BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 18 October 2009

Bertaubat satu-satu jalan hindari ditimpa musibah

KEJADIAN gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera, Taufan Ketsana di Vietnam, Taufan Parma di Filipina, tsunami di Samoa menuntut kita untuk berfikir tentang tanda-tanda keesaan dan kekuasaan Allah SWT.
Apakah ini petanda bahawa bumi sudah semakin tua dan mengalami ketidakstabilan akibat daripada perbuatan buruk penghuninya atau sebaliknya?
Kewujudan bencana telah wujud sejak berjuta-juta tahun dahulu dan sehingga kini masih berlaku malah menimpa manusia yang hidup sebelum al-Quran diturunkan. Dan Allah SWT telah pun semadikan kejadian bencana-Nya di dalam al-Quran serta memanggilnya kemurkaan dari langit.

Kemurkaan ini dibangkitkan atas beberapa sebab. Antaranya ialah sifat zalim dan fasiq manusia serta tidak mempedulikan perintah Tuhan. Kaum Nabi Lut contohnya mengamalkan homoseksual dan amalan itu dilakukan dengan meluas dan terbuka.
Tiada manusia sebelum mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu seperti itu. Mereka tidak menghiraukan amaran para Rasul dengan melakukan dosa dan mengundang kemurkaan Ilahi, maka datanglah kemurkaan dari langit yang menghapuskan mereka sama sekali, kecuali sedikit yang percaya bersama Lut.

Bandar raya diterbalikkan oleh kuasa Allah SWT dan angin ribut yang mengandungi batu-batu yang dibakar menghujani mereka bertubi-tubi seperti yang dirakamkan di dalam al-Quran yang bermaksud: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. (Surah Hijr:73).
Teriakan itu terjadi juga pada kaum Nabi Shuaib iaitu Madyan, yang hidup sebelum zaman Nabi Lut. Tetapi bagi kaum Madyan, bencana itu hadir daripada gempa bumi yang menghapuskan mereka akibat daripada kezaliman, menipu sukatan dan timbangan, dan sekelompok manusia yang duduk di setiap jalan untuk mengancam dan menghalang orang daripada beriman ke jalan Allah SWT.

Para pembesar negara dikatakan turut serta dalam penindasan dan kezaliman tersebut. Lantaran itulah, mereka dihina dan dihapuskan Allah SWT dengan bencana teriakan dan gempa bumi. Al-Quran menjelaskan, Dan tatkala datang (masa pelaksanaan) perintah kami, Kami selamatkan Nabi Syuaib berserta umatnya yang beriman, dengan rahmat daripada kami: dan orang-orang yang zalim itu dibinasakan oleh letusan suara yang menggemparkan bumi, lalu menjadilah mayat-mayat yang tersungkur di tempat masing-masing. (Surah Hud :94)

Demikian juga Kaum Tsamud (Kaum Nabi Salleh) menerima azab yang menamatkan riwayat mereka sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Maka mereka membesarkan diri terhadap perintah Tuhannya, lalu mereka disambar petir (dengan tidak dapat melarikan dirinya) sedang mereka melihatnya. Dengan yang demikian, mereka tidak dapat bangun lagi, dan mereka juga tidak mendapat pertolongan. (Surah Az-Zariyyat: 44-45)
Bencana ini terus terjadi ke atas kaum Nabi Hud iaitu Aad yang tinggal di daerah Al-Ahqaf di Hadhramaut, Yaman. Kaum Aad yang zalim dan diktator itu ditimpa azab angin amat kencang, yang meniup selama lapan hari dan tujuh malam. Mereka juga disambar oleh halilintar.

Ada pun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang yang melampau-lampau kencangnya. Yang diarahkan menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus menerus, (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-oleh mereka batang-batang pohon kurma yang tumbang dan lompang. (Surah al-Haaqah:6-7)
Kaum yang tertua dicontohkan di sini ialah kaum Nabi Nuh. Seperti Nabi-Nabi lain, Nuh menyampaikan kepada kaumnya mesej-mesej Allah SWT tetapi pembesar-pembesar mendustakannya.

Mereka mengeji Nabi Nuh dan pengikut-pengikutnya. Lalu datang banjir besar, menimpa mereka bersama orang yang tidak percaya, termasuk anaknya sendiri.
Apa yang disebutkan di atas, bencana dan musibah itu sudah ketentuan dan kehendak Allah SWT. Baik sebagai azab bagi mereka yang berdosa kerana terus bermaksiat kepada-Nya, sebagai ujian daripada Allah kepada hamba-hamba-Nya yang beriman, untuk menghapus kesalahan-kesalahannya dan sebagai pelajaran bagi mereka yang selamat agar mahu kembali kepada-Nya yang telah menyelamatkannya daripada kemaksiatan.
Daripada kisah-kisah umat terdahulu, ternyata bencana dan musibah ditimpa kepada suatu umat kerana perbuatan maksiat.

Mengambil kira hakikat rentetan fenomena demi fenomena yang berlaku masa kini, pastinya dapat direnungi kesudahan hasil daripada tangan manusia dan perbuatan yang dapat mengasingkan antara perkara buruk dengan yang baik. Sejarah kaum-kaum terdahulu telah pun berulang dan akan terus berulang, malah diundang tanpa diduga.
Umat haruslah mengambil iktibar daripada peristiwa gempa bumi di Padang dengan masing-masing bermuhasabah diri dan bertaubat meninggalkan semua bentuk kemaksiatan dan kembali berpegang teguh dan mengamalkan ajaran Islam sebagaimana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Itulah satu-satunya jalan yang dapat menghindari kita daripada ditimpa musibah atau bencana.

PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
Oleh MOHD. SHAUKI ABD MAJID

0 comments: