BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 26 July 2010

SEKADAR NOTA FIKIR…

Saya tidak menyangka sama sekali, perbualan di tepi dinding Masjid Imam Ghazali, Bandar Menjalara, seusai solat Zuhur tengahari itu telah melahirkan buku NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR. Permintaan daripada dua orang sahabat yang sangat saya hormati (Akhi Zakaria Sungib dan Wan Mohd Azmin dari Galeri Ilmu), sukar benar untuk ditolak.
Mereka minta saya menulis “sesuatu” untu Pesta Buku KL. Padahal sewaktu itu, saya sedang menyiapkan buku MUKMIN PROFESIONAL – CELIK MATA HATI – sebuah buku yang serius dan “berat”.

Namun, saya berjanji juga akhirnya. Dan sebagai menunaikannya, saya menulis dua fasa… siang untuk sebuah buku. malam untuk sebuah buku yang lain dan selepas Subuh satu buku yang lain. Walaupun saya tidak mahu dikejar waktu, ingin santai dan tenang-tenang sahaja. Namun saya memecut juga, dan akhirnya syukur… di pesta buku kali ini akan terbit dua buah buku saya (alhamdulillah dimaklumkan Nota Fikir untuk Zikir sudah mula di pasaran sejak semalam 22 hb. March 2010) .

Selain Nota Fikir, buku Di mana DIA di hatimu, akan turut menyusul (mungkin pada hari-hari terakhir Pesta Buku nanti). Terpulang pada penyusunan Allah, saya berusaha dengan tenaga yang kerdil… tetapi Allah Maha Kaya untuk membalas amal hamba-Nya, lebih daripada kadar amalan yang dibuat. Paling penting, saya ingin mengintakan diri dan juga sahabat-sahabat… jagalah hati, jagalah mazmumah yang menerjah dan melintas. Jangan biarkan dia singgah, jikapun singgah…. jangan biar ia berlama-lama. Bukan mudah “mengaplikasikan” hati dan diri pada prinsip – “aku menulis bukan kerna nama!”
Prinsip saya mudah, dan ini saya ingin kongsikan bersama pengunjung blog yang dihormati… mujahadahlah sentiasa. Mudah-mudahan, dengan mengingati diri sendiri, melimpah kebaikannya untuk mengingatkan orang lain. Jiwa dan personaliti seorang daie sesungguhnya jauh berbeza daripada seorang selebriti!
Justeru, dari saya terimalah mukaddimah Nota Fikir untuk Zikir. Ya.. sekadar Nota Fikir.

MUKADIMAH: NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR
Seorang budak menangis ketika melihat unggun api terbakar. Bila khalifah Harun Ar Rasyid bertanya, “mengapa dia menangis?” Budak itu menjawab, “aku takutkan api neraka.” Khalifah yang adil itu memujuk, “anak kecil seperti mu tidak akan dimasukkan ke dalam api neraka.” Sebaliknya budak itu menjawab, “aku lihat ketika orang menyalakan api, mereka akan memasukkan ranting-ranting kecil dahulu. Setelah ranting kecil terbakar, barulah dimasukkan kayu-kayu yang besar. Aku takut hal yang sama berlaku di neraka kelak…Aku umpama kayu kecil itukah?” Mendengar jawapan itu, khalifah turut menangis…

Seorang murid duduk termenung di tepi laut, guru sufinya bertanya, “ada sesuatu yang kau fikirkan apabila melihat laut?” Dalam hati guru sufi itu mengharapkan jawapan yang mendalam daripada muridnya hasil pengajarannya selama ini. Murid itu merenung gurunya lantas berkata, “ya, wahai tuan guru. Ketika laut bergelombang seperti ini tentu harga ikan menjadi mahal!” Guru sufi menggeleng-gelengkan kepala. Rupa-rupanya sebatas itu sahaja jangkauan fikir anak muridnya.

Dua kisah itu saya paparkan sebagai bahan renungkan buat mengukur kemampuan fikir dan zikir seseorang. Dalam kisah yang pertama, jelas budak kecil itu mampu melonjak fikirnya hingga mencecah zikir yang hebat. Sebaliknya, dalam cerita kedua, fikir murid tersebut amat kerdil. Dia hanya mampu melihat di sebalik yang tersurat ada yang lebih tersurat. Dia tidak “celik hati” untuk sesuatu yang \lebih tersirat dan hakikat!

Melihat dunia dan kejadian, akalnya dapat memacu hatinya untuk “melihat” alam yang lebih luas dan hebat – alam akhirat. Terasa betapa kerdilnya manusia dibandingkan Allah yang Maha pencipta. Lalu tunduk patuh kerana takutkan seksa neraka. Inilah tuntutan ayat Al Quran yang berikut: “Mereka yang sentiasa berzikir (ingat) kepada Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): ‘Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada azab neraka.’” (Surah Ali ‘Imran 3: 191)

Zikir yang dimaksudkan ialah membaca secara sedar, memahami dan mengambil iktibar (mengikut Imam Ghazali membaca dengan akal dan hati) secara langsung daripada ayat-ayat “maqru’ah” (al-Quran). Manakala fikir ialah melihat, merenung dan meneliti mesej ayat “manzurah” (alam dan segala ciptaan Allah). Diberitakan ketika surah Ali ‘Imran 191 itu diturunkan, Rasulullah saw telah menangis. Ketika Sayidina Bilal bertanya, “mengapa kau menangis ya Rasulullah?” Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya. “celakalah wahai Bilal mereka yang membaca ayat ini tetapi tidak memikirkan makna dan tuntutannya.”

Lihat alam, langit, bumi, matahari, bulan, bintang, haiwan, tumbuhan dan akhirnya diri sendiri… akan mendekatkan kita kepada Allah swt. Berfikir tentang keunikan, keteraturan, ketelitian, kejituan, kelestarian dan segala yang “sempurna” tentang makhluk akan menyebabkan hati kita mampu “melihat” khalik (Pencipta). Ketika itulah hati akan berzikir, “alam ini indah, namun Penciptanya jauh lebih indah. Alam ini sempurna, Allah tentu dan pasti lebih sempurna.”
Saya teringat ungkapan yang berbunyi: “Why deny the second creation, when the firt creation is here for you to see? – Mengapa menafikan ciptaan kali kedua (akhirat) ketika penciptaan yang pertama (dunia) berada di depan mata untuk dilihat?”
Memandang dunia ini sepatutnya mengingatkan kita kepada akhirat. Allah mencipta dunia ini untuk apa? Dari mana kita datang, untuk apa kita dijadikan dan ke mana kita akan pergi selepas kehidupan ini? Inilah tunjang fikir dan pasak zikir kita bila melihat dan merenung penciptaan alam.

Pof. Dr. Hamka, pujangga dan ulama Nusantara pernah berkata: “Hujung akal pangkal agama.” Maksudnya, kemuncak fikir yang paling tinggi akan menemukan seorang manusia kepada nilai asas dan teras agama – tauhid. Alam ini adalah “alamat” yakni tanda ujudnya Allah. Bukan sahaja ujud tetapi Allah itu Maha Perkasa, Agung dan Sempurna. Bahkan saintis bukan Islam, Albert Enstien juga pernah menegaskan kepentingan agama dengan katanya: “Agama tanpa sains pincang. Sains tanpa agama buta.”

Ya, zikir tanpa fikir akan menghasilkan individu yang beku, kaku dan mundur walaupun mungkin baik dari segi tingkahlaku. Manakala fikir tanpa zikir akan membentuk manusia yang aktif, dinamik tetapi merosakkan dirinya dan orang lain dengan pelbagai kemungkaran dan kejahatan. Inilah mesej utama buku NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR ini.
Ia ditulis dengan pendekatan mudah tetapi bukan untuk dipermudah-mudahkan. Pada cerita dulu-dulu, ada jejak iktibar yang perlu disusuri semula. Mungkin cerita-cerita rakyat yang saya paparkan itu tidak benar (kerana tidak autentik sumbernya) tetapi jika diberi nilai tarbiah (berasaskan agama), ibrah (pengajaran) tetap benar. Yang penting bukan apa yang dilihat, tetapi bagaimana kita melihatnya.

Dan bagaimana kita melihat sesuatu, bergantung pada siapa diri kita. Justeru, pada bahagian kedua saya paparkan pengajaran daripada alam untuk kita mengatur dan mengurus kehidupan ini. Sekali lagi, saya memilih gaya santai dan “simple” untuk mengocak fikir dan zikir pembaca. Harapan saya, semoga langkah kecil ini menjadi pemangkin kepada langkah yang lebih gah untuk memantapkan fikir dan zikir ummah.
Dan akhirnya, saya memilih beberapa ungkapan untuk dijadikan tindakan hasil kita berfikir dan berzikir. Kata-kata hendaklah dikota. Biarlah hikmah berbicara di dada kehidupan justeru fikir dan zikir apabila bersatu dan bersepadu, akan muncullah makrufat, kebaikan dan kebajikan pada diri dan masyarakat. Fikir dan zikir itu ada buahnya – ilmu dari fikir itu buahnya amal, iman dari zikir itu bukan hanya angan-angan dan harapan!
Mudah-mudahan buku kecil ini benar-benar menjadi nota fikir untuk zikir anda mengingati Allah. Insya-Allah.

Pahrol Muhammad Juoi

0 comments: