KEPINCANGAN dalam dunia Islam masa kini mempunyai kaitan dengan kelemahan umat mengendalikan urusan hidup mereka. Falsafah atau konsep hidup umat Islam jika tidak dilandaskan kepada keredaan Ilahi boleh menyebabkan umat menjadi lemah dan mudah terperangkap ke dalam kancah kemusnahan.
Perselisihan sesama umat Islam dalam arena politik jelas menunjukkan bahwa konsep persaudaraan dalam Islam semakin terhakis dalam sanubari umat masa kini.
Apabila suasana begini wujud maka umat Islam lebih mengutamakan kepentingan diri daripada menumpukan perhatian kepada pembinaan umat dan agama Islam.
Suasana begini wujud disebabkan objektif hidup umat Islam sudah terpesong daripada garis panduan yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Islam mengajar umatnya supaya memahami konsep hidup di dunia ini dan melatih umat Islam supaya berfikir, berbicara dan bertindak demi mempertahankan agama dan masyarakat bukan untuk kepentingan diri sehingga terlupa bahawa setiap gerak-geri dan bisikan hati berada dalam perhatian Allah.
Individu-individu Islam yang tidak menjuruskan objektif hidup berlandaskan keredaan Allah adalah orang yang tidak mempunyai personaliti yang mantap.
Mereka sering menonjolkan kepelbagaian personaliti kerana fikiran dan bisikan hati mereka berasaskan kepada kepentingan diri yang berunsurkan material dan kedudukan. Mereka tidak mempunyai kewibawaan diri dan mudah dipengaruhi oleh kenikmatan hidup di dunia sehingga sanggup menggadai maruah agama dan bangsa. Suasana begini merupakan fenomena kehidupan umat Islam masa kini.
Setiap umat Islam sepatutnya mempersoalkan diri mereka tentang matlamat, peranan dan destinasi hidup mereka di dunia ini.
Apabila persoalan begini sering berlegar dalam pemikiran mereka maka setiap bisikan hati, daya pemikiran dan pergerakan mereka adalah terkawal. Mereka mampu berfikir secara lebih rasional dan bijaksana dalam tindakan demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
Oleh itu, Allah SWT sering menyeru manusia terutamanya umat Islam supaya merenung, berfikir, bersabar dan menyerah diri kepada-Nya dalam kehidupan di dunia ini.
Umat Islam yang sentiasa menyerahkan diri kepada Allah sanggup mengorbankan kepentingan diri demi agama dan negara. Setiap kegiatan mereka berasaskan kepada niat dan hasrat nurani yang murni.
Apabila hati nurani bersih dan daya pemikiran tertumpu kepada keredaan Ilahi maka setiap tindakan boleh menggambarkan bahawa mereka adalah ikhlas. Sama ada dalam tugas dan tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.
Rasulullah SAW menegaskan: Setiap amalan atau pergerakan itu berasaskan kepada niat. Ia bermakna, jika niat seseorang itu bersih dan baik maka tindakan dan pergerakannya adalah bersih dan telus.
Setiap kegiatan dalam kehidupan sama ada berkaitan dengan keperluan diri atau masyarakat perlu berdasarkan kepada keredaan Ilahi. Jika umat Islam tidak membatasi pergerakan mereka dalam kegiatan berkaitan dengan keperluan diri, maka mereka akan menjadi rakus apabila mendapat peluang tersebut.
Sikap tamak dan rakus tidak dapat dikawal jika niat dan objektif hidup hanya tertumpu kepada kemewahan dan kepentingan hidup di dunia sahaja.
Individu sebegini jika melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kenegaraan, tidak akan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara sempurna kerana mereka beranggapan jawatan yang disandang merupakan punca rezeki yang boleh memperkayakan diri.
Oleh itu sistem pentadbiran dan kepimpinan menjadi lemah kerana niat dan objektif mereka tersasar daripada konsep dan falsafah kehidupan sebagai hamba Allah yang memegang amanah masyarakat dan negara.
Jika arena politik dianggap sebagai satu cara untuk mendapat kuasa, kedudukan dan kekayaan, maka umat Islam yang tidak memahami konsep dan falsafah hidup berlandaskan keredaan Ilahi ini akan 'berjuang' tanpa memikirkan kepentingan agama dan bangsa.
Kepuasan dan keseronokan dalam pertarungan politik sesama umat Islam menjadikan mereka buta memahami konsep "kemenangan" sebenar. Dalam hal ini, kita perlu fahami ungkapan yang "menang menjadi arang dan kalah menjadi abu."
Umat sepatutnya memahami bahwa kehancuran negara-negara Islam berpunca daripada perselisihan politik sehingga mengheret kuasa asing mencampuri hal ehwal dalaman negara.
Sehubungan itu, umat Islam di negara ini sepatutnya mengambil iktibar daripada negara Islam lain.
Kemenangan dalam pertarungan politik kadangkala tidak boleh dianggap sebagai 'kemenangan'. Mungkin kejayaan itu merupakan satu ujian. Kegagalan dalam perjuangan politik pula mesti dianggap sebagai satu pengajaran.
Ia penting supaya setiap ahli politik bermuhasabah tentang kelemahan diri bagi menyediakan diri dengan strategi yang lebih kukuh dan memperbaiki matlamat atau objektif perjuangan berlandaskan keredaan Ilahi.
PENULIS ialah Penyarah Kanan,
Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Monday, 5 October 2009
Objektif hidup berlandas keredaan Allah
Posted by amn077 at 20:40
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment