BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 5 October 2009

Carilah Penawar Bagi Hati yang Tidak Tenteram

Salah satu nikmat yang amat berharga kepada kehidupan manusia ialah memiliki jiwa yang tenang, jiwanya sentiasa tenang dan berbahagia dalam mengharungi liku-liku kehidupan hariannya. Dia mampu tersenyum apabila menghadapi segala kerenah walaupun apa yang dilaluinya itu sangat mencabar. Baginya tidak ada sebarang kesusahan dalam kehidupan melainkan semuanya indah dan manis belaka.

Jiwa yang tenang bermaksud jiwa yang tidak dihinggapi dengan penyakit–penyakit jiwa yang tercela. Jiwanya tidak ada perasaan keluh–kesah, putus asa, hasad dengki, dan pelbagai lagi sifat–sifat negatif yang tercela atau dikenali sebagai ‘sifat–sifat mazmumah’. Sebaliknya jiwanya dilimpahi dengan sifat–sifat terpuji, yang diredai Allah Taala, atau dikenali sebagai ‘sifat–sifat mahmudah’. Semua cabaran kehidupan dihadapi dengan pandangan dan sikap yang positif.

Hidup manusia akan berada dalam dua medan perjuangan, perjuangan untuk melepaskan diri daripada sifat–sifat tercela dan memupuk sifat–sifat yang terpuji bagi melahirkan jiwa yang tenang.

Semua pihak mengakui penyakit–penyakit jiwa atau dalam bahasa modennya dikenali sebagai ‘gangguan psikologi’ adalah penyakit atau masalah yang memerlukan rawatan segera dan bersungguh–sungguh. Jika diabaikan, akibatnya amat buruk sekali kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Semuanya mengundang kepada porak- peranda dalam kehidupan.

Salah satu faktor yang menyebabkan jiwa tidak tenteram ialah perasaan berdukacita terhadap peristiwa pahit masa silam, tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pada masa kini dan bimbangkan masa hadapan yang akan ditempuhi. Mereka selalu merintih dengan kata–kata “ kalau aku buat begitu dan kalau aku buat begini, tentu aku jadi begitu dan begini”. Ungkapan seumpama ini sebenarnya membuka ruang kepada syaitan untuk menguasai jiwa manusia.

Menyedari betapa bahayanya jiwa yang tidak tenteram kepada manusia maka penyakit ini perlu dirawat dengan secepat yang mungkin. Bagi seorang Muslim mukmin, perlu menyedari bahawa penawar terbaik bagi menyelesaikan permasalahan ini ialah al-Quran. Allah Taala sendiri menjelaskan: “Wahai umat manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu al-Quran yang menjadi penasihat (pengajaran ) daripada Tuhan kamu dan menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin (jiwa ) yang ada di dalam dada kamu serta menjadi petunjuk (hidayah ) untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (Surah Yunus: 57)

Al-Quran memberi petunjuk kepada manusia tentang cara–cara untuk merawat jiwa yang tidak tenteram. Bahkan amalan membaca dan menghayati isi kandungan al-Quran itu sendiri sudah mampu mententeramkan jiwa–jiwa manusia. Nabi Muhammad s.a.w pernah menyebut: “Tidak berkumpul sesuatu kaum di dalam sesebuah rumah dari rumah-rumah Allah, mereka membaca kepadanya Kitab Allah (al-Quran) dan membincangkannya bersama–sama, melainkan turun ke atas mereka ‘as-sakinah’ (ketenangan) dan diliputi mereka dengan rahmat dan dinaungi mereka oleh para malaikat dan Allah menyebut amalan mereka itu di hadapan makhluk Allah yang ada di sisi-Nya.” (Riwayat Bukhari )

Antara cara pencegahan utama bagi penyakit jiwa yang ditunjukkan oleh al-Quran ialah menguatkan diri dengan iman, sembahyang dan berzikir kepada-Nya. Golongan yang tidak memahami hikmah dan kepentingan sembahyang, tentu mereka melalaikannya. Malah mereka tidak akan menjiwai betapa tenteramnya hati yang sedang bermunajat serta berbicara dengan Allah, tanpa melalui sebarang perantaraan. Sembahyang adalah detik–detik peningkatan kerohanian di mana orang yang bersembahyang terasa lapang dan lega dari tekanan hidup. Dengan sembahyang ia dapat meringankan malapetaka dan penderitaan yang dialami selama ini.

Sebenarnya, apabila membicarakan tentang penyakit-penyakit jiwa, kita bercakap soal ‘sunnatullah’ terhadap makhluk ciptaan-Nya. ‘sunnatullah’ adalah suatu yang pasti berlaku dalam kehidupan ini. Manusia perlu memahami sunnah ini dan segala jalan penyelesaiannya mestilah mengikut ‘sunnatullah’ yang telah ditetapkan. Apabila manusia ditimpa pelbagai masalah psikologi ini, mereka menggunakan pelbagai pendekatan untuk merawatnya ada yang berjaya, ada yang gagal. Bagi yang telah berjaya, ada kalanya penyakit itu datang kembali. Yang gagal, jiwanya semakin tertekan dan hidupnya semakin merana. Maka teori-teori baru dicuba, namun kesannya hanya sementara. Semua ini adalah kesan tidak mempedulikan penawar sejati bagi masalah ini.

Carilah damai di hati dengan menjadikan iman sebagai penawar yang amat mujarab. Bekalan iman perlu digandakan sesuai dengan bertambahnya cabaran dan godaan yang mesti dilalui oleh kita. Yakinlah, ‘ penawar Ilahi’ adalah ‘sunnatullah’ untuk merawat segala masalah yang berkaitan dengan jiwa yang tidak tenteram.

sumber: halaqah

0 comments: