Ramadhan Al-Mubarak. Manatahu mungkin diantara kita selalu sibuk dan terlalai dengan amalan fardhu yang tibanya hanya setahun sekali. Maka kita imbas dan tenung adakah puasa kita memenuhi kefadhuannya. Walaupun risalah ini simple seperti buku fardhu ain tahun 2, namun ia mungkin berguna buat kita mengingati kembali cara berpuasa yang betul dan perkara-perkara yang membatalkan. Jangan lah selalu kita mengambil mudah perkara yang kita anggap mudah menyebabkan hasilnya kurang sempurna.
Contoh mudah kenapa soalan matematik yang setakat operasi tambah tolak sering terdapat kesalahan? Adakah kita tidak tahu menambah dan menolak? Bukan sebenarnya kan? Kesalahan terjadi kerana kelalaian dan kecuaian kerana kita anggap matematik operasi tambah dan tolak ini mudah hingga kita ambil enteng sahaja. Begitu juga puasa, menurut amalan kita, puasa itu hanya sekadar menahan diri dari makan dan minum dan kita sudah mula diajar berpuasa sejak dari umur 6 tahun. Dan adakah kita masih ingat apa yang diajar ketika usia 6 tahun itu? Maka marilah kita sama-sama membaca tazkirah ini untuk memperbaiki lagi ibadah puasa kita.
Ini adalah sebuah risalah puasa yang menerangkan hukum-hakamnya, kategori manusia padanya dan perkara-perkara yang membatalkannya serta faedah-faedah lain secara ringkas.
1. Takrif puasa ialah: Ibadah kerana Allah SWT dengan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkannya bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.
2. Puasa di bulan Ramadan ialah satu rukun Islam yang agung berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
“Islam itu terbina di atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Allah SWT dan Muhammad itu utusan Allah SWT, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji dan puasa di bulan Ramadan ”. [1]
KATEGORI MANUSIA DI DALAM PUASA
1. Puasa wajib bagi setiap Muslim yang baligh, berakal, mampu untuk melaksanakannya serta bermukim (tidak bermusafir).
2. Orang bukan Islam tidak wajib berpuasa dan tidak wajib menqadak sekiranya mereka memeluk Islam.
3. Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib berpuasa, akan tetapi digalakkan supaya mereka terbiasa dengannya.
4. Orang gila tidak wajib puasa dan tiada kafarah (memberi makan kepada seorang miskin setiap hari yang ditinggalkan) bagi mereka walaupun ia dewasa. Begitu juga hukum orang kurang akal yang tidak mumaiyiz dan yang seumpamanya.
5. Orang yang tidak mampu untuk berpuasa kerana faktor-faktor yang berterusan seperti terlalu tua dan sakit yang tiada harapan untuk sembuh. Mereka dibenarkan berbuka dan perlu membayar kafarah.
6. Orang berpenyakit kritikal yang mempunyai harapan untuk sembuh dibenarkan berbuka sekiranya puasa membebankan mereka dan wajib qadak selepas sembuh.
7. Orang yang hamil atau menyusukan anak. Sekiranya membebankan mereka disebabkan hamil atau menyusu atau takut memudaratkan anak mereka, dibenarkan berbuka dan wajib mereka menqadaknya apabila hilang beban serta takut kemudaratan tersebut.
8. Orang yang datang haid atau nifas haram mengerjakan puasa ketika haid dan nifas, akan tetapi wajib qadak setiap hari yang ditinggalkannya.
9. Orang yang terpaksa berbuka kerana untuk menyelamatkannya daripada lemas atau terbakar. Dibenarkan berbuka untuk tujuan tersebut kemudian wajib mereka menqadak puasa tersebut.
10. Orang yang bermusafir sekiranya mereka ingin puasa, mereka berpuasa dan sekiranya ingin berbuka, mereka berbuka tetapi wajib menqadaknya. Sama ada perjalanan itu jarang-jarang seperti umrah atau perjalanan yang berterusan seperti pemandu kereta sewa (teksi atau bas) maka dibenarkan untuk mereka berbuka sekiranya mereka ingin berbuka selagi mana mereka berada di luar daerah mereka.
PERKARA YANG TIDAK MEMBATALKAN PUASA
• Tidak membatalkan puasa sekiranya seseorang itu mengambil perkara-perkara yang membatalkan puasa dalam keadaan lupa atau jahil atau dipaksa berdasarkan firman Allah SWT (yang bermaksud):
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengambil kira jika kami terlupa atau tersalah” [2]
“Kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatinya tenang tenteram dengan iman;” [3]
“Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (dikira berdosa itu) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya ”. [4]
• Maka sekiranya seseorang yang berpuasa itu makan atau minum dalam keadaan lupa, puasanya tidak dikira batal kerana dia terlupa.
• Walaupun dia makan atau minum kerana menyangka bahawa matahari telah terbenam atau fajar belum terbit, maka puasanya tidak dikira batal kerana dia jahil (tidak mengetahui).
• Walaupun dia berkumur-kumur lalu termasuk air tersebut ke dalam halkum dengan tidak disengajakan. Ianya tidak membatalkan puasa kerana dia tidak sengaja melakukannya.
• Walaupun dia ‘bermimpi basah’ (mimpi berjimak yang menyebabkan keluar air mani) ketika ia tidur. Tidak membatalkan puasa kerana tiada ikhtiar baginya.
8 PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA:
1. Berjimak: Sekiranya dilakukan di siang hari puasa, maka wajib qadak serta kafarah yang berat iaitu; membebaskan seorang hamba, sekiranya tidak didapati hamba untuk dibebaskan maka puasa 2 bulan berturut-turut, sekiranya tidak mampu maka memberi makan 60 orang miskin.
2. Mengeluarkan air mani secara sedar: Dengan istimna’ (mengeluarkan mani dengan tangan atau seumpamanya) atau mukadimah kepada jimak atau ciuman atau pelukan atau seumpamanya.
3. Makan dan minum: Sama ada bermanfaat atau pun memudaratkan seperti rokok.
4. Suntikan air berzat: Yang memadai seseorang mengambilnya daripada makanan, kerana ianya dikira sebagai makanan dan minuman. Ada pun suntikan selain daripada air berzat tidak membatalkan puasa, sama ada disuntik pada otot-otot atau pun pada urat saraf, sama ada ianya terasa di halkum atau pun tidak.
5. Suntikan darah: Seperti berlaku terhadap orang yang berpuasa kehilangan darah disebabkan kemalangan atau seumpamanya lalu disuntik dengan darah untuk menggantikan darah yang hilang.
6. Keluar darah haid atau nifas.
7. Mengeluarkan darah dengan berbekam dan seumpamanya. Ada pun keluar darah dengan sendiri seperti pendarahan hidung atau keluar darah disebabkan mencabut gigi atau seumpamanya tidak membatalkan puasa kerana tidak dikira sebagai bekam. [5]
8. Muntah dengan sengaja. Sekiranya muntah dengan tidak sengaja, tidak membatalkan puasa.
FAEDAH-FAEDAH LAIN
1. Harus bagi orang yang puasa niat dalam keadaan berjunub kemudian ia mandi selepas terbit fajar.
2. Harus bagi orang yang puasa mencabut gigi, mengubati luka, menitiskan ubat titisan ke dalam mata atau telinga. Ianya tidak membatalkan puasa walaupun dirasakan titisan tersebut pada halkum.
3. Harus bagi orang yang puasa bersugi pada awal dan akhir siang hari Ramadan. Ianya adalah sunnah baginya sebagaimana sunnah bagi orang yang tidak puasa.
4. Harus bagi orang yang puasa melakukan perkara yang mengurangkan rasa kepanasan dan kehausan seperti menyejukkan badan dengan air atau penghawa dingin.
5. Harus bagi orang yang puasa diberi bantuan pernafasan (sama ada dengan bekalan oksigen atau sebagainya) pada mulut untuk melegakan nafas yang tersesak disebabkan tekanan atau selainnya.
6. Harus bagi orang yang puasa membasahi bibir dengan air apabila kekeringan atau berkumur-kumur apabila mulut kekeringan tanpa memasukkan air ke dalam kerongkong.
7. Disunatkan orang yang puasa agar melewatkan sahur sebelum hampir waktu fajar. Mempercepatkan berbuka apabila terbenam matahari. Berbuka dengan ruthab (kurma segar), sekiranya tiada maka dengan tamar (kurma kering), sekiranya tiada maka berbukalah dengan air, sekiranya tiada maka dengan makanan yang halal sekiranya tiada makanan untuk di makan, maka hendaklah niat berbuka sehinggalah diperoleh makanan.
8. Disunatkan kepada orang yang puasa supaya memperbanyakkan segala ketaatan dan menghindarkan segala yang dilarang.
9. Wajib menunaikan puasa di bulan Ramadan bagi perempuan apabila suci daripada haid atau nifas sebelum terbit fajar, walaupun tidak mandi wajib melainkan selepas terbit fajar.
10. Wajib kepada orang yang puasa memelihara segala kewajipan serta menjauhkan diri daripada segala perkara yang haram. Maka hendaklah solat fardu pada waktunya serta dilakukan secara berjemaah, sekiranya dia dari kalangan orang yang sentiasa berjemaah. Hendaklah meninggalkan percakapan dusta, mengumpat, menipu, perniagaan secara riba dan segala perkataan atau perbuatan yang haram. Nabi SAW bersabda (mafhumnya):
“Barang siapa tidak meninggalkan percakapan bohong dan batil serta beramal dengannya maka tiadalah Allah SWT berhajat untuk dia meninggalkan makan dan minumnya ”. [6]
Wallahu'alam
Sumber Rujukan
[1] Hadis riwayat Bukhari. Kitab: Iman. Bab: Islam itu terbina di atas 5 perkara. Hadis no: 7.
[2] Surah al-Baqarah: 286
[3] Surah al-Nahl: 106
[4] Surah al-Ahzab: 5
[5] Ada juga pendapat yang mengatakan berbekam tidak membatalkan puasa kerana Rasulullah SAW pernah berbekam sedangkan baginda berpuasa - rujuk Sahih al-Bukhari.
[6] Hadis riwayat Imam Bukhari. Kitab: Puasa. Bab: Barang siapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan batil. Hadis no: 1770.
Saturday, 3 April 2010
Risalah Puasa
Posted by amn077 at 08:13
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment