BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday 30 October 2009

Soal Jawab Agama: Haji mabrur jihad terbaik

BOLEH ustaz terangkan kelebihan orang yang menunaikan haji dan umrah dan apakah tanda-tanda ibadat haji diterima Allah SWT.

Suhaila,
Wangsa Maju

SESUNGGUHNYA mengerjakan haji dan umrah itu amat besar ganjaran di sisi Allah. Sebuah hadis Abdullah bin Masu'd bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Hubungkanlah sekalian kamu antara haji dan umrah kerana ia menghapuskan dosa dan kemiskinan seperti menghembus tukang besi akan kotoran besi, emas dan perak. (Hadis Tirmizi).

Sabda Rasulullah SAW, "Sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah dan tidak dicemari perkara dosa dan maksiat, dia akan kembali seperti hari pertama dia dilahirkan. (Hadis Bukhari). Hadis dari Ubadah bin Samit, menyatakan mengenai wukuf di Arafah, Allah berkata kepada malaikat, "Wahai malaikat, apakah yang dibawa -hambaku pada hari ini?

Jawab malaikat, "Mereka datang membawa harapan iaitu keredaan-Mu dan mengharapkan syurga-Mu. Allah menjawab, "Wahai malaikat, sesungguhnya aku menjadi saksi bahawa segala dosa mereka diampunkan walaupun sebilangan pasir di pantai".

Adapun ketika melontar jamrah, bagi setiap anak batu yang dilontar akan menghapuskan satu dosa besar. Ketika tawaf dilakukan, malaikat akan datang dengan meletakkan tangannya di bahu orang yang sedang bertawaf dan berkata, "Teruskanlah melakukan amalan kebaikan, sesungguhnya kesalahan kamu yang lalu sudahpun diampunkan. (Hadis Tabrani).
Berpandukan hadis di atas, Ibnu Hajar di dalam fatwanya menyatakan bahawa segala dosa sama ada kecil atau besar akan diampunkan Allah SWT. Maksud haji mabrur ialah haji yang tidak dicampur dengan dosa. Sebahagian ulama berpendapat bahawa maksud mabrur itu ialah makbul iaitu diterima Allah.

Tanda haji mabrur ialah apabila jemaah kembali menunaikan haji ia akan menjadi lebih baik daripada sebelumnya dari segi amalan dan tingkah lakunya. Setengah ulama berpendapat, haji mabrur ialah haji yang tidak ada perasaan riak padanya atau tidak diikuti selepasnya dengan perkara maksiat. Firman Allah, "Tunaikanlah haji dan umrah kerana Allah. (Al-Baqarah: 196).

Sabda Rasulullah, "Haji mabrur itu tiada balasan lain, melainkan syurga". Imam Nawawi di dalam syarah Muslim berpendapat bahawa orang yang mengerjakan haji itu bukan saja dosanya diampunkan malah mereka akan mendapat balasan yang lebih daripada itu iaitu syurga.

Dari Aishah RA bahawa beliau pernah bertanya Baginda SAW, " Wahai Rasulullah, kami mendapati bahawa jihad itu adalah amalan yang paling baik. Bolehkah kami keluar berjihad? Jawab Baginda, " Tidak, tetapi jihad yang paling baik ialah haji mabrur. (Hadis Bukhari).
Penulis ialah Eksekutif di Unit Agama NSTP, boleh dihubungi melalui e-mel, zaman@nstp.com.my

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

0 comments: