Datang seorang lelaki kepada al-Imam Abu Hanifah Nu’man bin Thaabit radhiyallahu anhu lalu bertanya :
“ Wahai Imam, apa pendapat kamu terhadap seorang yang tidak langsung mengharapkan syurga, tidak takut kepada neraka, tidak takut kepada Allah taala, suka memakan bangkai, menunaikan solat tanpa rukuk dan sujud, bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikannya, membenci perkara yang haq,suka kepada fitnah,menjauhkan diri daripada rahmat, malah membenarkan perkataan Yahudi dan Nasrani???!!”
Al-Imam Abu Hanifah tersenyum sambil berpaling kepada murid-muridnya seraya bertanya:
“ Apa pendapat kamu semua terhadap apa yang ditanyakan oleh saudara kita ini?”
Para murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhum menjawab :
“ Tentu sekali orang yang bersifat seperti yang disebutkan adalah memiliki sifat seorang kafir!!”
Sekali lagi al-Imam Abu Hanifah tersenyum lalu menjawab :
“ Sesungguhnya lelaki yang bersifat seperti itu adalah salah seorang daripada wali Allah taala”
Murid-murid al-Imam Abu Hanifah radhiyallahu anhu terkejut lalu bertanya :
“ Wahai Tuan Guru, bagaimana boleh Tuan Guru katakan bahawa lelaki itu adalah wali Allah??”
Al-Imam Abu Hanifah menjawab:
“Lelaki itu adalah orang yang tidak mengharapkan syurga,tetapi dia mengharapkan Tuhan pemilik Syurga, dia tidak takut neraka tetapi dia takutkan Tuhan pemilik neraka, dia tidak takut kepada Allah bermaksud dia tidak takut Allah akan melakukan kejahatan padanya, dia suka memakan bangkai bermaksud dia suka memakan ikan, ini kerana Baginda sallallahu alaihi wasallam bersabda :
هو طهور ماءه الحل ميتته
Maksudnya : “Air laut adalah air yang suci lagi menyucikan manakala bangkai (ikan) yang daripadanya adalah halal untuk dimakan.”
Manakala dia solat tanpa rukuk dan sujud pula bermaksud dia menunaikan solat jenazah, atau menunaikan selawat ke atas Nabi sallallahu alaihi wasallam. Sudah tentu tiada rukuk dan sujud jika menunaikan selawat dan solat jenazah. Manakala maksud dia bersaksi terhadap perkara yang dia sendiri tidak saksikan bermaksud, dia bersaksi bahawa Allah taala itu adalah tuhan semesta alam dan Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah, sudah tentu kedua-duanya tidak pernah disaksikan olehnya dengan mata kepalanya di dunia ini.
Manakala maksud dia membenci perkara yang haq adalah bermaksud dia membenci mati hanya kerana untuk terus melakukan ibadah kepadaNya.Ini kerana mati adalah perkara yang haq(sudah tentu akan berlaku). Manakala maksud dia menyukai fitnah ialah dia menyukai anak-anak dan harta . Manakala maksud dia menjauhkan diri daripada rahmat ialah dia menjauhkan diri daripada hujan.Ini kerana hujan juga disebutkan rahmat oleh Allah taala.
Manakala maksud dia membenarkan kata-kata Yahudi dan Nasrani ialah dia membenarkan kata-kata mereka di dalam al-Quran di dalam surah al-Baqarah ayat 113:
وَقَالَتِ الْيَهُودُ لَيْسَتِ النَّصَارَى عَلَى شَيْءٍ وَقَالَتِ النَّصَارَى لَيْسَتِ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ كَذَلِكَ قَالَ الَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ مِثْلَ قَوْلِهِمْ فَاللَّهُ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ
113. dan orang-orang Yahudi berkata: “Orang-orang Nasrani itu tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; dan orang-orang Nasrani pula berkata: “Orang-orang Yahudi tidak mempunyai sesuatu pegangan (ugama Yang benar)”; padahal mereka membaca Kitab suci masing-masing (Taurat dan Injil). Demikian juga orang-orang (musyrik dari kaum Jahiliyah) Yang tidak berilmu pengetahuan, mengatakan seperti Yang dikatakan oleh mereka itu. Maka Allah akan menghukum (mengadili) di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa Yang mereka berselisihan padanya.
Sumber : Akhbar Aqidati keluaran 892. Mukasurat 12 bertarikh 29 Disember 2009 bersamaan 12 Muharram 1431 H.Saya olah sedikit bahasanya agar mudah difahami oleh pembaca.
*********
Nah, cuba kita perhatikan dan telitikan bagaimana jawapan seorang Imam yang terkenal dengan wara’ dan taqwanya. Berbeza dengan sikap kita sekarang. Zaman sekarang , cepat sangat kita menghukum seseorang itu sesat, ahli bid’ah dan sebagainya tanpa langsung ada baik sangka di dalam jiwa kita terhadap seseorang tersebut.
Kita mengatakan bahawa seseorang itu ahli Bid’ah, suka menyesatkan orang.. Namun kita langsung tidak bimbang jika perkara itu hakikatnya langsung bertentangan dengan apa yang ada di dalam pengetahuan kita. Bimbang yang mengatakan itu sendiri hakikat tidak sedar bahawa dirinya juga sedang melakukan bid’ah terbesar iaitu pecah belah di dalam ummah.
Fikir-fikirkanlah.. Kita sering mengajak orang untuk mengikut ulama Salaf. Namun cuba kembali koreksi diri kita sejauh mana kita mengikut akhlak seperti para ulama salaf terdahulu bilamana bermuamalah dengan orang lain???..
Mohd Nazrul Abd Nasir,
http://nazrulnasir.blogspot.com
Wednesday, 6 January 2010
Benarkah Orang Yang Bersifat Begini Layak Digelar Wali Allah?
Posted by amn077 at 21:50
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment