SOALAN 1:
Saya ingin tahu adakah tanggungjawab saya terhadap ibu susuan sama seperti ibu kandung seperti makan pakainya dan perbelanjaannya?
JAWAPAN:
Kewajipan anak susuan terhadap ibu susuan tidak seperti tanggungjawab anak kandung terhadap ibu kandungnya. Namun ini tidak bermaksud ibu susuan tidak berhak mendapat layanan atau perhatian dari anak susuan.
Berbuat baik kepada ibu susuan sangat dituntut sedang dialah yang mengenyangkan saudara di kala saudara perlukan susu.
Di dalam masyarakat arab zaman permulaan dan sebelumnya orang arab akan menghantar anak mereka menyusu dari wanita-wanita kampung yang memang mengambil upah menyusukan bayi dalam masa yang sama mendedahkan anak di awal usia dengan budaya mahmudah (pekerti yang terpuji). Serta membiarkan anak membesar di dalam suasana dan persekitaran yang harmoni.
Dalam sebuah kisah diriwayatkan pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang bersama para sahabat tiba-tiba muncul seorang wanita tua menuju ke arah baginda. Melihat kepada wanita itu Rasulullah SAW meminta para sahabat memberi laluan kepada wanita itu. Lalu para sahabat membuka laluan memudahkan wanita itu menghampiri Rasulullah SAW.
Apabila wanita itu sampai di sisi Rasulullah SAW baginda yang asalnya duduk berdiri menghormati wanita tersebut, lantas membuka abaya (jubah yang biasa disarung di atas tubuh) baginda dan menghamparkanya sambil meminta wanita tua itu duduk di atasnya.
Para sahabat yang berada di sisi baginda merasa hairan. Baginda meminta wanita itu duduk di atas hamparan abaya baginda dengan berkata: "Duduklah wahai ibu susuanku".
Selepas itu barulah para sahabat tahu wanita tua itu adalah ibu susuan Rasulullah SAW iaitu Halimah al-Sa'diyyah.
Ulama yang memerhatikan kisah ini mengungkapkan: "Sekiranya ibu susuan Rasulullah SAW, Halimah al-Sa'diyyah menerima layanan yang begitu istimewa bayangkan sahaja kalau ibunya masih hidup".
Sebenarnya ada pengajaran yang perlu diambil dari kisah ini, iaitu petunjuk Rasulullah dalam menghormati ibu susuan. Lihat sahaja bagaimana Rasulullah sanggup menghamparkan abaya baginda atas lantai pasir demi menghormati dan menyanjung ibu susuan baginda.
Justeru, tidak apa yang perlu dipertikaikan oleh ibu kandung saudara sekiranya saudara ingin berbuat baik kepada ibu susuan saudara. Sepatutnya ibu saudara bersyukur anaknya menghormati ibu susuannya tanpa disuruh.
Saya juga yakin bahawa saudara mempunyai pertalian bukan sahaja kerana susu yang diminum dari tubuh ibu susuan tetapi sentuhan kasih sayang ibu susuan, setiap dakapan ibu susuan ketika saudara masih kecil lagi tidak ada seorang pun yang dapat menterjemahkannya melainkan melalui perasaan yang saudara lalui.
SOALAN 2:
Berdosakah saya sekiranya ingkar pada katanya?
JAWAPAN:
Sebagai anak susuan saudara berdosa mengingkari katanya, lebih-lebih lagi apabila saudara disuruh berbuat baik.
Menghormati ibu susuan tidak ubah seperti mana saudara menghormati ibu kandung saudara. Ibu susuan juga mahukan anak susuannya menjadi anak yang baik. Mungkin atas dasar itulah ibu susuan menasihati anak susuanya.
Sebenarnya manusia perlukan nasihat dan tunjuk ajar, maka tidak salah kalau ibu susuan saudara yang mendahuluinya berbanding orang lain.
SOALAN 3:
Ibu kandung pernah melarang saya memberi wang kepada ibu susuan saya kerana katanya dia bukan ibu kandung saya. Saya serba salah kerana fikiran saya tidak salah saya memberinya wang.
JAWAPAN:
Memang tidak salah memberi wang kepada ibu susuan, memang itulah yang sepatutnya. Ibu saudara mungkin tidak faham, betapa Islam menggalakkan berbuat baik kepada orang pernah berjasa, pengorbanan ibu susuan juga tidak boleh diketepikan.
Cuma janganlah sampai saudara melebihkan ibu susuan berbanding dengan ibu kandung sendiri. Mungkin ibu kandung saudara merasakan saudara melebihkan ibu susuan berbanding dirinya.
Walau apa pun saudara perlu mengutamakan ibu kandung saudara dalam semua hal. Untuk mengelakkan hati ibu kandung tersinggung eloklah difahamkan bahawa apa yang saudara lakukan adalah salah satu tanggungjawab saudara kepada ibu susuan.
Pada masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab yang hakiki terhadap ibu kandung.
Monday, 5 October 2009
Tanggungjawab kepada ibu susuan
Posted by amn077 at 20:38
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment