AL-MARAGHI berkata: Kesempatan ini diterangkan motivasi yang dapat merangsang jihad pada jalan Allah SWT. Disebutkan bahawa orang yang mati syahid pada jalan Allah adalah mereka yang masih hidup di sisi Tuhan-Nya dengan dikurniakan keistimewaan, kemuliaan, rezeki yang terbaik, dan ditempatkan pula pada tingkat yang paling menyenangkan.
Ayat ke-173
Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya". Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah untuk (menolong) kami, dan ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadanya segala urusan kami)".
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Mujahid, Muqatil, Ikrimah dan al-Kali berkata: Orang yang berkata dalam ayat ini ialah Nu'im bin Mas'ud al-Asyjai. Lafaznya am tetapi maknanya khusus.
ii. Al-Qurtubi berkata: Allah menambahkan iman mereka kebenaran dan keyakinan pada agama mereka. Begitu juga dengan kekuatan dan keberanian.
iii. Al-Maraghi berkata: Ucapan yang menakutkan itu sebaliknya telah menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap Allah SWT dan mereka tidak akan lari kerana berasa takut.
Bahkan tekad mereka semakin memuncak untuk memerangi kaum kafir dan mentaati Rasulullah SAW dalam segala perintah dan larangan-Nya.
Ternyata ucapan yang diharapkan melemahkan semangat mereka itu sebaliknya telah menambah kesedaran mereka mengenai keagungan Allah SWT dan kekuasaan-Nya, serta keyakinan mereka terhadap janji dan ancaman Allah SWT.
iv. Al-Sonhaji berkata: Kata-kata yang diucapkan oleh musuh dengan tujuan untuk melemahkan pendirian orang-orang Islam, sebenarnya telah menambahkan lagi keimanan mereka.
Apalagi jika mereka meyakini yang sebenar-benarnya, bahawa Allah cukup menjadi pemelihara dan pemimpin kepada orang-orang mukmin dan Dialah sebaik-aik pemimpin
Ayat ke-174
Firman Allah SWT yang bermaksud: Setelah (pergi mengejar musuh), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia dari Allah, mereka tidak disentuh oleh sesuatu bencana pun, serta mereka pula menurut keredaan Allah. Dan ingatlah), Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Ketika mereka benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, maka mereka pun diberikan berbagai ujian yang membuat mereka gelisah dan dihindarkan dari serangan orang yang menipunya, sehingga mereka kembali ke negerinya sendiri.
ii. Ibn Jarir meriwayatkan daripada al-Suddi katanya: Rasulullah SAW ketika keluar ke Badar kecil, telah memberi beberapa dirham kepada para sahabat. Lalu mereka membeli pada musim itu juga. Kemudian dijual sehingga mendapat keuntungan yang banyak sekali.
iii. Al-Maraghi berkata: Mereka mematuhi setiap perkataan atau perbuatan yang diredai oleh Allah SWT.
Melalui keredaan Allah SWT inilah mereka memperoleh kemenangan dan keuntungan di dunia dan juga akhirat. Oleh yang demikian, taatilah Rasulullah SAW dalam segala bentuk perintah dan larangannya.
iv. Mujahid dan as-Suddi berkata: kurnia yang besar itu, ialah pertama kesihatan badan, tidak kurang suatu apa; kedua tidak jadi berperang, kerana musuh tidak bertemu; ketiga mendapat keuntungan berniaga yang berlipat ganda; dan di atas semua itu ialah teguhnya iman dan gembira hati di dalam memperjuangkan agama Allah.
Ayat ke-175
Firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepada-Ku (jangan cuaikan perintah-Ku), jika betul kamu orang-orang yang beriman.
Iktibar dan fiqh ayat:
i. Ibn Kathir berkata: Syaitan itu menakut-nakutkan manusia serta menanamkan perasaan pada diri manusia bahawa mereka memiliki kekuatan dan pengaruh.
ii. Al-Qurtubi berkata: Ayat ini kembali kepada Auliya Allah yang sentiasa takut kepada-Nya. Mereka tidaklah takut kematian tetapi apa yang berlaku selepas kematian
iii. Al-Maraghi berkata, ayat ini mengandungi beberapa pengajaran:
l Iman sejati tidak akan menjadikan seseorang itu pengecut. Keberanian adalah watak sebenar seseorang mukmin. Tidak akan ada orang lain yang mampu menandingi keberaniannya. Sebab si pengecut itu hanyalah kerana perasaan takut mati dan cinta terhadap kehidupan.
Dalam hati seorang mukmin tidak akan mempedulikan kedua-duanya. Dunia pada hari ini sering menyaksikan keberanian tentera Islam, walaupun umat Islam telah mengalami kelemahan iman dan kejahilan dalam urusan agama.
l Setiap orang sebenarnya mampu mengatasi punca yang mendatangkan perasaan takut dan melatih dirinya menjauhkan darinya melalui latihan pendidikan dan membiasakan diri dengan perkara yang menakutkan.
l Jika menghadapi situasi hal yang menakutkan, janganlah kamu menyimpannya selama-lamanya sehingga perasaan takut ini mempengaruhi jiwanya serta mengkhayalkannya secara berterusan.
Sebaliknya, bayangan ketakutan ini hendaklah dibuang jauh dari ingatan dan hendaklah menyibukkan diri dengan hal-hal yang lain bagi mengatasi perasaan sedemikian.
iv. Hamka berkata: maksud kata-kata Nu'aim bin Mas'ud dan Nu'aim itu sebagai syaitan yang mempertakuti. Nescaya yang dapat ditakutinya itu tidak lain daripada orang yang percaya kepadanya.
Orang yang percaya kepada rayuan syaitan nescaya pengikutnya manakala orang yang beriman tidak dapat dipengaruhi syaitan lantaran beriman kepada Allah. Percaya bahawa pertolongan Allah pasti datang kepada orang yang benar-benar percaya kepada-Nya.
Rasulullah SAW menyatakan dengan tegas, beliau mesti pergi menghadapi Abu Sufyan dengan tenteranya walaupun akan pergi sendirian berbekalkan keimanan kepada Allah yang kuat.
Semoga kita mempunyai iman yang sejati dan bukan yang pengecut kerana keberanian adalah watak sebenar orang yang beriman.
DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Tuesday, 12 January 2010
Takut hanya kepada Allah
Posted by amn077 at 20:35
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment