BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, 15 June 2010

Tragedi 31 Mei bakar semangat jihad

Noorazman Shamsuddin mendakap anak bongsunya, Nur Nuha Sakinah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sekembali dari Jordan selepas melalui pengalaman hampir syahid dalam kapal Mavi Marmara, baru-baru ini.

PEMERGIAN suami, Noorazman Shamsuddin yang mengetuai misi Life Line for Gaza (LL4G) direlakan oleh Mazlinah Ghazali.

Malah Pensyarah Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu bangga kerana suaminya, terpilih menjadi Salahuddin Al Ayyubi 'kecil' untuk membebaskan Palestin, bumi suci umat Islam daripada cengkaman jahat Israel.

Namun, sebagaimana isteri yang lain, Mazlinah turut terharu apabila suaminya juga berdoa dan berharap supaya syahid kerana mati menentang musuh-musuh Allah.

"Sebagaimana Ali Heyder yang akhirnya mati syahid itu, suami saya juga berkata harapan yang sama. Jika ditakdirkan Allah ajalnya sampai dalam menjayakan misi ini, beliau reda. Malah mengharapkan agar matinya kelak adalah mati syahid.

"Walaupun kesemua peserta misi tidaklah sehebat pahlawan Islam Salahuddin Al Ayyubi yang berjaya membebaskan Kota Palestin suatu masa dahulu, tetapi Noorazman juga seperti Salahuddin. Beliau mempunyai keazaman yang sangat kuat dan kental untuk memecahkan sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap Gaza.

"Kalau dek kerana ini, beliau akhirnya mati, Noorazman sanggup! Jika itu telah menjadi harapannya, sebagai isteri saya tidak menghalang malah mendoakan yang terbaik buat Noorazman dan saya tidak berkisah untuk bergelar apa pun jika ditakdirkan begitu," katanya.

Ini kerana Mazlinah teringat kisah seorang balu seorang pejuang Palestin yang dikenali sebagai Izzuddin dalam kejadian hampir lapan tahun lalu.

"Pada suatu pagi Ummu Muhammad dikatakan dapat melihat perkataan syahid tertulis pada dahi suaminya yang sedang bersiap-siap keluar rumah bagi meneruskan tentangan terhadap rejim zionis.

"Beliau mula merasa cuak tetapi tidak berkata-kata malah yakin suaminya tetap akan selamat, tetapi sejurus suami keluar menuju ke kereta di luar pangsapuri kediaman mereka, Immu Muhammad tiba-tiba dikunjungi jiran-jiran yang mengetuk pintu rumahnya bertalu-talu.

"Apa yang kamu dah buat sehingga seluruh pangsapuri ini begitu harum semerbak, sangat wangi baunya yang tidak pernah kami bau sebegini wangi sebelum ini, sebaik sahaja kami melihat suami kamu keluar dari pintu rumah kamu ini," tanya si jiran.

Ummu Muhammad tidak mempunyai jawapan terhadap soalan jirannya itu kecuali hatinya semakin berdebar-debar malah yakin sesuatu akan berlaku terhadap suaminya.

Benarlah selang tidak beberapa minit selepas itu, suaminya mati syahid bersama-sama dengan kereta yang meletup semasa enjinnya dihidupkan.

Sebagaimana berkecainya kereta itu begitu jugalah keadaan suaminya tetapi Ummu Muhammad sangat tabah malah terus mengambil wuduk dan solat jenazah terhadap pemergian tragis suaminya itu.

"Bau wangi itu semakin semerbak dan tahulah kini oleh Ummu Muhammad bahawa suaminya telah dipanggil oleh Allah dan sekali gus terus menghuni syurga.

"Kisah-kisah benar seperti inilah yang menjadi motivasi kuat kepada para isteri apabila suaminya keluar berjihad di jalan Allah. Bahawa janji Allah adalah benar bahawa syurga adalah ganjaran besar yang menanti bagi mereka yang berjuang di fisabilillah," kata Mazlinah.

Walaupun suaminya kini selamat pulang ke tanah air selepas menempuh kejadian yang sangat mengejutkan dunia itu, sebagai isteri Mazlinah terus menjadi penyokong kuat kepada suaminya.

Manakan tidak, katanya, Noorazman mula berasa sakit-sakit pada badannya akibat teruk didera oleh komando laut Israel itu.

Bayangkan selama berjam-jam sementara kapal Mavi Marmara ditunda ke Pelabuhan Ashdod di Wilayah Israel, tangannya diikat ke belakang dengan keadaan duduk seperti bersujud tetapi hanya beberapa jarak sahaja dahi dari lantai.

"Baru sekarang Noorazman terasa sakit tetapi semua ini tidak menyebabkan beliau trauma. Namun semangatnya tetap pada tahap yang tinggi dan tetap berazam untuk ke sana lagi.

"Malah kini beliau mendapat lebih banyak sokongan untuk terus memecahkan sekatan yang langsung tidak berperi kemanusiaan terhadap penduduk Gaza itu," tambahnya.

Menurut Mazlinah walaupun suaminya tidak dapat menyaksikannya sendiri, namun seperti yang diceritakan oleh seorang anggota misi yang sama Dr. Arbaie Syawal dari Haluan Palestin menguatkan lagi semangat dan keazaman Noorazman.

"Kepakaran Dr. Arbaie diperlukan di saat-saat ramai sukarelawan dari Turki ditembak oleh komando Israel itu. Walaupun tidak dapat menyelamatkan nyawa mereka kerana kebanyakannya mati sejurus ditembak namun ketika menguruskan jenazah-jenazah mereka, suasana begitu diselubungi bau harum yang sangat semerbak.

"Semakin banyak darah yang membuak dan mengalir dari luka para syuhada itu semakin kuat bau yang keluar.

"Tetapi sejurus menghembuskan nafas terakhir ada wajah mangsa tersebut bertukar menjadi senyum seolah-olah mereka nampak sesuatu yang sangat menggembirakan mereka sebelum meninggal," katanya.

Sebagaimana suaminya yang tetap berkobar-kobar semangatnya itu begitu jugalah Mazlina tidak akan pernah menghalang suaminya jika mahu ke wilayah yang menjanjikan pintu-pintu syurga yang terbuka luas itu.

0 comments: