Bising desing peluru tidak mematahkan semangat pahlawan-pahlawan muda itu. Tangan mereka kumal menggenggam batu-batuan yang dikutip dari pecahan rumah dan bangunan di sekeliling. Laungan sokongan daripada ibu menyebabkan dada mereka, berkobar-kobar dengan semangat juang yang kental yakni, untuk memusnahkan Israel yang direjam bagi memperolehi semula Al-Aqsa dan bumi suci Palestin.
”Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar,” kalimah Allah Maha Besar meniti di bibir mungil yang pecah merekah itu. Sungguhpun suhu kini menjangkau 39 darjah selsius, kepanasan itu tidak menjadi penghalang untuk remaja-remaja palestin ini terus menerjah tentera-tentera berbaju hijau yang lengkap bersenapang hatta mereka hanya bersenjatakan seketul batu. Di belakang segerombolan askar tersebut mengekori megah kereta kebal laknatullah, sedia memuntahkan peluru yang mampu sahaja memamah tubuh nanar si anak kerdil.
Tiba-tiba, satu dentuman kuat kedengaran. ”Argh!!!”, terdengar suara Shafie mengerang kesakitan disusuli dengan lafaz Lailahaillah. Hamzah, Khalid, Uthman dan Mussab mengelilingi tubuh Shafie yang kini terketar-ketar menahan kesakitan yang maha pedih. Namun, tidak tertitis satu embun air mata tanda kesakitan yang teramat. Lidahnya setia melafaz kalimah tiada tuhan selain Allah. Aku kagum.
Mussab yang lebih besar daripada mereka memapah Shafie ke kenderaan ambulans yang sedia menunggu pejuang-pejuang Pasletin ini, tidak mengira umur mahupun jantina. Mana yang cedera segera dibawa ke hospital berdekatan. Shafie dimasukkan ke dalam kenderaan bewarna putih itu dan berlalu pergi. Manakala rakan-rakannya yang lain berkumpul, merangka strategi dan saling nasihat-menasihati agar lebih berhati-hati dengan peluru tentera Israel yang tidak bermata. Hamzah mengintai-intai dari tempat persembunyian, ternyata terkesan dengan tragedi yang menimpa sahabatnya sebentar tadi.
Namun dari air mukanya, tidak terpancar resah gelisah bahkan seakan-akan lebih bersemangat dengan tangannya menggenggam erat seketul batu . Perjuangan mesti diteruskan!
Aku menyeka keringat di bawah jumud mentari yang leleh. Kanak-kanak ini sememangnya mengagumkan aku. Tangan ku seakan-akan terkaku untuk terus memetik kameraku apabila melihatkan semangat anak-anak ini. Hatiku berdetik, ”mampukah anak-anak merdeka di Malaysia bertahan dengan keadaan sebegini kiranya Malaysia diancam penjajah seperti dahulu?”. Geleng kepala, tidak sanggup aku fikirkan bagaimana. Aku terus memerhatikan tingkah berani mujahid-mujahid muda ini. Pengalamanku selama 5 tahun menetap di Bumi Anbiya ini membolehkan aku memahami bahasa mereka. Mata ku ligat memerhati manakala jariku sedia beraksi.
Kelam malam pekat diiringi bayu yang berbaur hanyir dengan darah para pejuang Palestin. Mata terasa benar mahu lelap namun minda dan mata ku masih tertancap pada komputer ribaku. Gambar-gambar yang telah aku tangkap siang tadi benar-benar memberi kesan yang amat mendalam ke dalam sanubariku. Dalam diam, dadaku berombak kencang apabila aku sempat merakamkan peristiwa di mana sekumpulan remaja palestin tadi menyerang segerombolan tentera israel yang durjana itu. Sampai satu ketika, mereka sudah sangat hampir dengan kumpulan tentera ini. Hamzah seakan-akan singa yang menggila. Dengan penuh kekuatan, dia telah menyerang seorang tentera yang kian menghampiri tempat persembunyiannya. Dengan nama Allah yang jelas kedengaran, dijatuhkan tentera itu yang tampak jelas terkejut. Di pukul kepada tentera itu dengan seketul batu besar maka, pengsanlah tentera tersebut. Melihat keadaan tentera itu, Hamzah terus merampas senapangnya lalu dibedil ke arah tentera lain yang semakin dekat. Tidak ku sangka remaja ini sangat berani sedangkan aku ....
Hasil daripada keberaniannya itu, dia telah membunuh 2 orang tentera Israel. Jelas kepuasan bertandang dalam dirinya. Tiba-tiba, dari arah atas sebelah Barat Daya, terdengar satu dentuman kuat tepat ke arah Hamzah disusuli dengan tembakan dari tentera Israel yang lain. Rakan-rakannya sempat menyembunyikan diri. Suasana senyap ketika.
Dari tempat persembunyianku, kelihatan sekujur tubuh yang kaku tidak bernafas. Ya, tentera Israel yang menyerang dari bahagian atas bangunan telah berjaya mengebom Hamzah. Tubuhnya berkecai dengan kepalanya pecah. Aku terbungkam, namun tugas harus diteruskan. Jariku pantas memetik punat kamera ku walaupun rasa loya kian terasa. Dari arah hadapan, datang beberapa tentera Israel dengan lagak sombong dan puas lalu memeriksa keadaan mayat Hamzah. Sememangnya aku tidak dapat menerima sifat binatang tentera itu. Tubuh yang separuh lunyai itu ditendang-tendang, dicucuk dengan hujung muncung senapang dan ditembak berkali-kali. Hancur. Tubuhnya hancur, yang kelihatan cuma tulang-temulang putih masih basah dengan darah seorang syahidullah. Dapat aku rasakan mataku basah dengan air mata. Oh Hamzah, aku yakin kini rohmu bersama dengan syahidullah yang lain. Aku mencemburuimu. Engkau seakan-akan Hamzah Asadullah R.A...
Dalam kepekatan malam ini, aku sudah nekad. Sungguhpun aku anak warisan merdeka yang bukan dari bumi yang penuh barakah ini, aku nekad untuk membantu memerangi tentera yang sememangnya jelas musuh Islam. Aku sedar, aku telah lahir dari rumpun negara bangsa yang terbilang. Negara yang telah merdeka, bukan Tanah Melayu yang dijajah Jepun mahupun British. Keadaan hidup yang harmoni dan aman membuat aku leka dengan erti kemerdekaan. Kehidupanku di bumi gersang ini sememangnya membawa 1001 pengajaran dan iktibar. Ya, aku telah beredia. Segala maklumat yang aku perlu hantar pada rakan sejawatku yang menanti di Malaysia telah aku siapkan dan usai di e-mailkan. Tugas ku sebagai seorang wartawan telah selesai. Namun, selaku saudara seislam kepada ribuan umat islam di palestin masih bergantung di awangan. Masih belum terlaksana.
Azan subuh dinihari itu, menggelodakkan lagi iltizamku. Solatku yang berjemaah dengan para pejuang Palestin menguatkan lagi keputusan ku. Keesokan harinya, aku masih setia menanti di tempat persembunyianku. namun kali ini, tidak bersama kamera kesayanganku tetapi ditemani batu-batu yang setia di genggaman tangan kanan dan kiriku. Aku nekad, aku akan turut sama berjuang menemani setiap langkahan, setiap balingan remaja dan pejuang-pejuang Pasletin ini. Tidak jauh daripadaku, masih kelihatan Mussab, Khalid dan Uthman bersembunyi sambil menggenggam batu di tangan.
Api perjuangan membara di mata mereka. Kematian dua sahabat mereka menjadi batu loncatan kepada mereka untuk turut sama merasa kemanisan syahid. Tatkala ,terdengar laungan Allahuakbar dari pejuang lain yang kian bertambah di daerah gersang ini, aku bersama dengan bakal syahidullah dan muhajidullah menerpa keluar. Tentera berbaju hijau yang laknat itu berhujankan batu. Dengan suara gemuruh dan tangan-tangan berkepal, kami menyerang tentera-tentera dan terus menyerang. Ya, akulah anak warisan merdeka. Namun kini, kamilah anak Palestin yang impikan kemerdekaan. Merdeka daripada kehidupan duniawi, mengimpikan kehidupan abadi di ukhrawi, mengidamkan syurga sebagai pejuang yang syahid di jalan Illahi. Kamilah, anak merdeka! Allahuakbar!!!
Al-fatihah buat pejuang-pejuang Palestin..
Karya asal oleh : Ainun Nasibah bt Johar PPISMP PSV Taman Sempadan
Saturday, 12 June 2010
ANAK MERDEKA
Posted by amn077 at 20:25
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment