Insya-Allah, pada hari ini sebuah lagi buku hasil tulisan saya kan berada di Pesta Buku KL. Buku Di mana DIA di hatiku ini saya tulis hasil dorongan yang sangat kuat daripada Kak Wan, seorang editor di Alaf 21 Karangkraf. Saya kagum dengan kemesraan, kegigihan dan iltizamnya.
Akhirnya, saya bersetuju untuk menulis… Dan ikutilah petikan bab terakhir daripada buku ini:
Di mana DIA di hatiku?
…. semasa Rasulullah s.a.w dan Sayidina Abu Bakar bersembunyi di gua Thaur, dalam perjalanan untuk hijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka…
Ketika Sayidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w menenangkannya dengan berkata, “jangan takut, Allah bersama kita.” Itulah kehebatan Rasulullah, Allah sentiasa di hatinya.
Sewaktu Da’thur seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah saw lalu meletakkan pedang ke leher nabi Muhammad saw dan bertanya, “siapa akan menyelamatkan kamu daripada ku?”
Rasulullah saw dengan yakin menjawab, “Allah.” Mendengar jawapan itu gementarlah Da’thur dan pedang pun terlepas daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah saw… ada DIA di hati baginda.
Diceritakan bahawa suatu ketika khalifah Umar Al Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di tengah sebuah padang pasir.
“Boleh kau jualkan kepada ku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?” tanyanya kepada budak tersebut.
“Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja.”
“Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini, jika kau jualkan seekor kepada ku dan kau katakan kepada tuan mu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuan mu tidak akan mengetahuinya,” desak Sayidina Umar lagi sengaja menguji.
“Kalau begitu di mana Allah?” kata budak itu. Sayidina Umar terdiam dan kagum dengan keimanan yang tinggi di dalam hati budak itu. Walaupun hanya seorang gembala kambing yakni pekerja bawahan, tetapi dengan kejujuran dan keimanannya dia punya kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jelas ada DIA di hatinya.
Satu ketika yang lain, Sayidina Khalid Al Walid diturunkan daripada pangkatnya sebagai seorang jeneral menjadi seorang askar biasa oleh khalifah Umar. Esoknya, Sayidina Khalid ke luar ke medan perang dengan semangat yang sama. Tidak terjejas perasaan dan semangat jihadnya walaupun telah diturunkan pangkat. Ketika ditanya mengapa, Sayidina Khalid menjawab, “aku berjuang bukan kerana Umar.” Ya, Sayidina Khalid berjuang kerana Allah. Ada DIA di hatinya.
Melihat enekdot-enekdot agung itu, aku terkesima lalu bertanya pada diri ku sendiri, di manakah DIA dalam hati ku? Apakah Allah sentiasa menjadi pergantungan harapan dan tempat merujuk dan membujuk hati ku yang rawan? Allah ciptakan manusia hanya dengan satu hati. Di sanalah sewajarnya cinta Allah bersemi. Jika cinta Allah yang bersinar, sirnalah segala cinta yang lain. Tetapi jika sebaliknya cinta selain-Nya yang ada di situ, maka cinta Allah akan terpinggir . Ketika itu tiada DIA di hati ku!
Sering diri ku berbicara sendiri, bersendikan sedikit ilmu dan didikan daripada guru-guru dalam hidup ku, kata mereka (dan aku sangat yakin dengan kata itu), “ bila Allah ada di hati mu, kau seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki. ”
Kata-kata itu sangat menghantui diriku. Ia menyebabkan aku berfikir, merenung dan bermenung, apakah Allah menjadi tumpuan dalam hidup ku? Apakah yang aku fikir, rasa, lakukan dan laksanakan sentiasa merujuk kepada-Nya? Bila bertembung antara kehendak-Nya dengan kehendak ku, kehendak siapa aku dahulukan? Sanggupkah aku menyayangi hanya kerananya? Tegakah aku membenci juga kerananya?
Muhasabah ini melebar lagi… Lalu aku tanyakan pada diri, bagaimana sikapku terhadap hukum-hakam Mu? Sudahkah aku melawan hawa nafsu untuk patuh dan melakukan segala yang wajib sekalipun perit dan sakit ketika melaksanakannya? Sudahkah aku meninggalkan segala yang haram walaupun kelihatan indah dan seronok ketika ingin melakukannya?
Soalan-soalan ini sesungguhnya telah menimbulkan lebih banyak persoalan. Bukan akal yang menjawabnya, tetapi rasa hati yang amat dalam. Aku tidak dapat mendustai Mu ya Allah. Dan aku juga tidak dapat mendustai diri ku sendiri. Aku teringat bagaimana satu ketika seorang sufi diajukan orang dengan satu soalan, “apakah engkau takutkan Allah?”
Dia menangis dan menjawab, “aku serba salah untuk menjawab ya atau tidak. Jika aku katakan tidak, aku akan menjadi seorang yang kufur. Sebaliknya kalau aku katakan ya, aku terasa menjadi seorang munafik. Sikap ku amat berbeza dengan kata-kata. Orang yang takutkan Allah bergetar hatinya bila mendengar ayat-ayat Allah tetapi aku tidak…” Maksudnya, sufi itu sendiri tidak dapat menjawab apakah ada DIA di hatinya…
Jika seorang sufi yang hatinya begitu hampir dengan Allah pun sukar bila ditanyakan apakah ada dia di hatinya, lebih-lebih aku yang hina dan berdosa ini. Di hati ku masih ada dua cinta yang bergolak dan berbolak-balik. Antara cinta Allah dan cinta dunia sedang berperang dengan begitu hebat dan dahsyat sekali.
Kalau kau tanyakan aku, “adakah DIA di hati mu?”, aku hanya mampu menjawab, “aku seorang insan yang sedang bermujahadah agar ada DIA di hati ku. Aku belum sampai ke tahap mencintai-Nya tetapi aku yakin aku telah memulakan langkah untuk mencintai-Nya…”
Justeru belum ada DIA di hati ku, hidup ku belum bahagia, belum tenang dan belum sejahtera. Aku akan terus mencari dengan langkah mujahadah ini. Aku yakin Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Selangkah aku mendekat, seribu langkah DIA merapat. Begitu seperti yang selalu ku dengar daripada sebuah hadis Qudsi yang panjang.
Dan akhirnya aku tiba pada satu keyakinan, di mana DIA di hati ku bukan menagih satu jawapan… tetapi satu perjuangan dan pengorbanan. Insya-Allah, aku yakin pada suatu masa nanti akan ada DIA di hatiku dan di hatimu jua! Insya-Allah. Amin. Dan kita akan terus mengemis kasih…
MENGEMIS KASIH MU
Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku di lorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi kian parah
Semalam sudah sampai ke penghujungnya
Kisah seribu duka kuharap sudah berlalu
Tak ingin lagi ku ulangi kembali
Gerak Dosa yang menghiris hati
Tuhan dosaku menggunung tinggi
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi
Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku
(Sajak yang ditulis sejak lama. Kini telah pun diangkat menjadi sebuah nasyid).
Pahrol Muhammad Juoi
Sunday, 11 July 2010
Di mana DIA di hatiku?
Posted by amn077 at 09:10
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment