Soalan
APAKAH yang dimaksudkan sebagai awal agama mengenal Allah? Bagaimana dapat saya mengenal Allah SWT dengan lebih dekat lagi?
Jawapan
Soalan yang jarang orang berterus terang mengenainya. Saya yakin krisis tidak mengenal Allah SWT adalah suatu yang telah melarat setengah kita. Ramai yang mendakwa hidup dia bertuhankan Allah SWT, tapi bila tanya kenalkah dia kepada Allah, pasti akan membisu bukti tiada apa untuk dijelaskan. Sekali gus memperlihatkan kebanyakan kita hanya pandai menyebut beriman kepada Allah, percaya dan yakin kepada Allah dan sebagainya tapi hasilnya tidak begitu.
Lalu, manusia masih tercari-cari kaedah untuk mengenal Allah SWT. Maka pelbagai buku berkaitan dengan akidah dibaca, kuliah-kuliah mengenai akidah juga dihadiri, namun iman dan kepercayaan serta keakraban dengan Allah masih di takuk lama. Puncanya, kita membaca buku tauhid atau akidah tapi kita tidak menggunakannya sebagai wasilah untuk mengenal Allah SWT. Contohnya, dalam buku-buku akidah disebut bahawa wujudnya alam ini adalah bukti wujudnya pencipta.
Apa yang pasti ialah selain Allah SWT adalah alam. Manusia adalah termasuk dalam alam, bukit gunung, hujan, sungai laut, bintang-bintang serta serangga serta yang selainnya yang bergelar makhluk adalah termasuk dalam alam. Alam ini sangat hampir dengan manusia, sering manusia menggunakannya bagi memenuhi keperluan hidup, tetapi malangnya jarang sekali manusia berfikir akan kurniaan tersebut.
Soalan, berapa ramai di antara kita yang apabila melihat titisan air hujan yang membasahi bumi dapat merasakan kehebatan Allah yang menurunkan hujan dari langit. Hasilnya, sebagai seorang yang waras bukan air hujan yang dilihat malahan kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dirasainya. Firman Allah SWT yang bermaksud: (Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (al-Rum: 30)
Dalam ayat ini Allah SWT mengulangi kalimah fitrah sebanyak dua kali dengan membawa maksud agama yang suci dan manusia dijadikan dengan satu naluri dan keinginan yang cenderung kepada agama yang benar. Ringkasnya, naluri manusia perlu dijodohkan dengan mengenal Allah SWT bagi memenuhi keinginan fitrah bagi mengelak berlakunya kesesatan.
Ketika belajar di Jordan saya pernah menghadapi persoalan mengenal Allah lalu saya ajukan kepada pensyarah yang mengajar subjek akidah, iaitu Profesor Dr. Abdul Rahman Qahtan al-Duriy, pengarang kitab Usuluddin Islamiy yang dijadikan silibus pada ketika itu. Saya tanya: "Sudah berapa kitab akidah saya baca dan pelajari tapi masih gagal mengenal Allah SWT, kenapa Dr.?"
Beliau menjawab: "Apa kamu belajar dan saya ajar adalah kaedah bagi membolehkan kamu sampai kepada pemahaman akidah yang betul. Jika kamu ingin mengenal Allah SWT bacalah al-Quran terutamanya ayat-ayat kauniyyat (kejadian alam) pasti kamu akan merasakan kehebatan Allah, sekali gus membawa kamu mengenal Allah SWT dengan lebih dekat lagi."
Mulai hari itu saya berusaha membaca dan memahami ayat-ayat kauniyyat, hasilnya rebah saya di hadapan kehebatan dan keakraban Allah dengan hamba-hamba-Nya. Di situ jugalah saya mula merasakan kemanisan iman. Pesan yang sama ingin saya sarankan kepada saudara, bacalah al-Quran perhatikan kehebatan Allah SWT, lihat bagaimana Allah SWT mengajak manusia berfikir, supaya akal yang waras digunakan bagi mengenal Allah SWT. Akhirnya barulah kita sedar bahawa Allah SWT tidak jauh daripada kita cuma kita yang menjauhkan diri daripada-Nya.
Contoh yang lain, firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi golongan yang berakal. (Ali Imran: 190)
Dalam ayat ini Allah SWT mahukan setiap orang yang berakal berfikir dengan menggunakan pancaindera yang paling berharga iaitu otaknya bagi mencapai natijah yang waras, bukan lagi jawapan yang tidak berasas. Bumi menjadi tempat kita berpijak, manakala langit dijunjung, siang dan malam silih berganti bagi perhitungan masa, hari, bulan dan tahun, bukan sekadar itu wahai manusia hendaknya harus berfikir dengan teliti. Bila manusia mendongak ke langit dilihat bulan dan bintang, bila melihat bumi melihat, gunung ganang dan pokok kayu, sungai dan lautan serta bermacam-macam lagi semua ini membahasakan kepada manusia akan ciptaan Allah SWT yang tiada perkongsian dengan-Nya.
Kesimpulannya, fitrah manusia pasti menyedari adanya tuhan yang satu yang mengatur dan mentadbir akan alam semesta ini, ditambah pula dengan adanya al-Quran, hadis-hadis Rasulullah SAW dan penjelasan para ulama mengenai mengenal dan menghampirkan diri kepada Allah SWT.
Sunday, 27 June 2010
Ayat-ayat kauniyyat bukti kehebatan Allah
Posted by amn077 at 17:36
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment