Pada suatu hari setelah Abu Bakar RA menyatakan keislamannya, dia pernah diseksa oleh kaum Quraisy. Dia telah dipukul bertubi-tubi oleh oleh kaumnya. Termasuk juga Utbah bin Rabi’ah. Utbah membelasahnya dengan kedua terompahnya yang kasar hingga wajah Abu Bakar RA bengkak dan berbilur. Setelah Abu Bakar RA jatuh terguling, dia telah dipijak-pijak oleh Utbah diperutnya sehingga pengsan, malah mukanya sudah tidak dapat dibezakan lagi daripada hidungnya.
Kaum Bani Tamim bangkit mengangkat Abu Bakar RA dengan dibungkus kain dan dibawa masuk ke rumahnya. Mereka yakin, melihat keadaannya itu, Abu Bakar RA pasti akan mati.
Ketika Abu Bakar RA mulai sedar, ucapan pertama yang keluar dari mulutnya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”
Mendengar pertanyaan ini, kaumnya (yakni Bani Tamim) yang masih belum beriman mengherdiknya, kerana Abubakar RA tidak memperdulikan keadaan dirinya sendiri, malah sibuk merisaukan dan memikirkan keadaan Rasulullah SAW.
Kemudian mereka datang kepada Abu Bakar RA dan berkata kepada keluarganya, ”Sebaiknya dia kamu berikan sedikit makanan dan minuman.”
Ketika ubunya meminta Abu Bakar RA makan dan minum, Abu Bakar hanya bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”
Abu Bakar RA meminta ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil binti Al-KhattabRA berkenaan keadaan dan keselamatan Rasulullah SAW.
Lalu ibunya pergi dan bertanyakan Ummu Jamil RA tentang keadaan Rasulullah SAW, jawab Ummu Jamil RA, ”Aku tidak tahu tentang berita Abu Bakar dan Muhammad bin Abdullah, kalau boleh, biar aku ikut puan untuk bertemu Abu Bakar sendiri.”
Cadangan itu diterima oleh ibu Abu Bakar RA, lalu dia pun mengikutinya pulang.
Ketika Ummu Jamil RA melihat keadaan Abu Bakar RA yang amat menyayatkan hati itu, dia pun berteriak, ”Demi Allah, sesungguhnya orang-orang yang memukulmu sekejam ini benar-benar orang kafir dan fasiq. Semoga Allah menimpakan seksaan kepada mereka!”
Lalu Abu Bakar RA terus bertanya, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”
Jawab Ummu Jamil RA, ”Ibumu masih bersama kita dan dia akan dengar.”
Celah Abu Bakar RA, ”Tidak mengapa walaupun dia dengar.”
Jawab Ummu Jamil RA, ”Rasulullah SAW dalam keadaan sihat dan afiat.”
Abu Bakar RA bertanya lagi, ”Dimanakah baginda sekarang?”
Jawab Ummu Jamil RA, ”Baginda berada di rumah Arqam bin Abi Arqam!”
Kata Abu Bakar RA, ”Demi Allah! Aku tidak akan makan dan minum sebelum aku sendiri benar-benar bertemu Rasulullah SAW!”
Ummu Jamil RA dan ibunya mencegah Abu Bakar RA untuk keluar menemui Rasulullah SAW sehinggalah keadaan di jalanan agak sepi dan tidak ramai orang. Setelah keadaan lebih selamat, barulah Abu Bakar RA, ibunya dan Ummu Jamil RA menyamarkan diri dan pergi bertemu Rasulullah SAW.
(Al-Bidayah wan-Nihayah, Jld 3)
Inilah secebis kisah daripada kehidupan suci murni Rasulullah SAW dan para Sahabat baginda. Dapatkah kita turut merasai betapa lazatnya iman yang sedang dikecapi oleh Abu Bakar RA ketika itu? Betapa lazat dan manisnya iman, dek kerana hakikat cinta kepada Allah dan Rasul-Nya yang telah terpasak kukuh di dalam hati nubari Abu Bakar RA. Biar dirinya menghampiri di curam kebinasaan, namun Cinta Rasul yang ada di dalam hatinya menyebabkan hanya keselamatan Rasulullah SAW yang menjadi tumpuannya.
Bayangkan, setelah pengsan disebabkan pukulan-pukulan tanpa belas kasihan yang diterimanya, namun tika kewarasan mula menguasai fikirannya, apa yang terlontar dari bibirnya yang bengkak dan berdarah hanya satu soalan sahaja, ”Bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW?”
Adakah kata-kata yang dapat menerangkan, cinta yang bagaimana sebenarnya yang sedang bergelora di hati Abu Bakar RA ketika itu? Hati yang telah dikuasai hakikat Cinta Rasul ini, pasti membuatkan Allah ’jatuh hati’ kepadanya pula. Rasulullah SAW digelar sebagai Kekasih Allah. Sesiapa yang mempunyai Cinta Rasul, sudah tentu akan turut dicintai oleh Allah SWT.
Lalu, bagaimanakah keadaan hati ini? Benar dan sejatikah cinta ini kepada Rasul-Nya? Atau bak kata Allamah Syaikh Abul-Hassan Ali An-Nadwi RAH.A, ”Bahkan apa yang dinamakan perasan cinta itu sendiri telah lenyap dari hati setiap orang selama beberapa abad. Yang ada hanyalah semboyan kosong yang sering dinyanyikan oleh para seniman sepanjang masa.”
Wahai diri, renungkanlah, cinta yang bagaimanakah nanti yang engkau akan persembahkan, pada saat kau bertemu Rasulullah SAW di Mahsyar nanti? Oh Allah... ”Sesungguhnya, kuadukan kesusahan dan kesedihanku ini hanya kepada Allah!” (Yusuf 12:86)
Sunday, 25 October 2009
Bagaimanakah keadaaan Rasulullah SAW?
Posted by amn077 at 20:28
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment