BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Monday, 5 October 2009

Sabar dalam berusaha

AL-MARAGHI berkata: Ayat-ayat ini sampai ke-60 diturunkan dalam peristiwa Perang Uhud. Oleh itu, diterangkan sepintas lalu mengenai peristiwa ini agar dapat membantu para pembaca untuk memahaminya, mengetahui tempat kejadiannya, peristiwanya dan memperoleh keyakinan berhubung dengan hikmah dan hukumnya.
Iktibar dan fiqh Ayat 125
*Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi dalil bahawa baiknya pakaian putih dan kuning berbanding warna lain kerana malaikat turun dengan pakaian tersebut.
*Ibn Jarir berkata: Pendapat yang patut dianggap benar ialah yang menyatakan Allah SWT telah mengkhabarkan tentang nabi-Nya Muhammad SAW, bahawa baginda pernah bersabda kepada orang mukmin: "Tidakkah cukup bagi kamu mendapat kekuatan tambahan daripada Tuhan kamu sebanyak 3,000 malaikat? Kemudian Dia telah menjanjikan lagi kepada mereka dengan pasukan tambahan yang terdiri daripada 5,000 malaikat sekiranya mereka tetap bersabar menghadapi serangan musuh di samping bertakwa kepada Allah SWT".

*Hamka berkata: Nabi SAW disuruh memperingatkan kembali bahawa beliau pada waktu peperangan Uhud itu pernah menyampaikan kepada mereka meskipun hanya 700 orang dan musuh lebih dari 3,000 orang, Tuhan akan mendatangkan 3,000 malaikat sebagai pembantu.
Jika bertambah sabar dan takwa mereka, 5,000 malaikat akan datang menyerbu musuh bersama mereka.
Iktibar dan fiqh ayat ke-126
*Al-Zujaj berkata: Allah SWT tidak menyebut mengenai pemberian bantuan itu, kecuali untuk memberikan khabar gembira.

Al-Aziz bermaksud suatu kekuatan yang tidak dapat dihalang oleh sesiapa pun. Al-Hakim pula bermaksud yang mengurus segala urusan dan peraturan yang terbaik dan tepat. Kerana itu, Dialah sahaja yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sama ada kemenangan dari aspek lahir mahupun batin atau mengenepikan (kemenangan tersebut) terhadap sesiapa yang dikehendaki-Nya.
*Imam Ahmad, Muslim dan lain-lain telah meriwayatkan daripada Umar Ibn al-Khattab yang berkata: "Nabi SAW berdoa dalam Perang Badar: Ya Allah! Tunaikanlah apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah ! Jika kelompok kecil ini binasa, nescaya di bumi ini tidak akan ada yang menyembah-Mu selama-lamanya".
*Muhammad Quraish Shihab berkata: Penegasan Allah SWT bahawa kemenangan hanya bersumber dari-Nya, berulang-ulang kali ditekankan dalam al-Quran.
Ini bertujuan mengarahkan pandangan dan fikiran kaum muslimin agar jangan semata-mata memandang kepada jumlah pasukan atau alat-alat material tetapi hendaknya mengarahkan juga pandangan dan harapan kepada Allah SWT.

Ini menjadikan seseorang di samping berusaha sesuai dengan petunjuk-petunjuk-Nya, antara lain mengadakan persiapan juga menjadikannya tidak angkuh atau yakin meraih kemenangan dan tidak pula menjadikannya putus asa dan lari dari medan juang, jika merasa persiapannya belum mencukupi.
Seorang muslim, harus menggabungkan usaha dan doa, rasional dan supra rasional, upaya manusiawi, madad atau bantuan Ilahi.
*Hamka berkata: Ayat ini menambah dan memperkuat lagi kepentingan sabar dan takwa dengan ditambah bertawakal sebagai pegangan teguh orang yang beriman.
Dengan sabar, takwa, berdisiplin dan tawakal usaha tidak akan sia-sia bahkan kemenangan mampu dicapai dengan bantuan Allah SWT melalui malaikat.
Ini kerana kemenangan dianugerahkan oleh Allah SWT bukan dari orang lain. Allah SWT Maha Berkuasa ke atas setiap makhluk yang diciptakan di muka bumi ini.

Iktibar dan fiqh ayat ke-127
*Al-Alusi berkata: Maknanya untuk membinasakan pembesar Quraisy dan pahlawan mereka dalam peperangan seperti Badar sama ada dibunuh atau ditawan.
*Al-Maraghi berkata: Tujuan Allah SWT menolong kamu melalui penambahan malaikat dalam barisan perang adalah semata-mata untuk menghancurkan, menghinakan dan membuat mereka berasa benci dengan adanya serbuan kepada mereka, sehingga mereka kembali pulang dengan penuh kekecewaan, tanpa sedikit pun harapan untuk menang.
*Muhammad Quraish Shihab berkata: Ada ulama yang mengaitkan kata membinasakan dengan tuntutan sebelumnya, iaitu perintah bertawakal, bersabar dan bertakwa.
Seakan-akan ayat ini menyatakan: "Hendaklah mereka bertakwa dan berserah diri kepada Allah SWT, agar Allah memperlakukan musuh-musuh mereka sebagaimana yang dikehendaki-Nya, iaitu membinasakan…" dan seterusnya seperti bunyi ayat di atas.
*Hamka berkata: Dalam peperangan Uhud, menurut satu riwayat yang jelas menyatakan kaum musyrikin yang mati dalam 18 orang dan dalam riwayat yang lain pula, Hamzah bin Abi Thalib mati dibunuh dan 30 orang yang lain juga turut terkorban.
Lebih memilukan, Saidina Hamzah ditoreh dadanya oleh Hindun binti Utbah, isteri Abu Sufyan untuk melepaskan sakit hatinya. Hamba kulit hitam yang bernama Wahsyi telah membunuhnya dengan menggunakan lembing.
Sebab nuzul ayat ke-128
*Ibn Kathir berkata: Mengikut riwayat Imam Ahmad r.a daripada Anas r.a bahawa Nabi SAW patah gigi depannya dalam peperangan Uhud dan berdarah dahinya sehingga bersabda: Bagaimana bahagia satu kaum yang melakukan pada Nabi mereka lantas Allah SWT menurunkan ayat ini.

Iktibar dan fiqh ayat:
*Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan daripada Anas r.a: Bahawa Nabi SAW telah patah gigi taringnya dalam Perang Uhud, wajahnya pula terkena anak panah sehingga mengalirkan darah lalu baginda bersabda yang bermaksud: "Bagaimana suatu kaum yang berbuat seperti ini kepada nabinya akan memperolehi kejayaan, padahal baginda menyeru mereka kepada Tuhan mereka (pencipta sebenar)".
*Al-Maraghi berkata: Kaum mukminin dalam Perang Badar sememangnya berasa yakin dengan pertolongan Allah SWT kepada nabi-Nya dan bantuan kemenangan untuk agama-Nya.
Iman mereka tidak sedikit pun berasa lemah atau tindakan kaum musyrikin yang mengusir golongan Muhajirin dari kampung halaman dan harta mereka dirampas, ketika mereka melihat tanda-tanda kemenangan.
Sememangnya lebih besar pengaruhnya dalam menghancurkan pihak musuh daripada mematuhi peraturan-peraturan yang zahir, seperti kekuatan ketenteraan, taat kepada pemimpin, gigih mengharung sebarang rintangan, memiliki ilmu strategi perang, dan memahami corak peperangan secara praktikal.

*Al-Biqa'i menghubungkan ayat ini dengan ayat-ayat sebelumnya dengan titik tolak dari peristiwa yang terjadi pada perang Uhud. Ketika itu pakcik Nabi SAW, yakni Saidina Hamzah Ibn Abdul Mutalib terbunuh dan mayatnya diperlakukan secara sangat tidak wajar.
Perut beliau dibelah dan hatinya dikeluarkan untuk dipotong dan dikunyah oleh Hindun Ibn Utbah Ibn Rabiah sebagai balas dendam kerana pakcik Nabi SAW itu membunuh ayah Hindun yang musyrik dalam perang Badar setahun sebelum terjadinya perang Uhud ini.
*Hamka berkata: Maksudnya, janganlah Nabi SAW memohon untuk pembalasan mereka. Hal ini adalah urusan dan hak Allah SWT kerana peperangan belum selesai dan semuanya dalam ketentuan Allah SWT.
Allah jualah yang menentukan siapa yang akan diterima taubatnya begitu juga sebaliknya. Sudah nyata perbuatan mereka itu zalim dan jahat namun Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengasihani.

Iktibar dan fiqh ayat ke-129
*Ibn Jariri berkata: Segala yang ada di antara lapisan langit dan bumi dari timur sampai ke barat adalah milik Allah SWT, sama ada padamu mahupun pada mereka.
Allah SWT akan memutuskan perkara mereka selaras dengan kehendak-Nya, dan menentukan perjalanan hidup mereka sejajar dengan keinginan-Nya. Dia akan menerima taubat daripada mana-mana hamba-Nya yang berbuat maksiat, kemudian memberikan pengampunan.
Sebaliknya Dia akan menyeksa mereka yang melakukan perbuatan dosa, serta menghukumnya. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun, Yang Berkuasa menutup dosa sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya di kalangan hamba-Nya kerana kurniaan-Nya yang berbentuk pemberian maaf kepada mereka.
*Hamka berkata: Kekuasaan Allah SWT meliputi segenap alam semesta. Segala yang berlaku menurut kehendak-Nya. Dia berkuasa atas setiap makhluk ciptaan-Nya. Dia jugalah yang menentukan azab neraka dan ganjaran syurga kepada yang dikehendaki-Nya tanpa ada kuasa lain yang mampu menandingi-Nya malah jauh sekali untuk mengatasi segala kudrat dan limpah kurnia yang Maha Hebat.

*Al-Sonhadji berkata: Seluruh alam ini hak milik dan kepunyaan Allah, di bawah perintah dan kekuasaan-Nya, menghukum mengikut kehendak-Nya. Allah pengampun, penerima taubat orang yang dahulu derhaka atau menyeksanya dengan sesuka-Nya.
Allah juga penyayang, iaitu tidak menyegerakan datangnya seksaan ke atas orang-orang yang berdosa.
Allah SWT Maha Berkuasa melakukan apa sahaja kepada hamba-Nya. Semoga Allah menjadikan kita golongan yang mendapat keampunan dan rahmat serta hidayah Allah sentiasa. Amin.

0 comments: