BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, 30 October 2009

Jangan Tunggu Bala Baru Insaf

GEMPA besar berukuran 7.6 pada skala Ritcher kembali menggoncang Sumatera Barat yang berpusat di 50 Kilometer (km) di Barat Utara dari Kota Padang. Sehari sebelumnya berlaku kejadian gempa dan tsunami di Samoa iaitu pada jam 6.48 pagi waktu tempatan.

Jika diingat, di bulan Ramadan yang lalu, gempa bumi besar juga berlaku di Jawa Barat selain kejadian Tsunami di Acheh yang mengorbankan ratusan nyawa masih segar dalam ingatan kita.
Bagi kita di Malaysia, mungkin berasa sedikit ‘bergoyang’. Syukur kerana gegaran itu tidak menyebabkan kejadian buruk.

Malah, ada yang agak celupar dengan berkata “Ah, Indonesia, biasalah gempa.” Na’udzubillah min zalik. Janganlah kita takbur kerana nanti lebur. Sebenarnya kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada esok hari kepada kita.

Yang terbaik, kita perlu memanjatkan doa semoga dapat terus menikmati kehidupan aman dan selamat. Betul ke kita selamat kalau kita masih berjauhan dengan Allah?

Mulut kita mungkin dekat dengan Allah dengan cara berzikir, beristighfar dan baca surah Yasin, tetapi jika hati dan perbuatan kita masih bercanggah dengan suruhan-Nya bermakna kita masih dalam golongan ingkar.

Secara dasarnya kita perlu menitikberatkan soal ibadat wajib yang dituntut kepada kita dan meninggalkan segala bentuk perbuatan haram seperti mengambil riba, ‘free love’ yang boleh diibaratkan sebagai ‘gempa rohani’ yang amat dahsyat dalam kehidupan sekarang.

Mungkin Allah belum menghukum kita dalam bentuk gempa bumi seperti di Padang atau giliran kita masih tertunda. Yang pasti, setiap kejadian itu adalah tanda kekuasaan serta peringatan kepada hamba-Nya.

Kekafiran serta murtad terbukti menjadi penyebab kepada datangnya hukuman daripada Allah. Ini tercatat dengan jelas dalam sejarah perjalanan umat manusia terdahulu.

Sudah berapa banyak kaum yang dimusnahkan Allah dalam bencana alam lantaran kekafiran mereka yang menjadi-jadi.

Kita wajib belajar daripada pengalaman sejarah lalu. Mencintai Allah dengan segala aplikasinya adalah cara terpenting bagi manusia mendekatkan diri kepada-Nya dan menghindari diri daripada perkara boleh mencelakakan.

Sesungguhnya sangat berat ujian yang dialami saudara kita yang ditimpa bencana itu. Bagi mangsa kejadian gempa bumi ini, dengarlah hadis nabi yang bermaksud:

“Syuhada itu ada lima; orang yang mati kerana wabak kolera, sakit perut, tenggelam, tertimpa runtuhan bangunan dan berperang di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi dan Ahmad).

Kehidupan ini seperti sebuah dewan peperiksaan yang penuh dengan soalan yang mesti di jawab. Begitulah juga kita diuji dengan pelbagai ujian. Ada kala kita diuji dengan kesusahan dan malapetaka seperti yang dialami saudara kita di Indonesia dan kepada kita yang menyaksikan tragedi ini jangan pula lupa dan alpa dengan ujian kesenangan yang diberikan.

Kelalaian membuatkan kita menjadi derhaka. Ujian secara langsung buat kita di sini, apakah kita turut merasakan penderitaan yang mereka tanggung di sana? Apakah bentuk sumbangan kita kepada mereka?

Penyatuan jiwa antara golongan seagama ini amat penting dan ia ibarat mulut yang mengadu kesakitan ketika tangan tersepit di pintu yang turut terasa sakitnya di seluruh tubuh.

“Barang siapa tidak peduli dengan penderitaan orang beriman maka tidak termasuk golongan orang beriman”.

Selagi nafas masih berdenyut, mata masih boleh memandang, mulut masih berucap, telinga masih mendengar, kaki masih mampu berjalan, marilah kita memanjatkan kesyukuran dan di limpahan nikmat yang diberikan. Jika tidak keberatan, kita perlu sama-sama menghulurkan bantuan setakat termampu buat saudara kita yang ditimpa kesusahan.

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang meringankan beban penderitaan seorang mukmin di dunia pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di akhirat. Sesiapa yang memudahkan orang dalam keadaan susah pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim pasti Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hamba-Nya jika hamba itu menolong saudaranya.” (Riwayat Muslim).

www.Halaqahnet
Sumber : http://epondok.wordpress.com/
Editor : Ummi Munaliza

0 comments: