BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Saturday 16 January 2010

Sekerat-Sekerat Akhirnya Boleh Rosak & Sesat

Saya teringat ketika mempelajari ilmu seni silat Gayung ketika di sekolah menengah dahulu, ada seorang guru silat yang menasihatkan kami agar jangan sesekali mempraktiskan ilmu yang baru dipelajari beberapa bulan.
"Kalau praktis jugak, ia lebih banyak bahayanya" katanya ringkas tapi dengan wajah yang tegas.
Manaka tidak, katalah kita diserang (na'uzbillah), sedang kita sibuk untuk mengingati langkah-langkah serangan dan pertahan serta bunga kembangnya,
Dushh.. sebiji penumbuk boleh sahaja hinggap di wajah kita.
Benar, kalau belum cukup latihan dan lengkap sesuatu pergerakan, bertarunglah secara cowboy lebih wajar. Iaitu tumbuk dan sepak mengikut kesesuaian, tidak perlu sama sekali menghilang focus untuk memamstikan kekuda berada di darjah yang betul dan sebagainya.
Itu nasihat bagi mereka yang mempelajari ilmu silat, bagaimana pula dengan pakai baju sekerat-sekerat?
Itu lagi terbabas dari landasan kebaikan namanya. Pada pandangan manusia, ia dinamakan fesyen, pada pandangan Allah ia adalah tanda kesesatan makhluk.
Bagaimana pula dengan ilmu sekerat-sekerat?
ILMU SEKERAT-SEKERAT
Cuba lihat beberapa contoh ini:-

1) Seseorang memaklum sambil bertanya kepada saya " ada seorang kawan saya mengatakan tidak ada aurat di antara ipar duai kerana mereka saling tidak boleh kahwin antara satu sama lain, betul ke ustaz"

Contoh pertama ini memperlihatkan bagaimana kelirunya kawan si penanya ini, dia menjadikan ‘tidak boleh kahwin' sebagai ‘illah (sebab utama) untuk seseorang dianggap mahram dan bukan mahram dan seterusnya aurat atau tidak.
Memang ada benar tetapi hanya sekerat, perbincangan tidak terhenti setakat itu sahaja, ada yang haram kahwin secara kekal (Muabbad), sementara (muaqqat) dan berpunca dari pelbagai sebab. Ringkasnya, yang haram secara muaaqqat masih WAJIB menutup aurat di hadapannya termasuklah IPAR DUAI.
Nabi pernah ditanya : "Wahai Rasulullah, bagaimana pendapatmu tentang Al-Hamwu" Beliau berkata : "Al-Hamwu adalah maut" [Hadits Riwayat Bukhari 5232, Muslim 2172 dari 'Uqbah bin Amir]
Al-Allamah Az-Zamakhsyari berkata dalam menerangkan "Al-Hamwu"
"Al-Hamwu bentuk jamaknya adalah Ahmaa' adalah kerabat dekat suami seperti ayah, saudara laki-laki, bapa saudaranya dan selain mereka...
Dan sabda baginda : "Al-Hamwu adalah maut" maknanya ia boleh menjadi punca kerosakan fatal sehingga sehingga Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam menyerupakannya dengan maut, karena hal itu merupakan sumber segala bencana dan kebinasaan. Yang demikian kerana Al-Hamwu (ipar duai) lebih berbahaya daripada orang lain yang tidak dikenali. Kerana kerabat terdekat yang bukan mahram terkadang jarang ada disangka buruk dengan kewujudan mereka, berbeza dengan orang yang bukan kerabat. Justeru, boleh menjadi kenyataan "Al-Hamwu adalah maut" jika ada yang terlanjur zina sedang sudah berkahwin lalu dihukum mati menurut undang-undang Islam..." ["Al-Faiq fi Gharibil Hadits" 9 1/318, Lihat "An-Nihayah 1/448, Gharibul Hadits 3/351 dan Syarhus Sunnah 9/26,27]

2) Seorang pelajar yang baru sampai ke Jordan memberitahu saya "Ustaz, ana solat kat masjid universiti, tetapi depa tak baca qunut Subuh (kerana ikut mazhab Hanafi), jadi masa tu ana dengan cepat baca qunut setakat yang wajib, ikut mazhab Syafie"
Saya pening seketika mendengar kalam pelajar yang baru sampai ini, memikirkan mazhab mana yang mengatakan qunut subuh sebagai wajib. Dia juga bakal ustaz kelak, tetapi tidak disedarinya bahawa mazhab Syafie hanya mengatakan Qunut Subuh sebagai sunat Ab'ad (muaakkad), ia bukan wajib. Malah jika kita mengikut imam sama ada dia mazhab lain atau tidak, yang wajib bagi makmum ketika solat jemaah adalah mengikut imam, ia telah dinyatakan dengan jelas dalam hadis al-Bukhari.

Namun akibat ilmu sekerat-sekerat, dia membuat fatwa sendiri, lebih bimbang jika dia menyebarkannya kepada orang lain yang bukan ustaz. Lalu orang percaya kerana dia bakal atau graduan Shariah universiti dari Jordan, Mesir, Syria, Morocco dan lainnya.

3) "Ustaz saya beritahu, HARUS hukumnya membuat pinjaman dari institusi kewangan konvensional yang mengenakan faedah secara tetap, fixed interest, dia kata sama dengan Islamic yang juga fixed"
Lihat betapa bahayanya sang ustaz yang dirujuk, berfatwa dengan ilmu sekerat-sekeratnya, padahal jika dia mendalami lagi ilmu fiqh muamalat dan kewangan moden, akan difahami bahawa haramnya sesebuah pinjaman riba, bukan terletak pada kadar bunganya (interest) yang sama ada fixed atau fluctuate), tetapi ‘illahnya. ‘Illah itu boleh dikenalpasti dari cara kandungan dan pemeteraian kontrak (aqad).

4) Seorang pemberi komen di artikel saya berkenaan nama Allah, berkata :
"Apabila saya baca, didapati kenyataan UZAR ni bercanggah di antara dalil dan ulasannya. Mula-mula UZAR kata HARUS berdasarkan dalil, maksudnya dibolehkan orang kafir guna nama ALLAH berdasarkan dalil Al-Quran yang diberikan. Kemudian UZAR bagi ulasan tidak boleh pula berdasarkan realiti di Malaysia. Maksudnya UZAR menundukkan dalil syarak kepada realiti... Ini suatu yang berbahaya!!!".
Contoh ini memperlihatkan bagaimana bahaya jika ilmu sekerat-sekerat yang dianggap cukup, lalu terus menetapkan pendirian. Lihat, dengan mudah, dia ingin mengganggap tulisan saya sebagai ‘BERBAHAYA'
Bunyinya dahsyat dan jika disebarkan tanpa ulasan sewajarnya, ia tentu boleh menjadi fitnah yang besar.
Padahal jika ilmu dalam bab tersebut dilengkapkan, maka akan jelas jika dalil-dalil syarak menunjukkan penggunaan itu mubah iaitu HARUS, ia terbuka dan bebas menerima pindaan dari semasa ke semasa oleh pemerintah islam apabila terdapat tanda dan bukti kemudaratan boleh meluas.
Banyak sebenarnya dalil syarak lain yang menunjukkan pemimpin Islam dimandati oleh Allah taala untuk menghadkan hukum MUBAH kepada LARANGAN disebabkan suasana sekitar. Ia dinamakan 'Taqyid al-Mubah' (mengikat hukum harus)

Imam As-Syafie r.h berkata : " Tiada Siyasah kecuali yang bertepatan dengan kehendak Shariah" ( Turuq Hukmiyah, Ibn Qayyim, hlm 41, cet Al Maktab al-Islami).
BUKAN SEKADAR ‘HARUS' BOLEH BERUBAH, MALAH JUGA YANG LAIN.
Malah bukan sekadar hukum yang Mubah, malah hukum haram ASAL juga adakalanya berubah kepada HARUS, disebabkan mudarat yang lebih besar dan lain-lain perubahan hukum. Cuba lihat contoh-contoh ini :-
1) Umar al-Khattab tidak mengagih harta ghanimah (rampas perang) semasa pembukaan Iraq yang dibuka tentera Islam, sedangkan al-Quran memperuntukan agihan, adakah umar bercanggah dengan Al-Quran, TIDAK SAMA SEKALI, TETAPI sebenanrya Umar al-Khattab amat faham nas Al-Quran itu dan faham juga MAQASID SYARIAH.
2) Tindakan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Ali k.w, Abdullah Az-Zubair r.a yang membakar peliwat sebagai hukuman. Sedangkan kita mengetahui bahawa adalah dilarang untuk membunuh dengan membakar. (At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)

3) Tindakan Sayyidina Umar al-Khattab yang membotakkan kepala Nadhar bin Hajjaj serta menghalaunya keluar dari Madinah hanya semata-mata wajahnya yang terlampau kacak menyebabkan wanita berangan-angan dan berhasrat untuk melakukan maksiat dengannya.
Bukankah wajah yang tampan itu bukan ikhtiyar (pilihan) Nadhar, tetapi kita dapat melihat Siyasah Syariyyah menjadikan Umar bertindak demikian demi maslahat umum. ( At-Turuq al-Hukmiyah, hlm 46)

Selepas semua dalil contoh diatas dan banyak lagi sebenarnya, perlu difahami Wajah ad-dalalah dalam semua item di atas adalah bagaimana pemerintah mempunyai mandate untuk melaksanakan sesuatu tindakan yang diyakini boleh memberi lebih manfaat kepada awam.
Begitu juga, hukum yang harus seperti penggunaan nama Allah oleh Kristian, HARUS hukumnya pemerintah mengambil keputusan untuk melarang walaupun terdapat dalil hukum yang mengatakan HARUS, jika diyakini pembukaan itu bakal membawa mudarat yang lebih besar.
Beratus-ratus lagi dalil dalam bab ini sebenarnya, pemberi komen wajar mengkhatamkan pengajian dalam subjek al-Siyasah As-Syar'iyyah dan Maqasid Al-Syariah untuk beliau menentukan pendirian dengan tepat dan tidak BAHAYA.
Selain dari dua contoh ini, begitu banyak didapati ilmu sekerat-sekerat menjadi punca kemudaratan dalam keharmonian ummah, sebagai contoh ringkas :-
• Wujud gejala kafir mengkafir disebabkan perbezaan pendapat dalam isu cabang Fiqh dan Aqidah. Akibat ilmu sekerat-sekerat, serta mengabaikan penelitian di bidang ilmu Usul Fiqh, akhirnya ramai yang terjebak dalam kategori ini.
• Gejala menuduh sewenang-wenangnya seseorang sebagai Wahabi, Ahbash, Khawarij, Mu'tazilah moden dan sebagainya. Ia juga biasnaya berpunca dari ilmu sekerat-sekerat.
• Gejala menuduh orang lain beribadah secara salah, padahal ia berpunca dari dirinya yang tidak mengetahui wujudnya perbezaan pendapat dan kefahaman dalil.
• Gejala mengganggap memakai tudung sebagai ‘telah menutup aurat' sedang aurat bukan hanya sekadar tudung di atas kepala tetapi pada tubuh dan sempit dan nipis pakaian semuanya memberi kesan kepada hukum aurat.


Gejala ini boleh berkembang biak dengan dahsyat sama ada di peringkat orang awam yang belajar dari blog, search engine dan web atau di peringkat para pelajar aliran agama di Universiti atau di pondok yang belum tamat pengajian, khususnya di peringkat Basic (degree) bagi Universiti. Hasilnya pengajian ilmu mereka yang diterima mereka belum lengkap menyebabkan pendirian mereka dibuat kerap tersasar dari apa yang sepatutnya.
Mungkin ada yang akan bertanya,
"pengajian itu berterusan sehingga liang lahad, maka bagaimana tahu kamu dah tak sekerat-sekerat?"
Oleh kerana semua itu kita perlu rujuk kepada yang mengetahui jika kamu tidak mengetahui. Bukankah itu anjuran Allah taala.
"Jika dah rujuk pakar, macam mana si pakar tahu dia pun tak sekerat-sekerat?" mungkin itu bermain di minda anda
ANTARA KRITERIA SI PAKAR
Seseorang yang telah sampai suatu tahap pengajian yang mendalam (pakar), biasanya akan mengetahui tahap ilmunya, kerana itu biasanya si pakar akan mengambil masa sebelum mengeluarkan jawapan, bagi beliau membuat kajian menyeluruh, kecuali jika isu yang ditanya telah sedia dikaji sebelumnya.
Pakar biasanya akan tahu batasan ilmunya lalu memberi jawapan "tidak tahu" apabila ditnaya soalan yang beliau tidak cukup maklumat berkenaannya.
Pakar biasanya, akan berhati-hati dalam memberikan pendirian tanpa menyesat, membid'ah dan mencerca pandangan berbeza kerana beliau sedar, terdapat kemungkinan sesuatau nas dan dalil yang dipegangnya boleh ditafsir secara berbeza. Atau mungkin juga pandangannya boleh jadi kurang tepat walau telah dipastikan menyeluruh. Atau pandangannya tidak meraikan suasana yang berbeza dan terlalu rigid terhadap teks nas tanpa memikirkan soal maqasid Shariah.
Lihat sahaja contoh para ulama silam yang pakar, mereka kerap menangguh atau membuat kajian semula apabila sahaja disoal DALAM BAB HUKUM.
Namun perlu diingat, SI PAKAR TAHU ILMU APA YANG INGIN DIGUNAKAN, TAHU PULA SUMEBR RUJUKAN YANG PERLU DIRUJUK SEDANG orang yang ilmu masih sekerat-sekerat, apa yang perlu dirujuk pun dia masih samar, methodnya pun tidak jelas.
Itulah bezanya...dan itulah sebab dan keperluannya.
Cuma perlu dibezakan, pakar berbeza pendapat dalam satu isu hukum dengan mereka yang pberbeza pendapat kerana ilmu sekerat.
Ulama memang ada berbeza pendapat namun ia disebabkan perbezaaan tafsiran terhadap sesuatu dalil.
Orang ilmu sekerat berbeza pendapat kerana tak sampai ilmu untuk faham sesuatu dalil tapi tetap nak beri pendapat atau langsung tidak tahu kewujudan dalil itu.

KESIMPULAN
Saya menasihatkan diri saya, dan rakan-rakan pencinta ilmu Islam agar menjauhi fenomena mengutarakan pendirian dalam bidang agama sedang diri ilmu sekerat-sekerat dalam sesuatu bidang.
Saya menyatakan ini kerana bimbang melihat fenomena kebebasan bersuara hasil kewujudan blog, forum serta facebook hari ini, kelihatan begitu terbuka. Ya ia menyediakan ruang untuk semua orang memberi komentar, pandangan dan kritikan.
Agak bimbang melihat, sebahagian orang yang masih berilmu sekerat-sekerat dalam pengajian ilmu asas-asas agama, khususnya dalam bidang yang ingin dikritik, dibantah dan diulasnya. Namun dia tetap ghairah melontarkan pandangan dan pendirian kepada umum. Akhirnya, dia tidak lain kecuali membawa fitnah dan kesesatan berbanding kebaikan dan keselamatan.
Lihat sahaja dalam isu nama Allah, ramai benar yang cuba berfatwa tanpa sebarang latarbelakang pengajian ilmu fatwa, fiqh dan Usul Fiqh serta Maqasid Shariah.
Mereka mengulas ayat-ayat tanpa sebarang pengajian khusus di dalam bahasa arab, tafsir, ulum tafsir dan hadis.
Saya faham, ada mungkin yang teringin menuding jari kepada saya lalu berkata
"Eeh, ustaz pun apa kurangnya, ustaz ingat ilmu ustaz dah tak sekerat-sekerat ke?"
Saya akui, saya tidak terlepas dari nasihat dari artikel ini, kerana itu setiap pendirian dan pandangan yang saya lontarkan akan hanya diberikan setelah kajian dan rujukan dilakukan. Pun begitu, saya juga tidak terlepas dari kesilapan. Ilmu boleh bertambah dan pindaan boleh dilakukan apabila kesilapan dikenalpasti.
"Saya faham ustaz nak kata apa, ustaz nak sebut, isu agama ini exclusive untuk ulasan para ustaz saja, betul tak..orang macam kami tak layak?" cebik seorang petugas professional.
"Tidak dan Ya" jawab saya.
"Tidak kerana fatwa, ulasan hukum sebenarnya agama tidak ekslusif buat para ustaz atau kata lainnya yang mengaji agama secara formal"
"Ya, ia memang exclusive tetapi bukan exclusive kerana hanya title ‘ustaz', namun ia adalah exclusive bagi sesiapa sahaja yang telah mempelajari secara khatam silibus asas ilmu alat berkaitan bahasa arab, fiqh, usul fiqh, tafsir, usul tafsir, hadis dan usul Hadis, tidak kiralah mereka ustaz atau tidak, jika mereka SUDAH mempelajari itu, mereka diberikan hak ekslusif oleh agama untuk mengulas."
Apa yang perlu dipelikkan dengan hak ekslusif, doktor, engineer, akauntan dan lainnya juga punyai hak ekslusif dalam bidang masing-masing.
Dengan itu, berhati-hatilah dalam membuat pendirian dan menetapkan pendapat, lebih perlu berhati-hati jika ingin disebar luaskan. Nasihat ini terpakai untuk saya dan semua pembaca.

Cuma jangan dilupa, seorang ulama juga perlu elak memberi fatwa berbekalkan ilmu sekerat-sekerat dalam hal ehwal yang berkait dengan ilmu-ilmu luaran yang lain seperti kewangan moden, perubatan, geografi, kosmetik, sains, biologi, kejuruteraan dan sebagainya. Ilmuan ini walau dirinya telah mendalami ilmu fiqh, usul Fiqh, tafsir dan hadisnya, ia masih memerlukan bantuan pakar di bidang berkaitan tersebut sebelum mampu memberi pandauan dengan tepat.
Sekian


Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
27 Muharram 1431
13 Jan 2010

0 comments: