Kembali kita kepada penubuhan Liga Bangsa-bangsa yang diumum di Paris pada tahun 1919. Antara tokoh yang berada dalam konferensi perdamaian 1919 itu adalah Emir Faisal yang mengetuai delegasi Arab ke Versailles, Paris.
Emir Faisal
Baik, siapa Emir Faisal ini? Beliau adalah anak kepada Hussein bin Ali , Sharif Mekah. Ayahnya menjadi Sharif Mekah sejak zaman Turki Uthmaniyyah dan menjadi Raja Hijjaz setelah Pemberontakan Arab 1917-1918 menentang khilafah atas niat beliau ingin menjadi khalifah Islam, bersekutu dengan British demi cita-citanya membina empayar Dinasti Bani Hashim di Semenanjung Arab .
Turki Uthmaniyyah yang bersekutu dengan Jerman dalam Kuasa Pusat telah cuba menghalang pemberontakan Sharif Hussein ini, walaubagaimanapun Sharif Hussein berjaya menguasai kawasan Hijjaz termasuk mengekalkan pemerintahan Mekah-Madinah dari tahun 1916 hingga tahun 1924 dengan bantuan British dan Perancis serta menggelar dirinya Khalifah bagi umat Islam.
Ketika pemberontakan 1916-1917 itu Emir Faisal membantu ayahnya untuk menentang Turki Uthmaniyyah bekerjasama dengan agan British di Mesir, T.E Lawrence. Sesuai dengan Perang Dunia Pertama yang berlangsung ketika itu, pihak Sharif Hussein bersama pihak bersekutu, dan Turki Uthmaniyyah bersama kuasa pusat. Setelah kekalahan Turki Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, Emir Faisal tidak kurang mendapat untung bersama ayahnya. Banyak wilayah-wilayah takluk Turki Uthmaniyyah diserah kepada mandat-mandat British.
Beliau menjadi wakil Arab membuat perjanjian dengan Presiden Israel pertama dan juga ketua organisasi Zionis sedunia Chaim Weizmann yang dikenali sebagai Perjanjian Faisal-Weizmann 1919 yang dijalankan di Paris bersekali dengan Perjanjian Perdamaian Paris 1919. Apa yang menarik adalah kisah setelah itu ketika ketumbukan Wahabi-Ibn Saud berlangsung pada 1924. British tidak lagi menyokong membantu Sharif Hussein dan membiarkan pihak Ibn Saud yang menentang Sharif Hussein untuk mendapatkan wilayah Hijjaz dan Mekah-Madinah. Anaknya, Emir Faisal masih menjadi raja di Syria dan kemudiannya Iraq sehingga beliau meninggal dunia pada 1933.
Ketika Paris Peace Conference 1919. Tiga dari kanan, T. E. Lawrence
Sebelum pergi lebih jauh, mari kita ketahui perihal Ibn Saud dan usaha penaklukan beliau.
Ketumbukan tentera Ibn Saud dianggap kuat setelah kerjasama dengan Sheikh Muhammad Ibn Abd Wahab sehingga dapat memerintah wilayah Diriyyah di Riyadh dari tahun 1744-1818 yang juga dikenali Arab Saudi pertama. Empayar Turki Uthmaniyyah walaubagaimanapun cuba mengambil kembali wilayah itu untuk bernaung di bawah Turki Uthmaniyyah dengan menghantar Muhammad Ali Pasha. Pada 1818, Ibn Saud telah kalah kepada Muhammad Ali Pasha.
Walaubagaimanapun Ibn Saud cuba membina kekuatan kembali dan cuba mendapatkan wilayah Riyadh tersebut pada 1824 apabila berperang dengan Bani Ar-Rashid yang merupakan sekutu Empayar Turki Uthmaniyyah. Dari tahun 1824 itu iaitu zaman Arab Saudi kedua, Ibn Saud terus merangka perancangan untuk berkuasa di wilayah arab dengan tema tajdid ke arah pemurnian Islam bersama kelompok wahabi. Kemuncaknya adalah peperangan dengan Bani Hashim pimpinan Sharif Hussein yang dikisahkan tadi pada tahun 1924.
Walaupun banyak kelompok kabilah yang ingin menguasai wilayah Arab, ternyata setelah kejayaan Bani Hashim dengan bersama pihak bersekutu pada era Perang Dunia Pertama mengalahkan Khilafah Turki Uthmaniyyah, keturunan Saudi dianggap lebih berjaya pasca Perang Dunia Pertama itu.
Ketumbukan tentera Ibn Saud yang digelar "Ikhwan" itu telah berjaya melebar penguasaan wilayah mereka sehingga pada tahun 1932 tertubuhlah dengan rasminya Kerajaan Arab Saudi Ketiga yang diiktiraf oleh British (ertinya British tidak akan mengganggu kedaulatan wilayah Ibn Saud), sementara banyak tanah Arab lain masih di bawah mandat British. Apa yang lebih menarik, 6 tahun selepas itu tahun 1938, simpanan minyak dijumpai di Arab Saudi oleh penasihat kepada Ibn Saud iaitu Jack Philby (nama islamnya Sheikh Abdullah). Beliaulah yang membawa syarikat Rockefeller, Standard Oil for California (SOCAL) dan Texaco menguasai pasaran minyak Arab Saudi seterusnya membentuk Arabian-American Oil Company (ARAMCO).
Baik, siapa Jack Philby ini? Inilah manusia yang menjadi antara yang berpengaruh membentuk peta semenanjung tanah Arab hari ini. Pada awal kariernya menjadi agen British di tanah Arab beliau memegang beberapa kepimpinan dalam institusi negara-negara mandat British pasca Perang Dunia Pertama. Sebelum itu, beliau antara yang merancang untuk menjayakan Kerajaan Persekutuan Arab di bawah misi Pemberontakan Arab menentang Khilafah Turki Uthmaniyyah yang akan mengangkat Sharif Hussein sebagai ketua negara-negara Arab bersatu yang meliputi kawasan dari Syria hingga ke Yaman.
Di dalam misi itu, beliau bekerjasama dengan T.E Lawrence sebagai perancang perang membantu Sharif Hussein dan anaknya, Emir Faisal.
Pada 1917, Philby dihantar kepada Ibn Saud sebagai wakil British untuk perundingan. Dalam masa yang sama, Philby lebih cenderung pada Ibn Saud untuk memerintah semenanjung Tanah Arab setelah wilayah-wilayah Turki Uthmaniyyah dilepaskan selepas Perang Dunia Pertama itu.
Pada 1918, apabila berlakunya Perjanjian British-Perancis yang membahagi-bahagikan tanah Arab untuk dijadikan wilayah mereka dan pembentukan Deklarasi Balfour mewujudkan negara Israel, Philby merasakan misi membentuk semenanjung arab bersatu telah dicurangi. 1920, Philby menjadi menteri keselamatan dalam negeri di Iraq pasca revolusi Iraq sewaktu itu. Setahun setelah itu 1921, Philby dilantik menjadi Ketua unit rahsia British di Mandat Palestin.
1922, Philby ke London dan bertemu semua pemimpin penting barat yang sedang mengoperasi wilayah Arab termasuk Winston Churchill, King George, Prince of Wales, Baron Rothschild, Wickham Steed, dan Chaim Weizmann, ketua pergerakan Zionis sedunia. Atas sebab berbeza dengan polisi British yang pro-Bani Hasim sedangkan Philny pro-Ibn Saud, Philby diarahkan berhenti dari semua jawatannya oleh British pada 1924. Namun kemudian, Ibn Saud memanggil Philby menjadi penasihat beliau untuk membantu beliau menguasai semenanjung Arab yang masih sebahagian besar berada di bawah mandat British.
1925, Philby berunding dengan pihak British sebagai wakil Ibn Saud, yang kemudiannya membawa kepada pengiktirafan British kepada kedaulatan wilayah Ibn Saud dan sokongan British mula beralih dari pro-Bani Hashim kepada pro-Ibn Saud.
1930, Philby memeluk Islam dan menggunakan nama Sheikh Abdullah. Pada 1931, Philby menjemput Charles R. Crane, warga Amerika untuk meneroka simpanan minyak di Arab Saudi yang bakal ditubuhkan setahun selepas itu 1932 secara rasmi. Pada 1933, setahun setelah Arab Saudi ditubuhkan, syarikat Rockefeller berurusan dengan Philby untuk menguasai minyak di sana melalui SOCAL dan Texaco lalu terbentuklah ARAMCO 1936.
Sehingga tahun 1973, kerajaan Arab Saudi hanya memegang 25% saham ARAMCO membuatkan syarikat itu menjadi aset Amerika paling bernilai dan penjana keuntungan Rockefeller yang terbesar. Hanya pada tahun 1980, barulah ARAMCO dikuasai sepenuhnya oleh Arab Saudi dan menukar namanya menjadi Saudi Aramco.
Dari kisah penaklukan negara-negara Arab yang beralih kuasa dari Uthmaniyyah-British-Bani Hasim-Saudi ini, kita dapat lihat akhirnya kemuncak perolehan keuntungan minyak yang diidam-idamkan Rockefeller untuk menguasai minyak di tanah Arab tercapai walaupun sukar untuk kita buktikan Rockefeller berada di sebalik segala konflik dan permainan politik perang di sana, namun jelas tanpa mampu disangkal tahun 1914-1933 (19 tahun), dari minyak ditemui di Arab dan Perang Dunia tercetus hingga perundingan bersama Philby yang menjadi penasihat Ibn Saud, membawa kepada kejayaan Standard Oil memegang saham terbesar pemprosesan minyak di tanah Arab selama lebih 40 tahun.
*petikan dari artikel bertajuk "Rockefeller dan Politik Dunia" oleh alhikmah-diari.blogspot.com
Monday, 26 July 2010
Sengketa Wilayah Arab
Posted by amn077 at 23:46
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment