BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, 25 October 2009

Menzihar isteri

SOALAN:

Apakah sabit zihar jika seseorang suami itu melihat isterinya di dalam gambar yang mana gambar isterinya ketika muda dahulu dan berkata: "awak macam acu (ibu saudara)"?
Si suami langsung tidak merujuk bahagian tertentu tubuh badan isterinya sebalik dia hanya melihat gambar yang lama-lama. Niatnya untuk zihar isterinya langsung tidak ada cuma ayat tersebut keluar secara spontan dan tidak sengaja.
Jawapan:
Tidak jatuh zihar, kerana lafaznya terlalu umum dan tidak merujuk mana-mana bahagian tubuh badan ibu saudara. Serupa dari segi fizikal keseluruhan kerana dari susur galur yang sama (keturunan) atau genetik yang sama.
Sebelum menjawab dengan lebih lanjut, elok kalau diperhalusi persoalan zihar dan kefahaman terhadapnya melalui beberapa rukunnya.

Rukun zihar
1. Suami
2. Isteri
3. Perkara yang diserupakan
4. Lafaz zihar
Rukun pertama dan kedua tidak perlu diberi penjelasan kerana maklum siapa itu suami dan isteri. Penjelasan akan tertumpu kepada dua rukun sahaja, iaitu rukun ketiga dan keempat;
3. Perkara yang diserupakan (disamakan)
Untuk mensabitkan rukun ini, beberapa syarat berikut mesti difahami:

Syarat-syarat berikut adalah syarat yang disepakati oleh jumhur ulama :-
1. Anggota-anggota yang haram dilihat oleh sesama mahram. Contoh punggung, perut, kemaluan di sekitarnya dan yang seumpama dengannya. Penyamaan dengan tangan, kepala, kaki, rambut, dan lain-lain .
Demikian pandangan kebanyakan ulama. Ulama Hanbali dan Maliki mensabitkan seluruh anggota sama ada haram dilihat mahupun tidak, semuanya boleh mensabitkan zihar (Al-Fiqh al-Islami wa adillatuhu, 9/7173) Pandangan yang rajih adalah pandangan jumhur.
2. Mestilah anggota-anggota ini daripada wanita yang diharamkan berkahwin dengan si lelaki sama ada pengharaman secara berkekalan (muabbad) atau keturunan (nasab) atau susuan dan perkahwinan.

Seperti ibu, anak, adik-beradik, pakcik, makcik dan lain-lain yang berkaitan. Selain pandangan mazhab utama, ia juga pandangan Hasan al-Basri, Ato' Abi Rabah, As-Sya'biy, An-Nakhaiy, Al-Awzaiy, at-Thawriy, Ishak bin Rahawaih, Abu 'Ubaid dan Abu Thaur.

Pandangan Imam al-Syafie dalam qaul qadim (pandangan beliau ketika di Baghdad): Tidak jatuh zihar terhadap semua wanita kecuali ibu dan nenek sahaja kerana ayat berkenaan zihar itu ditujukan khas untuk ibu. Tetapi qaul jadid Imam Syafie (semasa di Mekah) memindanya ijtihadnya dengan mengatakan jatuh zihar kerana wanita yang diharamkan tadi menyerupai pengharaman ibu (al-Muhazzab, As-Syiraziy dan kitab al-Majmu, 19/45)

Bagi yang tidak berkekalan (muabbad) seperti wanita asing, adik beradik perempuan bagi isteri dan lain-lain, menyerupakan dengan mereka tidak dianggap zihar. (Lihat Al-Fiqh 'ala al-Mazahib al-'Arbaah, jld: 4, hlm:500; Ad-Dusuqi 'ala Syarh al-Kabir, jld: 2, hlm: 439; Ashal al-Madarik, jld: 2, hlm: 169; Kifayatul Akhyar, 2/71)
Ulama al-Syafieyyah mengatakan kiranya penyerupaan itu bukan pada bahagian haram dilihat tadi, ia bergantung kepada niat. Jika ia berniat memuliakan, bangga maka tidaklah jatuh zihar, jika sebaliknya maka jatuh zihar. (Kifayatul akhyar, 2/70)
Rukun Keempat: Sighah (Lafaz Zihar)

Syarat lafaz untuk untuk sabit zihar adalah :-
a. Perlu kepada niat, kiranya ia dibuat secara kinayah (tidak jelas). Lafaz yang jelas seperti: Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda. Lafaz seperti di atas tidak perlu kepada niat, bahkan jatuh zihar apabila didengari.
Kinayah pula adalah lafaz-lafaz yang boleh diandaikan bermaksud zihar tetapi mungkin juga tidak seperti: "Dinda ni seperti bondaku". Lafaz seperti ini kemungkinan bermaksud zihar kemungkinan juga bermaksud memuliakan, hormat, penghargaan dan lain-lain. Maka ia bergantung kepada niat si suami.
Lafaz ini telah ijmak di kalangan ulama tentang pensabitan zihar. Demikian menurut Ibn Munzir (Lihat al-Majmu Imam Nawawi yang dilengkapkan oleh Sheikh Najib al-Mutie, jld:19,hlm: 44)

b. Tidak disyaratkan untuk sabit zihar, mesti menggunakan lafaz yang memberi pengertian semasa. Zihar jatuh dengan lafaz yang membawa pengertian semasa seperti: "Punggung dinda benar-benar seperti punggung bonda kanda".
Juga jatuh kiranya diikat dengan waktu tertentu seperti: "Kiranya dinda masuk ke rumah itu maka Perut Dinda seperti perut bondaku".
Jatuh zihar juga kiranya disandarkan ke zaman akan datang seperti: "Punggung dinda seperti punggung bondaku sehingga awal tahun depan atau perut dinda seperti perut bonda kanda dalam masa sebulan".
Semua lafaz tadi cukup untuk menjatuhkan hukum zihar. (Al-Bidayah al-Mujtahid, jld:2, hlm: 117)

c. Lafaz yang boleh dianggap zihar mestilah disandarkan kepada anggota tubuh wanita sama ada secara juzuk atau sepenuhnya.
Hukum setelah jatuh zihar
Setelah cukup syarat dan sabit jatuh zihar maka beberapa hukum berikut sabit:
Haram menyetubuhi isterinya (yang diziharkan) kecuali setelah dibayar kaffarah (penebus). Ini pandangan jumhur.

Menurut tertibnya kaffarah zihar adalah dengan membebaskan seorang hamba, puasa atau memberikan sedekah. Dalilnya sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan orang-orang yang 'ziharkan' isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan. Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah ia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah ia memberi makan 60 orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya (dengan mematuhi perintah-Nya serta menjauhi adat Jahiliah). Dan itulah batas-batas hukum Allah; dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (al-Mujadalah: 3-4)

Kesimpulan
1. Hanya jatuh (sabit) zihar jika menyamakan isteri dengan ibu, nenek, anak dan semua wanita yang diharamkan suami berkahwin dengannya secara kekal sama ada secara keturunan, susuan mahupun musoharah.
2. Penyamaan anggota tertentu sahaja yang menyebabkan sabit zihar iaitu seluruh atau juzuk dari anggota yang haram dilihat semasa mahram. Penyamaan dengan anggota selain itu tidaklah sabit zihar.
3. Tidak sabit zihar, kiranya menyamakan anggota isteri dengan mana-mana lelaki. Hanya penyamaan dengan wanita sahaja sabit. Begitu juga menyamakan suara, rupa dan sebagainya.
4. Istimta' (bersetubuh) dengan isteri yang telah dizihar sebelum membayar kaffarah adalah tidak dibenarkan dengan tahrim wasail. Dibimbangi akan terlanjur.

0 comments: