Keserakahan kuasa ramuan bawa kehancuran sesebuah negara
AKIBAT keserakahan ingin menjadi pemimpin, akhirnya Syairuyah mati oleh tangannya sendiri. Dia bunuh ayahnya, Kisra bin Barwaiz, Raja Parsi pada zaman Rasulullah SAW dan Kisra juga sudah menyiapkan senjata untuk membunuh anaknya yang derhaka itu dengan muslihat sebuah kotak wasiat.
Ketika membahas hadis mengenai suatu bangsa tidak akan berjaya apabila menyerahkan pemerintahannya kepada perempuan, Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari fi Sharh Sahih al-Bukhari menjelaskan latar belakang hadis berkenaan.
Menurutnya, perempuan yang dilantik menjadi Raja Parsi dalam kisah hadis ini bernama Buran binti Syairuyah bin Kisra bin Barwaiz. Pelantikannya sebagai raja kerana tidak ada orang lain yang berhak menduduki jabatan itu kerana Syairuyah membunuh ayahnya sendiri, Kisra.
Sebelum Kisra meninggal dunia, dia mengetahui bahawa kematiannya adalah disebabkan oleh anaknya sendiri, Syairuyah. Kemudian dia berpesan kepada pengawalnya yang setia untuk membunuh Syairuyah dengan membuat sebuah kotak yang diberi racun. Di atas kotak berkenaan tertulis 'Kotak Perpaduan' siapa yang dapat meraih kotak itu maka dia boleh menyatukan negeri. Syairuyah membaca tulisan berkenaan, kemudian mengambil kotak itu. Akhirnya dia terkena racun yang ada pada kotak itu kemudian meninggal enam bulan selepas kematian ayahnya.
Selepas Syairuyah meninggal, tidak ada satu orang pun saudaranya yang menggantikan kedudukan raja kerana seluruh saudaranya dibunuh olehnya dek kerakusan kepada kekuasaan. Supaya kedudukan raja tidak jatuh ke tangan orang di luar keluarga kerajaan, akhirnya dilantik Buran binti Syairuyah sebagai Raja. Begitu pula saudara perempuannya Arzumidkhat dilantik menjadi seorang raja.
Keserakahan seorang pemimpin adalah satu ramuan biasa dalam satu-satu episod kekuasaan dan ia menjadi bumbu pemusnah kelazatan satu-satu hidangan. Sebaliknya, pemimpin yang amanah, bersahaja dan berwibawa menjadi penyedap hidangan.
Oleh itu, penanda aras kekeberhasilan sesuatu umat ada pada kepemimpinannya seperti yang kita fahami daripada hadis berikut yang bermaksud: "Apabila Allah SWT menghendaki kebaikan bagi suatu kaum maka dijadikan pemimpin mereka orang-orang yang bijaksana dan dijadikan ulama mereka menangani hukum. Juga Allah SWT jadikan harta benda di tangan orang yang dermawan.
Namun, jika Allah SWT menghendaki keburukan bagi suatu kaum, maka Dia menjadikan pemimpin mereka orang yang berakhlak rendah. Dijadikan-Nya orang-orang dungu yang menangani hukum dan harta berada di tangan orang kikir. (Hadis riwayat al-Dailami).
Keserakahan menjadi pemimpin sebagai satu bentuk cita-cita sudah diingatkan oleh baginda SAW dalam hadisnya bermaksud: "Sungguh kamu semua bercita-cita menjadi pemimpin padahal kamu semua akan menyesal pada hari kiamat, maka alangkah baiknya orang yang sedang menyusukan dan alangkah buruknya orang yang sedang menyapih (berhenti menyusu)." (Hadis riwayat Bukhari dan Nasa'i)
Abu Hurairah pernah berkata kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah, apakah Tuan berkenan melantik saya sebagai pemimpin? Maka baginda menegaskan dengan hadis di atas. Dengan melihat latar belakang kisah ini, nampaknya Abu Hurairah sebagai seseorang yang sudah sekian lama dekat dan menjadi pembantu Nabi, tentu saja sebagai manusia biasa, dia juga ingin meningkat status sosialnya dengan memohon dan mengajukan diri kepada Rasulullah agar baginda berkenan mengangkat dirinya menjadi seorang pemimpin. Namun, mengingat sudah sekian lama Abu Hurairah hidup bersama Nabi sudah pasti baginda tahu tentang kemampuan dan pelbagai kemungkinan seandainya Abu Hurairah diangkat menjadi pemimpin. Kerana berkenan, maka dengan nada tegas baginda menyatakan sabdanya itu.
Ada empat peranan penting seorang pemimpin:
Pertama, menjadi contoh, figur (uswah, qudwah).
Kedua, pemimpin menjadi sahabat atau teman. Maka, mereka bukan sekadar disebut teman, tetapi khadim al-ummah. Sebaik-baik pemimpin adalah yang dapat melayani. Oleh itu, orang yang mulia bukan orang yang dimuliakan, tetapi orang yang dapat memuliakan orang lain. Dan orang terhormat bukan orang yang dihormati, tetapi orang yang dapat menghormati.
Ketiga, pemimpin yang punya peranan pendidik. Ertinya, pemimpin harus punya visi, selangkah lebih maju. Oleh itu, pemimpin tidak boleh cacat hukum, cacat moral, tetapi juga harus mampu pandang ke depan dan berwawasan kerana dia lebih tahu daripada mereka yang dipimpin.
Keempat, pemimpin tentu harus menjadi pelopor atau orang yang mendahului melakukan kebaikan.
Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh al-Tabrani juga disebutkan mengenai hakikat kepemimpinan yang mana permulaan kepemimpinan akan ada saling mencela, kemudian ada penyesalan dan akhirnya seksaan pada hari kiamat. Hadisnya bermaksud: "Jika kamu mahu, akan aku beritahu kepada kamu tentang kepemimpinan (al-imarah), apakah imarah itu? Imarah itu awalnya cela mencela, keduanya penyesalan dan ketiganya azab pada hari kiamat kecuali seseorang yang adil."
Latar belakang hadis di atas adalah satu kes yang berlaku pada seorang sahabat Nabi bernama Miqdad. Beliau bercerita bahawa Rasulullah melantiknya menjadi seorang pemimpin untuk melaksanakan satu tugasan. Setelah selesai dan kembali kepada Rasulullah, baginda bertanya kepada Miqdad, bagaimana menurutnya tentang kepemimpinan? Miqdad menjawab dia tidak mengira bahawa semua bawahannya menjadi budak. Kemudian dia bersumpah tidak mahu lagi diangkat menjadi pemimpin untuk selamanya. Maka disabdakanlah hadis di atas.
Pengecualian yang Nabi sampaikan pada penghujung hadis yang berbunyi 'kecuali pemimpin yang adil,' nampaknya menjadi sesuatu yang cukup menarik untuk dibincangkan. Sebab apabila pemimpin itu dapat berlaku adil, maka beberapa kemungkinan buruk yang disenaraikan di dalamnya tidak akan terjadi. Bahkan pemimpin yang adil nanti pada hari kiamat termasuk dari tujuh golongan manusia yang akan mendapat perlindungan Allah pada saat tidak ada perlindungan sedikitpun kecuali perlindungan Allah SWT.
Contoh keadilan Umar bin Khatab kekal direkodkan sejarah. Pada suatu malam beliau tidak dapat tidur semalaman kerana dilaporkan ada unta yang tergelincir di Iraq. Maka, Umar pun menangis dan mengaku berdosa kepada Tuhannya. "Ya Allah, saya menjadi pemimpin, tapi tak boleh membuat jalan yang elok sehingga ada unta yang tergelincir."
Keadilan seorang pemimpin adalah satu berkat yang boleh mensejahterakan orang bawahannya. Dan ia sebagai natijah dari penyerahan kepemimpinan kepada orang yang layak menjadi pemimpin. Seperti sabda baginda dalam nilai norma sejagatnya maksudnya: "Apabila suatu urusan diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya maka tunggulah kehancuran." (Hadis riwayat Bukhari) Mafhum mukhalafah daripada hadis ini adalah apabila suatu urusan diserahkan kepada ahlinya maka nikmatilah kedamaian dan ketenteraman.
Jika kalangan pemimpin pada zahirnya beranggapan bahawa mereka mesti dilayan oleh orang bawahannya maka angapan ini mesti diulangkaji semula hakikatnya kerana ada sabda Nabi yang bermaksud: "Pemimpin suatu kaum adalah pelayan mereka." (Hadis riwayat Abu Na'im) Wallahu a'lam.
Sunday, 25 October 2009
Ulul Albab: Empat perkara jadi pemimpin
Posted by amn077 at 20:32
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment