Setelah dikira-kira, sudah tahun kelima penulis berada di bumi Cork ini. Jauh dari keluarga, jauh dari bumi Malaysia. Sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke sini, hati dah mula gusar tentang penjagaan diri dan iman, al maklumlah Islam dikatakan asing di bumi Eropah ini.
Namun, setelah masa berlalu, kehidupan yang dilalui tidaklah seperti yang digambarkan sebelum ini. Banyak perkara yang mematangkan kita sebagai seorang Muslim terutama dari segi pengukuhan akidah, pengamalan ibadah dan cerminan akhlak, lebih-lebih lagi kitalah duta Islam di sini.
Kadang-kala, terdetik di hati bahawa lebih senang untuk mempraktikkan Islam di sini berbanding di tanah air sana. Paling kurang, dari segi ibadah, kita lebih mudah mempelajari, memahami dan mengamalkan rukhsah yang diberikan oleh Allah swt. Pendek kata, Islam itu Mudah!! Siapa kata Islam itu remeh dan menyusahkan?
“Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu” (2:185)
Dari Ibnu Umar r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Allah suka (redha) supaya rukhsah-rukhsah yang diberikannya diamalkan sebagaimana ia tidak suka perkara-perkara maksiat dilakukan.” (Ahmad)
Biasa tak kita dengan situasi di bawah? Situasi di bawah bukanlah menunjukkan contoh pengamalan rukhsah, tapi cukup untuk kita memahami bahawa Islam itu mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.
Bila dah hidup di negara yang minoriti Muslim ini, barulah kita berusaha lebih sedikit menuntut tentang perlaksanaan ibadah itu sendiri seperti yang digariskan oleh Islam; oleh 4 Imam Mazhab & Ulama-ulama Muktabar yang menghuraikan berdasarkan rujukan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita tidak lagi menjadi Muslim yang pasif, yang beramal ibadah mengikut adat kebiasaan kita.
Situasi 1
Siah: “Jom korang, kita pergi solat. Waktu Maghrib dah nak habis nih. Lepas solat nanti, kita pergi laa cari kedai makan tu.”
Minah: “Alaa, korang je laa gi solat, aku tak bawak telekung la..terlupa. Nanti balik aku qada’ ah!”
Situasi 2
Seorang muslimah menunaikan solat di surau KL Central ketika dalam perjalanan untuk Program Pre-Departure Kolej Mara Banting (KMB). Bagi menjaga penampilan dan usaha untuk mendapatkan thiqah (kepercayaan) daripada peserta-peserta, muslimah ini memakai jubah labuh dan tudung batu permata.
Bisik-bisik seorang penghuni surau itu: “Aish, doh bakpe hok pelek sangak pompuang tuh semayang dok paka telekung tuh? Mane soh semayang die? Beso jalo pong dok reti-reti agi!”
Lirik-lirik pula beberapa penghuni surau yang lain. Lirikan tajam itu seolah-olah macam tengok orang buat maksiat kat dalam rumah ibadah lagaknya.
Situasi 3
Seorang anak yang merupakan penuntut University College Cork pulang untuk bercuti musim panas. Setelah bersiap-siap untuk ke usrah dengan sepasang baju kurung ‘pokka dot’, kedengaran laungan azan. Lalu, si anak terus mengangkat takbir untuk solat. “Allahuakbar…”
Tiba-tiba, debuk!! Adush, belakang si anak ditepuk orang! Si ibu rupanya!
“Nak semayang guane tak pakai telekung tuh? Aurat tutup tak sempurna.. Mana sah semayang! Ustaz mak masa dulu-dulu kata kita kena pakai telekung. Gi pakai telekung nung. Belajar tinggi-tinggi, makin tak paham agama mak tengok”
“Ala mak, tutup aurat laa ni. Dah tutup semua dah kecuali tapak tangan ngan muka. Tak semestinya kena pakai telekung. Kang tutup muka tak nampak plak kat mana sejadah.”
“Amboi, pandai pulak dia nak menjawab. Kita yang dulu-dulu ajar dia semayang, sekarang dia nak melawan kita plak. Pegi pakai telekung nung”
Kerana taatkan si ibu, maka si anak pun memakai telekung dan memulakan solat.
Gambar hiasan: Realiti di bumi asing melihatkan cara pemakaian ketika solat, cara menunaikan solat adalah sangat berbeza di kalangan wanita Muslim yang datang daripada mazhab yang pelbagai!
3 situasi yang dinyatakan di atas rasanya turut dialami oleh ramai di kalangan kita yang sudah lama tinggal di bumi asing. Iyalah, budaya orang Malaysia, bila nak solat kena pakai telekung! Tidak boleh kalau tiada telekung sembahyang. Setiap orang pasti sekurang-kurangnya mempunyai satu set telekung solat.
Dan setiap ibubapa pasti menyiapkan sekurang-kurang satu set telekung sembahyang untuk kegunaan anak-anak mereka.
Jadi, satu soalan yang penting untuk dijawab oleh setiap daripada kita; Muslimah yang bertanggungjawab untuk menjaga ibadahnya, dan juga Muslimin yang bakal menjadi pemimpin keluarga dan ummah.
Pemakaian telekung itu suatu syarat sah ataupun satu budaya dalam mengamalkan ibadah solat?
Saya sendiri sejak menuntut di luar negara, telekung bukan lagi satu keperluan apabila bermusafir. Jika di sini, kompas dan jaket labuh la lebih utama.
Jika di Malaysia pula, cukup sekadar pemakaian yang menepati syarat menutup aurat kerana masjid dan surau insyaAllah bertaburan di bumi tempat Islam berkembang. Apabila tiba waktu solat, maka tunaikanlah solat itu di tempat yang sesuai dalam uniform yang dipakai pada ketika itu. Adik-beradik dan ibu juga begitu. Alhamdulillah adik-adik merupakan orang yang mengikuti usrah, dan mak juga sedia belajar dari kami.
Namun, pertanyaan ayah sewaktu dalam kereta suatu hari membuatkan saya sedikit tidak berpuas hati kerana tidak dapat membalas hujah beliau.
“Eh, awak semua semayang ni, tengok-tengok sikit sah tak sah. Mak Ton suruh pesan hari tuh, dia dah bising sebab awak semua sembahyang tak tutup tapak tangan”
“Tapi ayah, aurat kita perempuan ni kan semua anggota tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan. Dan aurat kita dalam sembahyang adalah sebagaimana aurat kita sekarang laa kan? So, bolehlah nak solat dengan sebarang pakaian yang kita pakai, selagi mana kita pakai pakaian yang menutup aurat?”
“Tu aurat bila di luar, aurat masa sembahyang kena tutup belaka”
Sudah, saya dah pening dan ketandusan idea nak melawan hujah ayah. Jadi, baik diamkan sahaja. Tetapi sesuatu mesti dibuat. Kebetulan Milah (bukan nama sebenar) ada beli satu buku Fiqh Wanita. Jadi tepat sekali untuk dijadikan rujukan saya.
Alhamdulillah ada satu bab tentang ‘Aurat Wanita dalam Solat’.
Ada sesiapa yang nak teka atau berikan jawapan tentang aurat wanita dalam menunaikan solat?
Aurat Wanita dalam Solat
Maksud hadith:
Dari ummul mukminin Ummu Salamah r.a katanya: aku bertanya kepada Nabi saw, “Bolehkah wanita solat memakai dira’ (gaun panjang), dan khimar (tudung) tanpa izar (sarung)?. Baginda menjawab, “Boleh, apabila gaunnya cukup menutupi aurat sehingga ke hujung kaki”. (Riwayat Abu Daud)
Bila saya baca hadith ini, saya tahu mesti nanti ayah tanya apa yang dimaksudkan dira’, khimar dan izar tuh? Pelik-pelik istilah ini.
Dira’ = baju wanita yang dikenakan melalui leher sehingga ke badan (blouse, baju kurung, gaun)
Khimar = kain penutup kepala wanita dan tidak diwajibkan untuk menutup muka seperti telekung, kerudung
Izar= Pakaian yang menutupi tubuh separuh sehingga ke kaki (kain sarung, kain baju kurung)
Oh, jadi pemakaian telekung itu memenuhi tuntutan hadith sebenarnya (khimar + izar). Tetapi tidaklah jatuh hukum wajib memakai telekung.
Dalam riwayat lain,
Ummul Mukminin Aisyah r.a pernah ditanya orang: “Bagaimana seharusnya pakaian wanita dalam solat? Berapa macam?” Jawab Aisyah, ” Tanyakan kepada Saidina Ali b Abi Talib, kemudian kembalilah kepada saya dan khabarkan kepadaku jawapannya.” Penanya tersebut mendatangi Ali dan bertanya kepadanya. Jawab Ali,”Khimar dan Dira’ yang cukup panjang.”
Tetapi kena juga diingat kawan-kawan, kerudung/tudung itu apa syaratnya? Mesti ingat apa yang Allah swt dah sampaikan kepada kita tentang syarat tudung ini. Kalau lupa mari kita tengok sama-sama;
“Dan hendaklah mereka menutupkan khumur (jama’ bagi khimar) mereka sampai ke dadanya.” (An-Nur;31)
Aurat wanita menurut Mazhab Syafi’i dalam solat adalah sekujur tubuh kecuali muka, bahagian belakang tapak tangan dan telapaknya. Apabila auratnya terbuka dalam solat dalam keadaan dia mampu menutupnya, maka batal solatnya. Bila aurat terbuka kerana tiupan angin, lalu ditutup tanpa banyak gerakan, maka tidak membatalkan solat.
Tetapi sekiranya terbuka kerana sebab-sebab lain umpama dilanggar binatang atau anak-anak kecil, maka solatnya batal.
Kesimpulan
Jadi, saya rasa saya sudah memahami sedikit sebanyak aurat wanita dalam solat mengikut mazhab Syafi’i. Bolehlah telefon ayah sekarang. Hmm, atau mungkin boleh saja tinggalkan mesej di Facebook ayah, lagipun lebih senang nak terangkan.
Oh, sebelum berhenti, sebenarnya ada sambungan untuk situasi yang ketiga tadi.
Si anak yang taat itu lalu bersedia untuk keluar bagi menghadiri usrah setelah usai solat.
“Eh, nak pegi mana tuh? Menonong dengan telekung tak bukak?” kata si Ibu.
“Nak gi usrah. Dan lambat dah ni.”
“Bukak laa telekung tuh dulu. Tak ke pelik nak pakai telekung berjalan keluar.”
“Dah tuh tadi kata pakai baju kurung tak tutup aurat, tak sah sembahyang. Jadi, kenalah pakai telekung kalau nak berjalan keluar. Baru tutup aurat betul. Nanti berdosa pulak kalau orang nampak aurat kita”
P/s: Muslimat, bersedia untuk menentang arus budaya Malaysia? Dan bersedia untuk memahamkan masyarakat Malaysia tentang perincian perlaksanaan solat? Hmm.. ‘Dare to be a Stranger’
________________________________________
* http://www.ataphijau.com
Monday, 26 July 2010
Solat Seorang Asing; Bersediakah Kita Menentang Kebiasaan?
Posted by amn077 at 23:50
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment