Buat dosa siang malam tidak kira masa. Apa sudah jadi dengan umat Islam kini?
Bersolat tetapi berzina. Ketika umat Islam berpuasa dia pula buat kerja laknat.
Ini yang diberitahu kepada saya seorang ibu yang mengadu mengenai anaknya dan aduan seorang isteri dengan perangai suami yang bermalam dan mengaku berzina dengan “kekasih baru”.
Saya masih ingat lagi kata-kata datuk saya ketika beliau mengajar di rumahnya dengan katanya, berzina seronok sekejap tetapi derita sampai ke neraka.
Tazkirah kali ini ingin saya menulis mengenai akibat berzina yang nampaknya sudah menjadi perkara biasa dan semacam tidak ada apa-apa perasaan pada pasangan sama ada remaja, dewasa atau tua.
Percayalah, kalau Allah marah mesti ada azab sama ada azab sementara di dunia dan apa lagi di akhirat.
Akibat buruk dan bahaya zina:
1. Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan keburukan iaitu berkurangnya agama si penzina, hilanga sikap warak (menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
2. Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu adalah suatu yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat indah khasnya bagi wanita.
3. Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4. Membuatkan hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5. Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan sehingga tidak pernah berasa cukup dengan apa yang diterimanya.
6. Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya, baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7. Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8. Penzina akan dipandang manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
9. Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh orang-orang yang memiliki qalbun salim (hati yang bersih) melalui mulut atau badannya.
10. Kesempitan hati dan dada selalu meliputi penzina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa yang diingininya.
Ini kerana orang yang mencari kenikmatan hidup dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan sebaliknya dari apa yang dia inginkan dan Allah tidak menjadikan maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan serta kebahagiaan.
11. Penzina mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari jelita di syurga kelak.
12. Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan.
Bahkan, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang lain pula.
13. Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
14. Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih meninggalkan kesan dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya kerana orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya.
Tetapi dosa zina akan benar-benar meninggalkan kesan di dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku itu bertaubat dan membersihkan diri, dia masih berasa berbeza dengan orang yang tidak pernah melakukannya?
Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi aibnya ia mengugurkannya. Dia berzina dan membunuh jiwa yang tidak berdosa.
Sekiranya dia ialah seorang wanita yang bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan membiarkan anak itu lahir, dia memasukkan orang asing dalam keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya.
Na'udzubillahi min dzaalik.
15. Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit seperti Aids, siphilis dan gonorhea atau kencing bernanah.
16. Di antara azab di akhirat nanti penzina akan dibesarkan kemaluan, baik lelaki atau perempuan sebesar Bukit Uhud. Anda tahu besar mana Bukit Uhud?
Semoga kita dan anak keturunan kita terselamat dari bencana durjana ini.
Sumber:www.hmetro.com.my
* Mohd Zawawi Yusoh merupakan anak kelahiran negeri Terengganu dan berkhidmat sebagai Pensyarah di Jabatan Bahasa Al-Quran di UIA. Berpengalaman dalam bidang dakwah dan sering muncul di TV, radio, akhbar dan majalah.
Tuesday, 12 January 2010
Zina:Bunuh Rasa Malu
Posted by amn077 at 20:10
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment